Saturday, November 28, 2015

Pemecatan Hamidah bercanggah Perlembagaan UMNO Mohamad Fadli


muhyiddin_Hamidah-Osman_umno_600Hamidah Osman sepatutnya dipanggil ke Lembaga Disiplin untuk memberi penjelasan dan membela diri terhadap tuduhan ke atas.

PETALING JAYA: Pemecatan Datuk Hamidah Osman sebagai ahli UMNO bercanggah dengan Perlembagaan parti kerana bekas Ketua Wanita Bahagian Gopeng tidak pernah di panggil ke Lembaga Disiplin untuk membela diri.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemecatan Hamidah sepatutnya juga menjadi pilihan terakhir mengikut Fasal 20.9 Perlembagaan parti jika beliau meakukan kesalahan besar yang melanggar Perlembagaan dan Tataetika Ahli UMNO.

Katanya, tindakan Majlis Tertinggi (MT) memecat Hamidah menimbulkan persoalan kerana beliau dipecat kerana menghadiri majlis bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga masih ahli UMNO.

“Saya ingin bertanya, adakah menghadiri satu majlis bersama bekas Presiden UMNO, yang turut dihadiri oleh ramai pemimpin dan ahli UMNO yang lain, merupakan satu kesalahan disiplin? Jika ia adalah satu kesalahan disiplin, maka saya rasa ramailah ahli UMNO yang terpaksa dilucutkan keahlian mereka dan tinggallah UMNO sebagai parti yang semakin kehilangan ahli dan penyokong,” katanya.

Muhyiddin berkata, kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada 1998 tanpa perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin tidak boleh dijadikan hujah bagi kes Hamidah kerana Perlembagaan parti telah dipinda, dua tahun selepas kes Anwar.

“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan UMNO pada waktu itu, saya telah mengusulkan supaya satu Lembaga Disiplin yang bebas dan terdiri daripada ahli-ahli yang tidak berkepentingan dalam parti diwujudkan.

“Tujuannya ialah supaya sebarang keputusan yang diambil oleh Lembaga Disiplin tidak berat sebelah, `without fear or favour’, adil, telus dan pihak yang diadili akan dapat menerima keputusan yang dijatuhkan keatasnya,” katanya.

Muhyiddin berkata, beberapa perkara pelik berlaku dalam UMNO sejak kebelakangan ini disebabkan beberapa pemimpin UMNO telah terhakis sikap bertanggungjawab, adil dan amanah.

“Kepada segelintir mereka ini, saya ingin berpesan. Ingatlah, UMNO bukan parti milik mana-mana individu. UMNO adalah parti milik seluruh umat Melayu! Jangan dihiris hati orang Melayu dengan tindakan tidak amanah dan tidak bertanggungjawab anda semua,” tegasnya.


FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.