Tuesday, December 29, 2015

Kesian Mat Maslan, Tak Tahu Beza Antara Kerja Dengan Jawatan


Apabila Ahmad Maslan mengatakan beliau sendiri melakukan tiga kerja dalam satu masa iaitu sebagai timbalan menteri, ahli parlimen dan ketua penerangan UMNO, apakah beliau sebenarnya kelihatan lebih cerdik dan hebat atau lebuh teruk daripada sebelumnya?

Semalam beliau menyebut bahawa mereka yang melakukan dua kerja dalam satu-satu masa bukanlah perkara luar biasa, malah katanya, kerajaan juga menggalakkannya sebagai satu cara menangani peningkatan kos sara hidup.

Untuk mewajarkan kata-katanya itu, hari ini beliau sekonyong-konyongnya cuba tampil dengan hujah lebih kukuh dengan menjadikan dirinya yang kononnya mempunyai tiga kerja secara serentak sebagai contohnya.

Dalam erti kata lain, Ahmad Maslan cuba meyakinkan rakyat bahawa jika beliau yang berbadan kecil dan agak rendah pula boleh memikul tiga kerja dalam satu masa, apalah susahnya untuk rakyat melakukan sekadar dua kerja sahaja.

Kesian Mat Maslan...beliau nampaknya tidak tahu membezakan antara kerja dengan jawatan. Apa yang dimilikinya sekarang iaitu sebagai timbalan menteri, ahli parlimen dan ketua penerangan UMNO secara serentak adalah jawatan dan bukannya kerja.



 




Jawatan yang disandangnya sekarang adalah anugerah, pemberian atau pilihan yang dibuat Najib Razak selaku Perdana Menteri kepadanya dan ia bukanlah kerja tambahan yang dilakukan kerana tidak cukup pendapatan.

Ia jauh berbeza dengan konsep melakukan dua kerja yang dikatakannya digalakkan oleh kerajaan sebelum ini. Lagi pun, semua orang sedia diberikan lebih daripada satu jawatan, tetapi ramai yang mengelak untuk melakukan lebih daripada satu kerja.

Selain itu, tiga jawatan yang diberikan Najib kepadanya itu, kadang-kadang boleh pula dilakukan secara serentak. Misalnya, di pejabat timbalan menterinya, beliau juga boleh berfungsi sebagai ahli parlimen dan ketua penerangan UMNO.


.

Di ketika yang lain pula, tugasnya sebagai ketua penerangan UMNO boleh juga dilakukan dengan menggunakan perbelanjaan sebagai timbalan menteri. Balik kawasan menunaikan tanggungjawab sebagai ahli parlimen juga biasanya turut menggunakan kemudahan kereta kerajaan yang diperuntukan kepadanya sebagai timbalan menteri.

Maknanya, walaupun ada tiga jawatan, ketiga-tiganya saling menyenangkan dan bantu-membantu antara satu sama lain.

Sudah tentu tiga jawatannya yang disandangnya itu berbeza dengan dua kerja yang dilakukan oleh seorang kerani kerajaan yang misalnya menjual burger atau meniaga secara kecil-kecilan pada waktu malam.

Dua kerja itu bukan saja saling berbeza, bahkan tidak boleh bantu membantu antara satu sama lain, bahkan merupakan kesalahan pula jika menggunakan kemudahan pejabat untuk berniaga atau kerja-kerja sampingan yang lain.

Oleh itu, perbandingan Ahmad Maslan mengenai dirinya itu tidak betul sama sekali. Beliau sebenarnya ada tiga jawatan yang dianugerahkan kepadanya dalam satu-satu masa yang menyebabkan pendapatannya juga bertambah.

Ia berbeza dengan mereka yang melakukan lebih daripada satu kerja untuk menambah pendapatan. Jika analogi Ahmad Maslan itu mahu diterima pakai, semua pekerja seharusnya juga diberikan satu atau dua jawatan lain yang bergaji secara serentak, bukannya mereka terpaksa melakukan kerja lain yang berbeza untuk menampung kenaikan kos sara hidup.

Lantaran itu, ramai kawan-kawan dalam UMNO bersungut mengenai kenyataan terbaru beliau dengan berkata, Ahmad Maslan lebih kelihatan sebagai seorang cerdik dan pandai apabila beliau mendiamkan diri berbanding jika mula berkata-kata.

Kata mereka, wajahnya yang bersih dan rambutnya yang sentiasa basah dan bersisir rapi itu benar-benar memperlihatkannya sebagai seorang yang boleh diyakini jika belum mendengar kata-kata yang keluar daripada mulutnya.

Namun, kata mereka, sebagaimana yang sudah banyak kali dibuktikan sebelum ini, sebaik saja mulutnya terbuka dan lidahnya berbicara, segala tanggapan awal mengenai dirinya akan musnah dengan sekelip mata.

Itulah Ahmad Maslan, sehingga di suatu peringkat apabila ramai yang memperlekeh kata-katanya, beliau segera menunjukkan pencapaian pointer CGPA 3.85 yang pernah dirangkulnya sambil berkata, "saya bukanlah bodoh sangat."

Tetapi dalam beliau mengatakan dirinya tidak bodoh itu, rasanya dalam sejarah Malaysia moden, beliaulah  satu-satunya pemimpin politik yang pernah menunjuk-nunjuk dan berbangga dengan pencapaian semasa belajar kepada umum secara terbuka.

Sudah tentu orang cerdik tidak melakukan perbuatan seperti itu kerana orang cerdik akan menunjukkan kecerdikannya melalui hasil kerjanya untuk dinilai, bukan dengan cara menayangkan sijil.

Dalam isu GST misalnya, terlalu banyak kata-kata yang pernah dilafazkannya, bukan saja tidak masuk akal, malah dakwaannya cukai baru itu akan menurunkan harga barang, sehingga sekarang masih juga tidak menjadi kenyataan.

Dalam cuba menunjukkan dirinya hebat kononnya mampu melakukan tiga kerja dalam satu masa, Ahmad Maslan secara tidak langsung telah mempamerkan ketidakcerdikannya kepada umum.

Bahkan, kesungguhannya mahukan rakyat melakukan dua kerja berbanding menumpukan lebih banyak masa untuk keluarga juga menunjukkan kegagalan kerajaan yang dianggotainya dalam meringankan beban kehidupan rakyat melalui pelbagai perancangan dan program selama ini.

Tiada apa kelebihan yang boleh dibanggakan dengan tiga jawatan serentak Ahmad Maslan itu kerana jika diperiksa, ada pengerusi GLC, selain memegang jawatan di syarikat induk, turut juga menjadi pengerusi kepada berpuluh, malah  beratus anak syarikat yang lain.

Bolehkah mereka juga lebih berbangga sambil mendakwa mempunyai beratus-ratus kerja dalam satu masa? (SH 28/12/2015).

http://shahbudindotcom.blogspot.my/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.