KAMPAR – Seorang cedera di tangan dan kepala selepas terlibat dalam satu pergaduhan membabitkan enam lelaki, termasuk tiga beradik di tepi jalan masuk Labu Kuchi, di sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung kejadian kira-kira jam 4 petang itu.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan tersebut, anggotanya segera ke lokasi kejadian dan menahan enam lelaki berusia antara 17 sehingga 32 tahun dipercayai terbabit dalam pergaduhan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, pergaduhan tercetus apabila suspek berusia 20 tahun bertindak menghina ibu seorang lagi suspek berusia 17 tahun.
“Akibat tidak puas hati, mereka bertemu semula pada waktu petang dan berlaku pergaduhan antara satu sama lain sehingga menyebabkan suspek berusia 20 tahun itu mengalami patah tangan dan luka di kepala.
“Suspek yang cedera itu kemudiannya dibawa ke Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Difahamkan, polis turut merampas beberapa senjata iaitu kayu panjang dan sebilah parang dipercayai digunakan suspek dalam insiden tersebut.
Kong Soon berkata, semua suspek terbabit telah direman bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
BLM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.