Tuesday, December 29, 2015

Najib tidak berhak untuk peluang kedua- Syed Saddiq



PETALING JAYA: Juara debat, Syed Saddiq Abdul Rahman merayu kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar agar menimbang semula seruannya supaya rakyat Malaysia memberikan peluang kedua kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana Najib, katanya, telah banyak mencampuri urusan siasatan skandal yang turut melibatkan dirinya sendiri, dakwanya di laman Facebooknya semalam.

Antaranya, mencampuri siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis terhadap 1MDB selain memecat bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

“Campur tangan dalam siasatan yang dikendalikan amat dikesali oleh rakyat marhaen seperti saya. Ini bukanlah kali pertama beliau dan pasukannya bertindak demikian.

“Patik kira Najib hanya layak diberi peluang kedua jika beliau sedia untuk berundur sementara sehingga siasatan ke atasnya selesai,” katanya lagi.

Syed Sadiq mengulas kenyataan yang dibuat Sultan Ibrahim dalam satu wawancara di akhbar The Star baru-baru ini, yang antara lain mengatakan”Saya tahu Perdana Menteri telah dihujani pelbagai kritikan, tetapi bagi saya berilah dia peluang.

“Tahun (2015) sudah sampai ke penghujungnya, kita perlu melangkah ke hadapan. Memang ini tahun yang mencabar buat semua, termasuk saya sendiri,” katanya seperti dipetik.

Pelajar tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu juga menyifatkan Sultan Ibrahim sebagai “sumbu harapan rakyat”.

“Pinjamkan suara Tuanku kepada kami. Najib sudah diberi peluang berulang kali. Kini tiba giliran rakyat pula diberi peluang,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.