Sunday, December 27, 2015

Jangan main-main dengan undi kita



undi

Kita perlu mempersoalkan sama ada SPR mempunyai niat yang jahat ketika menyekat saluran untuk pendaftaran pengundi

COMMENT
 
Oleh Thomas Fann

Negara kita adalah negara demokrasi, hak memilih jenis kepimpinan dan masa depan negara adalah hak asasi kita. Tiada sesiapa pun harus berfikir mereka boleh menafikan hak kita untuk mengundi atau memanipulasikan undi kita.

Namun begitu, terdapat sekitar 4 juta rakyat Malaysia berumur 21 tahun masih belum berdaftar sebagai pengundi. Manakala setiap tahun sekitar 450,000 warganegara yang mencapai umur 21 tahun dan layak untuk menjadi pengundi.

Berdasarkan maklumat yang dilaporkan oleh Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, jumlah pendaftaran pengundi baru dari Mei 2013 hingga Mei 2015 adalah 373,467. Jadi pendaftaran purata setiap tahun adalah hanya lebih kurang 125,000, atau dalam erti kata lain setiap tahun ada 325,000 pengundi baru yang layak tetapi tidak berdaftar.

Mengikut kadar pendaftaran pengundi baharu yang terkini, pada Pilihan Raya Umum ke-14, kita akan mempunyai sekurang-kurangnya 5 juta daripada sekitar 18-19 juta pengundi yang tidak berdaftar untuk mengundi.

Kemungkinan sikap apati adalah antara sebab ramai belum berdaftar sebagai pengundi. Kejahilan tentang hak-hak mereka atau kekurangan kepercayaan pada proses pilihan raya boleh menyumbang kepada sikap apati.

Biasanya kadar mengundi rendah pada pilihan raya adalah tanda yang mencerminkan sikap apati terhadap politik. Tetapi di Malaysia, kita telah melihat purata kadar mengundi yang agak tinggi dalam tiga pilihanraya umum yang lalu, iaitu 78 peratus. Bahkan, PRU yang lepas mencapai kadar mengundi yang setinggi 85 peratus. Ini menunjukkan sikap apati terhadap politik bukan sebab utama mengapa orang tidak berdaftar sebagai pengundi.

Pada pendapat saya, sebab mengapa kita masih mempunyai bilangan layak mengundi yang tidak berdaftar adalah masalah proses itu sendiri. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab untuk mendaftar pengundi baharu telah membikin proses semakin rumit, lantas menghadkan saluran bagi orang ramai mendaftar.

Sehingga pilihan raya umum yang lalu pada tahun 2013, saluran yang menghasilkan bilangan pendaftaran tertinggi adalah melalui Pegawai Penolong Pendaftar (ARO) dari parti politik. Tetapi selepas itu, SPR telah berhenti melantik AROs dari parti politik, atas dakwaan bahawa mereka telah menyalahgunakan proses.

Kita perlu mempersoalkan sama ada SPR mempunyai niat yang jahat ketika menyekat saluran untuk pendaftaran pengundi. Adakah dengan sekatan tesebut, SPR boleh mendaftarkan pengundi yang memenuhi profil tertentu sahaja? Ataupun melantik NGO pro-kerajaan atau unit propaganda kerajaan seperti JASA sahaja yang mendaftarkan pengundi?

Menurut satu kajian terbaru Projek Analisis Daftar Pemilih Malaysia (MERAP), kebanyakan pendaftaran pengundi pada suku pertama 2014 di 13 kerusi marginal Parlimen tertumpu kepada kumpulan etnik tertentu. Tiga belas kerusi marginal yang dikaji itu adalah dari Pahang, Selangor, Johor, Perak dan Kuala Lumpur.

Pada pilihan raya yang lalu, terdapat 38 kerusi Parlimen yang dimenangi dengan undi kurang daripada 2,000 undi dan 77 kerusi yang dimenangi dengan undi kurang daripada 5,000 undi. Oleh kerana itu, pendaftaran pengundi selektif mengikut kumpulan etnik atau profil mengundi di kawasan yang disasarkan boleh menngakibatkan impak yang besar.

Kalau kita memerhati kesulitan pendaftaran pengundi dan ketidakpastian status sama ada pengundi berjaya mendaftar atau tidak, kemungkinan ada muslihat yang mengeksploitasi Seksyen 15 Akta Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dengan membuat bantahan palsu terhadap pengundi baharu.

Selepas seseorang mendaftar sebagai pengundi baharu atau bertukar kawasan mengundi, nama mereka akan dipamerkan selama sebulan di pejabat pos dan pejabat SPR. Dalam tempoh itu, orang ramai boleh memeriksa dan membuat bantahan jika mereka dapat membuktikan bahawa pengundi itu tidak wujud.

Dalam kes-kes yang terbongkar di Selangor, pembantah hanya menyatakan bahawa pengundi tidak dapat dikesan dalam borang bantahan mereka. Kemudian SPR akan menghantar surat kepada pengundi yang dibantah untuk hadir ke pejabat mereka pada tarikh yang ditetapkan. Jika mereka tidak hadir, nama mereka akan dikeluarkan daripada senarai. Ramai orang tidak sempat hadir temu janji mereka dan nama mereka dikeluarkan daripada senarai.

Berdasarkan profil mereka yang dibantah, adalah munasabah untuk mempercayai bahawa terdapat satu muslihat yang dirancang untuk mengurangkan bilangan pengundi di kawasan sasaran tertentu. SPR perlu hentikan penyalahgunaan ini atau dituduh sebagai konspirator bersama dalam muslihat ini.

Dalam satu temu bual dengan Utusan Malaysia, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, beliau tidak faham mengapa belia Malaysia lebih suka meluahkan perasaan mereka melalui demonstrasi jalanan daripada mendaftar sebagai pengundi. Mungkin jawapannya adalah mereka telah lagi percayakan proses pilihan raya SPR.

Laporan Projek Integriti Pilihan Raya (Electoral integrity Project) Universiti Harvard dan Universiti Sydney membuat kesimpulan bahawa berdasarkan kepada pilihan raya umum lepas, Malaysia mempunyai salah satu undang-undang pilihan raya dan persempadanan kawasan pilihan raya yang paling buruk dalam dunia.

Kesan kehilangan keyakinan dalam sistem pilihan raya kita bukan hanya mengakibatkan demonstrasi jalanan yang disebut oleh Aziz, tetapi ia mewujudkan kos politik, sosial dan ekonomi yang besar.

Sebagai rakyat yang masih percaya kepada sistem pilihanraya, hak mengundi dan kesucian setiap undi, kita perlu memikirkan cara untuk mendapatkan orang ramai untuk mendaftar sebagai pengundi untuk pilihan raya yang akan datang, dan untuk menggagalkan sebarang usaha untuk menurunkan nilai atau menipu undi kami. Jangan main-main dengan undi kita, kesabaran Rakyat ada batasnya.

Thomas Fann adalah pengerusi ENGAGE, sebuah badan bukan kerajaan untuk mendayakan pembabitan rakyat dalam pembangunan negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.