Friday, December 18, 2015

KERJASAMA UMNO DENGAN PAS LEBIH UNTUK SURVIVAL NAJIB

Sehingga kini Najib Razak adalah satu-satunya Perdana Menteri yang dikenalpasti paling banyak melakukan tawaran kerjasama politik kepada pelbagai pihak dalam negara ini.

Kepada pengundi bukan Melayu, beliau pernah menawarkan kerjasama melalui slogan 1Malaysia dan " I help you, you help me" tetapi kedua-duanya gagal membuahkan hasil di mana sebaik saja keputusan PRU 13, kekecewaan Najib dapat dirasakan apabila menyifatkannya sebagai tsunami Cina.

Najib juga menawarkan kerjasama lebih khusus kepada pengundi India melalui hubungan dengan Hindraf dan kemudian melantik pemimpin utamanya sebagai timbalan menteri untuk menjaga kepentingan kaum itu. Hubungan itu juga berakhir dengan kekecewaan sehingga P Waythamoorthy meletakkan jawatannya dan kembali menjauhkan diri daripada Najib kerana berpendapat banyak janji-janji yang diluahkan tidak ditepati.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, setelah memecat Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal daripada kerajaan berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang diterimanya serta membelasah semua pengkritiknya, di majlis penggulungannya beliau menghulurkan salam perdamaian dengan alasan demi perpaduan dan pengukuhan parti. Di dalam perhimpunan itu juga,

Najib menawarkan salam kerjasama dengan Pas yang selama ini dimusuhinya. Semalam pula dalam majlis alumni Al Azhar yang turut dihadiri oleh Presiden Pas, Hadi Awang di mana kedua-duanya berpakaian sedondon baju Melayu berwarna merah jambu,

Najib sekali lagi menawarkan kerjasama sambil memetik ayat-ayat suci Al Quran, surah 103 Ali-Imran yang menekankan mengenai perpaduan dan berpegang kepada tali Allah.

Dalam konteks kononnya berjiwa besar ingin berdamai dengan pengkritiknya dalam UMNO dan kemudian menawarkan pula kerjasama dengan Pas, yang mana satukah menjadi keutamaan Najib - mencari perdamaian dalam UMNO atau bekerjasama dengan Pas?

Apakah dengan menyatakan ingin berdamai itu, Muhyiddin dan Shafie akan terus dikekalkan kedudukannya dalam UMNO atau kedua-duanya tetap akan disingkirkan selepas ini?

Tanpa menunjukkan tanda-tanda susulan mahu berdamai dengan musuh dan pengkritiknya dalam UMNO, apakah kerjasama dengan Pas hanya sebagai "galang ganti" untuk memudahkan tindakan diambil diambil terhadap Muhyiddin dan Shafie?

Salam kerjasama yang dihulurkan Najib kepada Pas dengan menggunakan alumni Al Azhar dan mungkin turut sama melalui peranan Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas yang kini diberikan jawatan CEO Yayasan Kesederhanaan Global, kini pantas disambut dengan tertubuhnya sebuah jawatankuasa ke arah itu. Terlihat seolah-olah ingin cepat benar kerjsama itu mahu dijadikan kenyataan.

Kerjasama ini, walaupun sekali imbas memperlihatkan keinginan lebih di pihak Najib, tetapi tidak dinafikan Pas juga memerlukannya demi masa depan dan kepentingan politiknya. Walaupun Najib kelihatan semakin kuat dalam UMNO, tetapi perselisihannya dengan Tun Mahathir, Muhyiddin dan Shafie membuatkan parti itu semakin jauh di hati rakyat.

Rakyat lebih melihat isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang dibangkitkan oleh ketiga-tiga pemimpin itu terlalu banyak kebenaran yang sukar dinafikan.

Berbaik dan bekerjasama dengan Pas mungkin menjadi pertimbangan Najib untuk terus menjarakkan diri dan "berkerat rotan" dengan Tun Mahathir, Muhyddin dan Shafie dengan keyakinan bahawa kerjasama itu mampu mendatangkan sokongan rakyat yang lebih melimpah kepada pengekalan kuasanya.

Jika tidak bermasalah dengan Tun Mahathir, Muhyiddin dan Shafie, apakah mungkin salam kerjasama kepada Pas itu dihulurkan oleh Najib? Pas pula baru saja berpecah dengan kumpulan progresif dan kehilangan bekas Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu serta lain-lain pemimpin yang merupakan aktivis dalam parti itu.

Walaupun Pas kelihatan masih utuh, tetapi akibat perpecahan dan penubuhan Amanah, sokongan rakyat kepadanya juga berkurangan khususnya di kalangan profesional dan pekerja sektor awam serta swasta.

Dengan bekerjasama dengan UMNO, Pas sebagai sebuah parti politik, tidak lain keinginannya selain berharap dapat mengekalkan pengaruh dan kuasanya di negeri-negeri tertentu. Hakikatnya, kerjasama ini ditawarkan dan disambut ketika kedua-duanya,

UMNO dan Pas sedang bermasalah dari segi sokongan rakyat. Tetapi yang paling mendapat manfaat daripada kerjasama itu ialah Najib sendiri.

Dengan Pas yang diomong-omongkan berlabel Islam pun sedia berbaik dengannya, Najib kini secara langsung dapat "menyucikan" dirinya daripada isu wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya itu.

Sekarang ini bukan saja Haji Hadi tidak melhat isu wang itu sebagai hal besar kepada Najib yang tiba-tiba bergelar bilionaire, malah pemimpin, ahli dan penyokong Pas pun turut kurang kedengaran bercakap mengenainya seolah-olah memasukkan wang besar ke poket sendiri ketika berjawatan besar adalah amalan yang sudah tidak berbangkit lagi dari segi salah benar atau halal haramnya. 
 
Sudah pasti selepas ini Najib tidak lagi bercakap mengenai 1Malaysia atau "I help you, you help me" kepada bukan Melayu.

Lidahnya akan lebih petah bercakap mengenai jiwa Melayu, perpaduan Islam, kabilah, malah mungkin petikan terjemahan Al Quran yang bersesuaian turut semakin kerap diungkapkan. 
 
Bekerjasama dengan Pas bukan saja untuk memudahkan Najib bertindak terhadap musuh-musuhnya dalam UMNO sambil dapat "menyucikan" dirinya, malah PRU 14 juga bakal memperlihatkan pengundi Melayu akan menjadi keutamaan baru setelah bukan Melayu mengecewakannya dalam PRU 13 lalu.

 
Posted & copy by RAKYAT MARHAEN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.