Saturday, October 31, 2015

9 Soalan UMNO Semporna



Ketika berita penyingkiran beberapa pemimpin kanan Umno semakin hangat diperkatakan, salah satu bahagian parti itu yang terlibat secara langsung dalam isu berkenaan hari ini tampil mengemukakan sembilan soalan secara terbuka.

Kenyataan dikeluarkan Umno bahagian Semporna itu juga mengingatkan pucuk pimpinan parti berkenaan bahawa tokoh yang dilihat kritikal terhadap Datuk Seri Najib Razak itu mempunyai penyokong tegar di seluruh negara.

"Tujuh pemimpin yang disebut-sebut itu - terutama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal - bukan hanya mempunyai penyokong tegar di kawasan yang mereka wakili malah ada di seluruh negara.

"Perlu diingatkan bahawa setiap undi dan kerusi dalam pilihan raya umum ke-14 nanti adalah penting kepada survival Umno," kata kenyataan berkenaan.

Pertanyaan yang dikemukakan Umno Semporna hari ini adalah:

Adakah bersuara demi kepentingan rakyat kini bukan lagi keutamaan kepada parti?

Adakah syarikat 1MDB menjadi institusi yang lebih penting, berkuasa dan lebih besar pengaruhnya berbanding Umno?

Adakah 1MDB ini milik Umno?Adakah dengan menyokong 1MDB ini dapat menguatkan parti Umno?

Adakah melalui penyingkiran, pengantungan dan pemecatan pemimpin dan bekas pemimpin Umno dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti?

Adakah pemimpin serta Setiausaha Agong Umno sedar majoriti ahli parti dan rakyat percaya bahawa pemimpin yang kononnya dikhabarkan sedang dipantau itu menyuarakan sesuatu isu yang sememangnya dekat dengan hati rakyat?

Kuat sangatkah Umni pada hari ini hinggakan pemimpin atasan seolah-olah lupa bahawa asas perjuangan Umno adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan kepentingan pemimpin?

Adakah desakan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan dan penyelewangan itu selarin dengan kenyataan Najib sebagai Presiden Umno?

Dalam konteks Sabah pula, apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat negeri itu jika Mohd Shafie disingkirkan kerana menyataan kebimbangan terhadap parti?

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan mengenai tujuh pemimpin misteri Umno yang sedang dipantau untuk diambil tindakan disiplin.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata langkah itu akan diambil selepas proses berkaitan selesai dibuat.

Katanya Umno "sudah penat melayananggota parti yang mengeluarkan kenyataan tidak sesuai kepada orang umum".

Bersuara demi rakyat

Umno Semporna diketuai oleh Mohd Shafie yang juga salah seorang daripada pemimpin kanan yang dipercayai sedang dipantau ibu pejabat parti ketika ini.

Beliau dan Muhyiddin adalah antara tokoh yang pernah membangkitkan persoalan mengenai cara Najib mengendalikan beberapa isu negara, termasuk agensi pelaburan tajaan kerajaan 1MDB.

Menurut kenyataan Umno Semporna, Mohd Shafie adalah salah seorang pemimpin yang bertanggungjawab membawa Umno ke Sabah.

Dengan rekod "cemerlang dalam memikul tanggungjawabnya" sebagai wakil rakyat dan pernah berkhidmat sebagai menteri di tujuh kementerian, mereka mempertikaikan kewajaran Mohd Shafie disingkirkan hanya kerana "bersuara demi kepentingan rakyat".

"Ahli Jawatankuasa Umn Semporna amat kecewa dengan khabar angin yang mengatakan terdapat usaha menyingkirkan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno serta Mohd Shafie selaku naib presiden.

"Ketika ini Umno berdepan masalah kemerosotan keyakinan rakyat terhadap parti dan ia dapat dibuktikan dengan keputusan dua 2 pilihan raya umum lalu apabila buat pertama kali dalam sejarah, parti kalah undi popular kepada pembangkang.

Adakah dengan penyingkiran, pengantungan dan pemecatan pemimpin serta bekas pemimpin Umno yang banyak berjasa dapat mengembalikan keyakinan rakyat?" katanya.

Menurut Umno Semporna lagi, sehingga kini Muhyiddin dan Mohd Shafie tidak pernah mengeluarkan kenyataan menuduh perdana menteri melakukan penyelewengan.

Sebaliknya, kata mereka, kedua-dua pemimpin itu secara konsisten mengeluarkan kenyataan supaya 1MDB serta kementerian kewangan perlu telus dan jujur membuat penjelasan kepada rakyat.

"Jika terdapat salah laku atau penyelewangan, mereka yang telibat perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa takut atau pilih kasih. Bukankah ia selaras dengan kenyataan perdana menteri?" kata kenyataan itu.

Ketika ini, kata Umno Semporna, golongan muda dahagakan pemimpin berani menyatakan kebenaran dan bukan tokoh bersuara dengan bongkak, retorik serta mengampu "seperti yang berlaku sekarang".

Malah lebih teruk, katanya, ada pihak mencabar pemimpin tertentu keluar dari Umno atau BN jika tidak menyokong perdana menteri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.