Posting di laman Facebook bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang mendakwa Raja Muda Selangor memeluk agama Kristian adalah bersifat menghasut, kata Dewan Diraja Selangor hari ini.
Walaupun Rahim berulang kali memohon maaf kepada istana kerana
perbuatannya yang melanggar tatasusila itu, Setiausaha Dewan Hanafisah
Jais berkata, dakwaan tidak bertanggungjawab itu mengandungi unsur
fitnah.
"Setelah membaca kandungan kenyataan yang dikeluarkan
Rahim, Dewan Diraja Selangor berpendapat dan merumuskan kenyataan
tersebut berbaur hasutan dan mempunyai unsurunsur fitnah yang boleh
membangkitkan perasaan benci umat Islam kepada Raja Muda dan Sultan
Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rahim menerusi akaun Twitter dan Facebook beliau pada 25 September lalu
mendakwa Sultan Selangor bakal bertemu ketua agama Katolik dan Raja Muda
Selangor Tengku Amir Shah bakal menukar agama kepada Katolik.
Beliau bagaimanapun menarik balik kenyataan itu yang menurutnya datang daripada laman web yang tidak disahkan kesahihannya.
"Kenyataan beliau yang menyatakan Sultan Selangor akan bertemu Pope di
Vatican City jelas merupakan pembohongan dan fitnah dan tidak seharusnya
dikeluarkan beliau yang merupakan bekas ketua menteri dan timbalan
menteri.
"Kenyataan beliau ini juga perlu dibanteras bagi mengelakkan umat Islam
daripada terus mempercayai dan menyebarkan pembohongan dan fitnah ini
yang boleh mengakibatkan mereka tergelincir menjadi golongan fasik,"
kata Hanafisah dalam kenyataan itu.
Rahim dalam kenyataannya memetik World Daily News Report, sebuah laman
web satira, yang mendakwa Tengku Amir memeluk agama Katolik.
Beliau kemudian merakamkan kesedihannya berkenaan perkara itu yang
menurutnya berlaku serentak ketika umat Islam yang menunaikan sedang
haji terlibat dalam tragedi kematian di Mekah dan Arafah.
Menurut Hanafisah, ketua polis negara sendiri sudah mengesahkan berita itu palsu sejak ia mula viral tahun lepas lagi.
"Dewan Diraja melahirkan kekesalan kerana Rahim tiada langsung mengambil
sebarang langkah menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang posting
yang dibuat portal-portal luar sebelum memberi pendapat dan komen
beliau.
"Adalah amat mudah bagi beliau untuk membuat semakan bagi menentukan
kebenaran berita berkenaan sekiranya beliau mempunyai sifat
tanggungjawab," kata Hanafisah lagi.
Jelasnya lagi, Raja Muda Selangor kini menjalani latihan ketenteraan di
United Kingdom dan akan menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
apabila pulang ke tanah air.
"Dewan Diraja Selangor ingin memaklumkan Raja Muda ketika ini menjalani
latihan pegawai kadet di Akademi Tentera di-Raja Sandhurst, United
Kingdom.
"Sekembalinya baginda ke negara, baginda akan ditauliahkan dalam perkhidmatan ATM," katanya.
"Dewan Diraja Selangor menyeru agar Rahim memberhentikan dengan
serta-merta segala tindak tanduknya menyebarkan berita palsu dan
pembohongan ini," kenyataan Hanafisah dipetik.
Terdahulu, Hanafisah dan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamed
Munir Bani dilaporkan membuat laporan polis berhubung kenyataan Rahim
itu.
ADDIN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.