Bekas pemimpin mahasiswa kata Pas ‘mengongkong’
Mereka berasal daripada satu jemaah dan
tinggal di rumah sewa yang sama ketika belajar, namun 4 sahabat rapat
ini memilih parti politik yang berbeza selain PAS, parti yang “mendidik”
mereka ketika di kampus.
Ketika di peringkat nasional, pemimpin
progresif parti itu keluar dan membentuk Parti Amanah Negara (Amanah),
aktivis pelajar Khairul Najib Hashim, Mohammad Amar Atan, Fahmi Zainol
dan Adam Fistival Wilfrid, anak didik PAS semasa di Universiti Malaya,
menyatakan mereka berasa PAS seperti cuba “mengongkong.”
“Kami anggap kampus adalah pusat latihan
dan bereksperimen dalam kegiatan kami namun apabila PAS cuba
mengongkong, kami mula memberontak,” kata Khairul kepada The Malaysian
Insider.
Parti Islam itu, yang kini bersendirian
kerana enggan menyertai parti pembangkang lain dalam Pakatan Harapan,
mempunyai unit pengkaderannya sendiri di semua universiti dalam negara.
UM adalah antara tapak kuat gerakan PAS
sejak 1980an lagi apabila ia mula membuat jaringan di kampus selepas
Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Angkatan Belia Islam Malaysia
(Abim) dan menyertai Umno pada 1983.
Khairul, bekas presiden Persatuan
Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Amar, presiden Persatuan
Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) 2014/2015 menyertai Amanah.
Kedua-duanya kini dilantik sebagai exco Pemuda Amanah dan diberikan tugas penting oleh parti pecahan daripada PAS itu.
Fahmi, bekas presiden PMUM 2013/2014 bersama Adam menyertai PKR dan mendapat tempat dalam badan induk parti itu.
Fahmi dilantik pengerusi biro mahasiswa
PKR manakala Adam, seorang Kristian dari Sabah dilantik sebagai
koordinator myChangeMakers untuk PKR.
Walaupun bukan Islam, Adam dibenarkan menyertai rangkaian kampus PAS.
Ketika mengumumkan penyertaan Fahmi dan
Adam ke dalam PKR baru-baru ini, naib presiden parti itu Nurul Izzah
Anwar itu berkata beliau yakin penyertaan 2 pelajar itu bakal menjadi
pemangkin ke arah kesedaran anak muda akan kepentingan mengambil peduli
isu politik dan isu yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat secara
am, tanpa mengira agama atau warna kulit.
Keempat-empat mereka asalnya aktivis
kampus dan masih tinggal di rumah sewa yang sama sehingga sekarang
kerana masih belum menamatkan pengajian masing-masing.
Malah seorang senior mereka, Sheikh Omar
Ali, bekas ketua Pemuda PAS kawasan di Johor, turut mengambil keputusan
sama meninggalkan parti itu dan lari lebih jauh dengan menyertai DAP,
sebuah parti yang dilabel PAS sebagai “anti Islam”.
Khairul, yang mengambil jurusan pengajian Islam adalah Amir Kampus untuk jemaah mereka di UM.
“Sebelum kami bertindak melawan arahan
kepimpinan PAS beberapa tahun lalu, pelajar Fakulti Perubatan terlebih
awal berbuat demikian,” cerita Khairul kepada The Malaysian Insider.
Ketika itu katanya, kesemua mereka sangat tidak senang dengan tindakan PAS yang cuba mengongkong gerakan mereka di kampus.
“Mereka (pelajar perubatan) tidak setuju PAS dibawa ke kampus secara langsung. Kami ketika itu boleh bertahan lagi.
“Tetapi apabila PAS cuba mengongkong
dengan meminta kami tidak jemput ustaz tertentu, menyekat ustaz ini,
penceramah itu tidak boleh, kami rasa PAS seperti (Jabatan) Hal Ehwal
Pelajar (HEP) yang mengongkong kami, sedangkan selama ini kami yang
menentang pendekatan HEP ini,” katanya.
Bagi mereka, PAS sepatutnya menyediakan modul tarbiah sahaja dan memberi kebebasan bereksperimen di kampus.
Tetapi, apabila PAS mula mengongkong dan
dibawa ke kampus secara langsung, sikap mahu melawan mula wujud di
kalangan pelajar itu.
Khairul menganggarkan, 50% rakan-rakannya dalam jemaah di UM menyertai Amanah dan hanya 10-15% sahaja kekal bersama PAS.
Manakala selebihnya, tidak menyertai mana-mana parti politik tetapi mengambil peluang pekerjaan termasuk dalam kerajaan.
“Pelajar lelaki lebih ramai menyertai Amanah berbanding wanita.
“Pelajar wanita bukan tidak mahu
menyertai Amanah tetapi menganggap tindakan itu sebagai ‘meninggalkan’
jemaah yang sama-sama kami bina di kampus,” katanya.
Fenomena yang sama wujud di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kongkongan PAS dilihat menghasilkan
kumpulan “rebel” (memberontak) yang mula melawan pendekatan parti itu di
kampus dan berakhir dengan menyertai Amanah apabila parti itu
ditubuhkan.
Monday, December 14, 2015
‘Koalisi’ kepartian dan keutuhan dasar bersama, mana lebih utama?
BERDEPAN dengan politik kuasa di
peringkat nasional, nyata sekali banyak kelemahan dalam gabungan politik
pembangkang dan ia menimbulkan kemusykilan rakyat.
Maka penganalisis dan penggemar politik merasakan wujudnya ketidaksediaan pembangkang mengambil alih kuasa kerajaan BN.
Sehingga hari ini, kerajaan UMNO BN pada
setiap sesi perbahasan di Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN)
terus menerus menerima tekanan kuat dari pembangkang, baik dalam
perbahasan bajet mahupun perbahasan Rang Undang-Undang (RUU).
Sungguhpun hubungan politik antara parti
pembangkang ketika ini haru-biru (termasuk baru-baru ini sebahagian
wakil rakyat PAS tidak bersama dengan wakil DAP dan PKR menolak bajet BN
di Parlimen).
Namun momentum penentangan yakni
perbahasan dasar di Dewan Rakyat oleh wakil rakyat pembangkang tetap
ampuh ketika berdepan kerajaan BN di setiap negeri dan Parlimen. Di
Dewan Negeri Johor sahaja, wakil rakyat BN berasa lelah dengan
perdebatan dewan.
Suhu berkenaan tidak akan surut
sehinggalah penggal kerajaan BN tamat, malah keadaan itu lebih hangat
dan kritikal lagi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Ini
penting kerana kekuatan pembangkang hari ini bukan lagi bergantung pada
hubungan ‘koalisi’ atau gabungan antara parti tetapi lebih nyata dalam
aspek hubungan tugas sebagai wakil rakyat baik di DUN mahupun Parlimen.
Ekosistem ini berubah kerana momentum
keresahan rakyat terhadap isu-isu utama dalam aspek ekonomi dan sosial.
Hal kepartian sudah tidak begitu menjadi agenda.
Jika diukur hebat atau utuh sekalipun
hubungan gabungan antara parti pembangkang, ia belum tentu dapat
menggugah hegemoni kuasa politik BN di Dewan Rakyat, malah ia belum
tentu mampu mengolah gelombang penentangan rakyat terhadap dasar
pemerintahan BN.
Perkara kedua, sekalipun gabungan
politik pembangkang retak seribu, kerajaan negeri seperti Selangor dan
Pulau Pinang kekal stabil pada dasarnya, baik dalam urus tadbir dan
aspek pertumbuhan ekonomi dan urusan kebajikan sosialnya.
Tidakkah kita berasa satu perkara yang
unik apabila keadaan politik kepartian meliar dan meribut tetapi tugas
hakiki sebagai wakil rakyat dan kerajaan, terus berjalan teratur, malah
cekap?
Indikasi itu sangat signifikan apabila
kita rujuk kembali visi pakatan pembangkang yang berhasrat membawa satu
budaya politik baru dan menolak kuasa politik UMNO BN.
Kita sering menggambarkan bahawa
menerusi kekuatan gabungan antara parti, barulah ia membawa kejayaan
politik untuk menukar kerajaan BN. Gambaran itu, hari ini, boleh menipu
kita kembali.
Dalam politik baru sepertimana hasrat
gabungan pembangkang, kekuatan sebenar yang boleh menumbangkan BN bukan
semestinya terletak pada kepartian.
Bukan bermakna parti tidak penting
tetapi dalam senario kebencian rakyat terhadap UMNO BN pada masa ini,
kekuatan sebenarnya banyak bergantung pada peringkat pembuat atau
merangka dasar ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya.
Gabungan kepentingan rakyat itu mungkin
bentuknya belum dapat dizahir sebagai entiti yang mudah difahami oleh
rakyat biasa, macam alien. Kerana kita semua berazam untuk membentuk
sistem dua parti iaitu BN dan Pakatan.
Maka, bentuk selain BN atau Pakatan,
sukar muncul atau tidak dapat difahami. Imaginasi itu terhenti setakat
di situ sahaja, ini kelemahannya.
Dalam merangka dasar, baik pada
peringkat DUN atau Parlimen, kefahaman dan kerjasama antara wakil rakyat
pelbagai parti enting untuk mengundi sesuatu dasar atau undang-undang,
berbeza dengan identiti parti yang sering memisah dan menjarakkan
kerjasama.
Sebagai contoh, BERSIH. Kempen itu
menjadi massa dan berpengaruh bukan kerana kekuatan politik kepartian,
sebaliknya kerana semua pihak bersetuju dengan perjuangan BERSIH baik
pada peringkat awam dan wakil rakyat di Parlimen termasuk sebahagian
dari BN.
Maka kerana itu, BERSIH berjaya membawa mesejnya walaupun ada parti politik yang tidak menyokong atau menyertainya.
Contoh kedua, kempen PAS untuk Hudud. Ia
gagal pada peringkat pembuat dasar (Parlimen). Ini kerana dasar itu
tidak mendapat sokongan majoriti wakil rakyat pelbagai parti politik,
hatta UMNO yang kononnya sanggup menerima pembentangan RUU itu.
Jadi nyata sekali, gabungan parti
politik bukan lagi menjadi kekuatan utama untuk menjana kemenangan
sebaliknya kekuatan itu terletak pada pembuat dasar termasuk dalam
kalangan badan bukan kerajaan (NGO) politik dan sosial.
Cumanya, bagaimana hal ini dapat dipermudah untuk kefahaman dan penerimaan rakyat.
Kepercayaan tak boleh dipaksa tetapi boleh dibina. Jadi, adakah kita boleh percaya pada pembangkang?
* Mahdzir Ibrahim ialah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.