Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini dilihat sebagai seorang pemimpin Melayu yang radikal kerana menyuarakan sesuatu isu untuk rakyat, kata Syed Muhd Khairudin Aljunied.
Pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS) turut menyifatkan bekas perdana menteri itu seperti Dr Burhanuddin Alhelmy.
Ini kerana, katanya, Dr Mahathir kini dilihat berani menyuarakan isu-isu tertentu demi kepentingan negara.
"Saya lihat apa yang Tun Mahathir lakukan sekarang adalah sebahagian daripada apa yang telah dilakukan oleh kaum Melayu radikal pada waktu dulu. Dia sekarang menjadi seorang yang radikal.
"Dia ialah Burhanuddin di zaman kita," kata Khairudin ketika ditemui Malaysiakini selepas majlis pelancaran bukunya yang bertajuk 'Radicals Resistance and Protest in Colonial Malaya' di Bangsar hari ini.
Syed Muhd Khairudin, yang banyak mengkaji sejarah Islam di Asia Tenggara, berkata, antara sebab mengapa Dr Mahathir dianggap sedemikian kerana negawaran itu kini dilihat membawa semangat Melayu radikal tahun 1940-an dengan berjuang bersama rakyat.
"Saya ingin katakan bahawa beliau (Mahathir) secara jelas membawa semangat Melayu radikal pada 1940-an apabila dia sekarang cuba untuk berjuang untuk rakyat, bersama rakyat dan menjadi sebahagian daripada rakyat.
"Secara ironinya, orang akan kata beliau dulu tak seperti sekarang. Tetapi saya rasa, sejarah berubah dan mungkin dia belajar dari sejarah," katanya lagi.
Menceritakan dengan lebih lanjut, Syed Muhd Khairudin berkata, Dr Mahathir sendiri dilihat seorang yang radikal ketika berada dalam Umno suatu ketika dahulu, yang turut dianggapnya sebagai sebuah badan pergerakan yang radikal.
"Dia (Mahathir) juga sebelum ini memang seorang yang radikal dalam Umno dan Umno juga mendapat sokongan yang besar kerana perkara itu," katanya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai buku terbarunya itu, Syed Muhd Khairudin berkata, ia menceritakan tentang sejarah Melayu yang radikal dan memberi gambaran tentang bagaimana pemikiran orang Melayu pada waktu itu.
Walaupun terdapat pemimpin Melayu yang radikal sebelum ini dianggap pengkhianat, namun dalam bukunya itu beliau mengetengahkan tentang bagaimana pemimpin yang radikal cuba mengubah pemikiran masyarakat dengan pelbagai cara termasuk politik.
"Satu yang dapat kita pelajari dari mereka ialah mereka ialah orang yang bukan sahaja menulis buku-buku yang memanfaatkan masyarakat malah mereka juga memainkan peranan yang penting di peringkat akar umbi iaitu mereka bersama orang miskin, orang biasa yang cuba merubah masyarakat daripada bawah dan yang di atas.
"Oleh sebab itu, banyak buku sekarang tidak menitikberatkan tentang perjuangan orang radikal yang mengubah segala cara dan pemikiran orang Melayu waktu itu.
"Kita ada masalah buku sejarah apabila ia ditulis dari perspektif elit atau yang cuba ketepikan mereka yang beri idea revolusi pada waktu itu. Kita harus kembalikan orang ini dalam sejarah kita," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.