Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia atau Pemikir, sebuah NGO yang dianggotai oleh tokoh-tokoh penting yang pernah berjasa dalam dunia politik dan sektor awam negara, turut tampil menolak perhimpunan baju merah yang dirancang pada 16 September ini.
Presiden Pemikir, Aziz Yassin berkata, pihaknya menolak perhimpunan tersebut kerana ianya akan menghancurkan keharmonian rakyat dan perpaduan kaum yang sudah terjalin dengan baik dalam negara selama ini.
Apatah lagi, tegas beliau, dengan kedudukan orang-orang Melayu yang rapuh sekarang ini, himpunan tersebut tidak membawa sebarang kebaikan atau nilai tambah kepada sesiapa.
Oleh yang demikian, tambahnya, masa depan orang-orang Melayu dari segi kedudukan, maruah dan harga dirinya harus diperjuangkan dalam bentuk yang lain dan bukannya melalui perhimpunan baju merah tersebut.
Dengan pendirian Pemikir ini, bermakna satu lagi suara yang mesra dengan UMNO dan BN telah tampil menyatakan bantahan terhadap himpunan baju merah yang dirancang untuk diadakan di beberapa tempat di sekitar Bukit Bintang sempena sambutan Hari Malaysia, 16 September ini.
Selain Aziz Yassin yang merupakan abang kepada Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin sebagai Presidennya, Pemikir turut dianggotai oleh Sabbaruddin Chik, Sanusi Junid, Osu Sukam, Dr. Afifuddin Omar, Azmi Khalid, Musa Hasan, Abu Talib Othman, Salahuddin Mohamad, Dr Ibrahim Saad dan ramai lagi.
Sebelum ini Tun Mahathir Mohamad, Rafidah Aziz, Dr Ramlah Adam dan beberapa tokoh lain turut menolak penganjuran himpunan baju merah yang temanya bertukar-tukar daripada "himpunan Melayu bangkit" kepada "himpunan Melayu bersatu" dan akhirnya menjadi "himpunan rakyat bersatu".
Rata-rata rakyat juga menolak himpunan baju merah ini kerana ia dilihat tidak mempunyai tujuan khusus untuk negara, melainkan untuk menzahirkan sokongan terhadap Najib semata-mata sebagai reaksi kepada suara penolakan terhadapnya yang kian bergema dalam himpunan Bersih 4, baru-baru ini.
Dalam himpunan Bersih 4 di sekitar Dataran Merdeka selama 34 jam pada 29 dan 30 Ogos lalu yang dihadiri kira-kira 500 ribu peserta, selain menuntut pilihanraya dan ekonomi yang bersih, peserta juga menuntut perletakan jawatan Najib yang disifatkan gagal menjelaskan dengan jujur wang RM2,600 juta yang mengalir masuk ke dalam akaun peribadinya.
Pada 16 September ini, himpunan baju merah anjuran Gabungan NGO-NGO Melayu merancang untuk berarak daripada beberapa tempat di sekitar Bukit Bintang dan Jalan Petaling menuju ke Padang Merbok di mana di situ mereka akan bergabung dengan perhimpunan lain yang dianjurkan oleh Pesaka, sebuah pertubuhan silat yang dipimpin oleh Ali Rustam.
Bagaimanapun, himpunan anjuran Pesaka tidak menetapkan sebarang tema warna dan peserta juga tidak dibekalkan dengan baju T yang khusus. Bermakna sesiapa saja boleh datang dengan warna dan pakaian kegemaran serta pilihan masing-masing.
Bagaimanapun Pesaka masih menunggu kelulusan permit daripada pihak berkuasa seperti polis dan DBKL untuk himpunan tersebut, tetapi berjanji akan membatalkannya jika tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan.
Namun demikian, peserta baju merah dipercayai akan meneruskan perarakan serta himpunan sebagaimana yang dirancang, tidak kira sama ada mendapat kebenaran atau sebaliknya.
Melalui suara bantahan yang semakin kedengaran sekarang, persoalannya ialah apakah kerajaan dan Perdana Menteri, Najib Razak tidak terasa getarnya denyut nadi suara rakyat ini?-BlogSpot
Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.