Saturday, September 5, 2015

Nazri@bongkak biadab menggelar Tun Mahathir "Warga Emas"... suarakami



Tindakan polis memanggil Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung ucapan yang dilakukannya ketika perhimpunan Bersih 4 minggu lalu adalah perkara biasa, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.

Nazri bagaimanapun secara peribadi berkata siasatan terhadap Dr Mahathir tidak perlu memandangkan beliau merupakan seorang warga emas dan tidak menimbulkan kekecohan sewaktu Bersih 4.
“Saya ingat dia nak menyertai Bersih tidak mengapalah. Dia sudah tua hendak berjalan-jalan. Saya tidak nampak dia baling bom ke, pecah pintu ke dinding ke. Dia nak berjalan biarlah dia berjalan.
“Cuma saya difahamkan dia (Dr Mahathir) mengeluarkan kata-kata yang boleh dianggap menghasut. Jadi tindakan (siasatan) itu perkara biasa.
“Tetapi kalau dia dipanggil kerana dia berjalan-jalan tidak perlulah. Sisa-sisa hidup ini kita bagi dia seronok sikit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran radio MaTiC.fm di Kuala Lumpur, hari ini.
Nazri turut menyifatkan tindakan bekas perdana menteri itu menyertai Bersih 4 kerana kecewa tidak lagi mendapat sokongan ahli Umno.
Katanya, tindakan Dr Mahathir yang mahu Najib meletak jawatan sebagai presiden Umno tidak dihiraukan ahli parti.
“Dia orang tua. Dia (Dr Mahathir) kecewa kerana tiada siapa mahu mendengar cakapnya, dia cuba melakukan perkara tidak demokratik di dalam parti dan tiada maklum balas.
“Dia juga kecewa apabila (ahli) parti berada kukuh di belakang Najib dan begitu juga dengan saya. 100% di belakang Najib,” katanya.
Dr Mahathir akan dipanggil dan disiasat pihak polis berhubung ucapan yang dilakukannya ketika perhimpunan Bersih 4 minggu lalu selepas laporan polis dibuat seorang ketua Umno bahagian.
Polis akan menyiasat bekas perdana menteri paling berkhidmat itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak mendedahkan tarikh untuk memanggil Dr Mahathir.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Nazri menasihati perwakilan Wanita Umno Bahagian Anina Saadudin untuk menerima kenyataan apabila disingkirkan parti.
Katanya, tindakan Anina membawa hal parti ke mahkamah membuatkan keahliannya secara automatik terlucut.
“Anina ini pun saya tidak kenal siapa. Senang saja, mengikut perlembagaan dalam apa hal berkaitan dengan parti tidak boleh bawa ke mahkamah. Ia (keahlian) akan gugur secara automatik ataupun talak gugur,” katanya.
Nazri turut memberi contoh seperti berlaku kepada Datuk Seri G Palanivel yang tidak lagi memegang jawatan presiden MIC selepas keahliannya dalam parti terlucut secara automatik kerana membawa kes ke mahkamah tanpa kebenaran parti.
“Sama macam (Datuk Seri) G Palanivel secara automatik gugur. Ini setiausaha agung dah maklumkan. Itu nasib baik dia maklum. Kalau biar gantung tak bertali?”, katanya.
Palanivel pada Jun lalu hilang keahliannya sebaik saja beliau mengheret Pendaftar Pertubuhan (RoS) ke mahkamah tanpa kebenaran parti.


 http://www.keadilandaily.com/anak-nazri-aziz-juga-dikaitkan-dengan-satu-kes-pembunuhan-amk/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.