Friday, September 18, 2015

Najib mahu minta maaf isu 'Cina Babi'? Salhan K Ahmad



Dalam perhimpunan BERSIH 3 pada April 2012 ada kisah wartawan dihambat, diterajang dan dihentam oleh polis.

Demi menjaga imejnya, Najib mencemar duli ke hospital untuk melawat wartawan yang terlibat.

Wartawan berkenaan menceritakan bagaimana perdana menteri tunduk dan membisikkan permohonan maaf ke telinganya.

Selain Najib, ketua polis negara waktu itu, Tan Sri Ismail Omar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga menunjukkan muka di hospital.

Ramai yang cedera akibat kekerasan polis menyuraikan peserta perhimpunan. Seramai 63 orang dibawa ke hospital untuk menerima rawatan selepas perhimpunan 28 April itu.

Lain pula dengan perhimpunan pada hari Rabu.

 
Menurut pemimpin Umno, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak amat gembira dengan perhimpunan kumpulan baju merah yang dianggarkan berjumlah sekitar 45,000 orang semalam.

Hanya tiga orang cedera fizikal, termasuk dua orang anggota polis.

Puncanya, kumpulan baju merah itu mengasak untuk masuk ke kawasan Jalan Petaling dan melakukan provokasi.

Tapi itu hanyalah luka yang nampak di mata. Dalam perhimpunan kali ini, cederanya bukan hanya di batang tubuh para peserta, petugas keselamatan atau orang yang lalu lalang.

Maka, mengapakah sakan benar Najib bergembira?

Dari pandangan kasar, tidak wajar bagi seorang perdana menteri Malaysia berasa gembira dengan perhimpunan untuk menunjukkan kekuasaan kaum seperti itu.

Apakah Najib pura-pura tidak tahu mengenai cacian dan ungkapan rasis dalam slogan yang dilaungkan oleh para peserta perhimpunan baju merah?

Bisikan apa yang boleh ditawarkannya kepada para wartawan yang digelar “Cina Babi” oleh peserta perhimpunan itu?

Najib sepatutnya sudah boleh membaca reaksi masyarakat bukan Melayu apabila timbul ura-ura untuk menjalankan perhimpunan yang berpotensi mengeruhkan hubungan kaum itu.

Presiden Umno itu sepatutnya awal-awal lagi sudah dapat menjelmakan imej dan tujuan sebenar perhimpunan tersebut, memandangkan beliau merestui perhimpunan berkenaan.

Beliau sepatutnya sejak awal-awal lagi mengeluarkan kenyataan jelas dan amaran keras agar para peserta tidak membawa slogan rasis.

Najib sepatutnya memberi jaminan kepada masyarakat bukan Melayu bahawa perhimpunan baju merah tidak akan melukakan mereka.





Tetapi nyatalah perkara itu tidak berlaku. Najib yang gemar menyebut istilah "wasatiyyah" itu seterusnya menggalakkan anggota Umno untuk turut serta berdemo dengan baju merah.

Sekarang, perdana menteri itu hanya mampu melihat betapa sentimen dari masyarakat Cina ini yang meluat dengan perhimpunan tersebut semakin berakar.

Namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Najib mungkin sudah boleh mengira siapakah golongan Cina atau bukan Melayu yang masih boleh menyokongnya.

Luka di hati golongan ini mungkin tidak ada sebarang tanda-tanda. Mungkin ia tidak akan diungkap dengan kata-kata, tetapi hanya dengan tanda di kertas undi dalam pilihan raya umum akan datang.


Siapakah lagi yang boleh menyelamatkan Najib?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.