Thursday, September 3, 2015

Pemecatan Muhyiddin dan Shafie hanya khabar angin, kata Hishammuddin

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata dakwaan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadualkan bersidang pada 9 September ini akan memecat atau menggantung keahlian Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal, hanyalah khabar angin.

"Ini khabar angin kalau tidak saya sebagai naib presiden akan tahu jika ia merupakan agenda tetap," katanya selepas menghadiri majlis bersama kepimpinan negara pada Minggu Haluan Siswa Pelajar Baharu di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di Batu Pahat, hari ini.

Hishammuddin, yang juga menteri pertahanan berkata demikian ketika mengulas mengenai khabar angin MT akan mengambil tindakan memecat atau menggantung keahlian Muhyiddin dan Shafie pada mesyuarat Rabu depan.

Beliau juga tidak pasti sama ada kedudukan Muhyiddin dan Shafie akan dibincangkan sebagai salah satu agenda dalam mesyuarat itu.

"Tidak semestinya perkara ini berbangkit pun. Ini perkara yang dihebohkan di sosial media dan sebagainya. Macam mana mereka (media sosial) nak tahu apa nak dibincangkan dalam MT. Saya sebagai ahli MT pun tidak tahu.

“Tidak mungkin kita nak layan benda-benda (khabar angin) macam ni, mungkin tidak berlaku pun," katanya.

Beliau berkata masih ada banyak perkara yang lebih penting untuk dibincangkan dalam mesyuarat itu terutama yang berkaitan dengan kepentingan negara.

"Saya nak wujudkan satu kesedaran kita tiada masa untuk berpecah sesama kita kerana agenda lebih besar adalah melihat kepada ekonomi negara. (Kita) hendak lihat kepada kestabilan, keselamatan dan pertahanan negara," katanya.

Katanya, bagi menangani semua perkara itu, ahli Umno perlu bersatu dalam satu pasukan. – Bernama


Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.