Published: 20 September 2015.
Penduduk tempatan menjual hasil kebun mereka di laluan pejalan kaki di Kota Belud, Sabah
Orang asal Kota Belud, Jalumin Bayogoh, ada satu jenaka mengenai daerahnya apabila ditanya apa perasaannya sekarang memandangkan terdapat 2 menteri persekutuan dari kawasan Parlimen itu.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan ialah ahli Parlimen Kota Belud, manakala Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak ialah ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan, dalam kawasan Kota Belud.
Daerah di timur laut pantai Sabah itu juga turut menghasilkan seorang speaker Dewan Rakyat, 2 ketua menteri dan segelintir ahli politik elit Borneo.
Jenaka Jalumin ialah, walaupun ia kaya dengan keturunan politik, Kota Belud tidak sampai ke abad ke-21 sehinggalah hotel TD Lodge Kota Belud dibina kira-kira 4 tahun lalu.
"Jika hotel itu tiada, rakyat Kota Belud tidak akan pernah tahu bagaimana rasanya menaiki lif. Ia satu-satunya bangunan di kawasan itu yang mempunyai lif," gurau beliau yang pernah bertanding kerusi Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.
Jalumin sering mengulangi jenaka ini ketika berkempen untuk melobi kerusi itu bagi menunjukkan bagaimana mundurnya Kota Belud walaupun anak jati kawasan itu ramai yang terkenal dan sepatutnya boleh mengubah kawasan itu, seperti mana dilakukan ahli politik lain.
Tempat kelahiran menteri
Penduduk Kota Belud berbangga dengan kelahiran ramai tokoh politik dari daerahnya tetapi kesal kerana ia masih tidak mampu membangunkan taraf ekonomi dan kehidupan penduduknya
Penduduk Kota Belud berbangga dengan kelahiran ramai tokoh politik dari daerahnya tetapi kesal kerana ia masih tidak mampu membangunkan taraf ekonomi dan kehidupan penduduknya.
Jenaka Jalumin itu menggambarkan sebuah rakyat tradisional Malaysia yang padat, antara pengundi dan ahli Parlimen serta wakil rakyat yang mereka pilih.
Sepatutnya, selepas mendapat undi mereka, ahli politik membalas budi dengan membangunkan kawasan itu dan memperbaiki kehidupan penduduknya.
Contoh yang paling terkenal ialah seperti apa yang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad lakukan untuk Langkawi, Kedah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lakukan untuk Pekan, Pahang.
Jika standard yang sama digunakan ke atas Kota Belud, Jalumin berkata ekonomi kawasan itu pasti sudah cukup hebat untuk menghasilkan bangunan tinggi.
Sebaliknya, penduduknya mengadu, banyak kampung masih tidak mempunyai bekalan air paip manakala pengurusan trafik di pusat bandar itu begitu buruk hingga pada waktu-waktu tertentu, memerlukan setengah jam untuk bergerak sejauh 100 meter.
Industri beras yang pernah menjanjikan pulangan lumayan di kawasan itu pada tahun 70-an kini ditinggalkan kosong akibat pengurusan yang tidak betul, kata seorang penduduk dan bekas Adun, Datuk Ismail Gimbad.
Bekas ahli Dewan Undangan Negeri Surob, Datuk Ismail Gimbad berkata Kota Belud pernah mempunyai industri beras dengan pulangan lumayan pada tahun 70-an tetapi gagal akibat pengurusan yang efisien.
Bekas ahli Dewan Undangan Negeri Surob, Datuk Ismail Gimbad berkata Kota Belud pernah mempunyai industri beras dengan pulangan lumayan pada tahun 70-an tetapi gagal akibat pengurusan yang efisien
Namun begitu, Kota Belud ialah tempat kelahiran Umno Sabah, kata Ismail, yang pertama kali memegang jawatan dalam sektor awam pada 1967 dan turut terlibat dalam perjuangan kemerdekaan Sabah.
Kota Belud ialah tempat di mana parti yang berpangkalan di Semenanjung itu membuka bahagiannya yang pertama di negeri itu pada 1991.
Parti itu kini yang paling kanan di antara komponen Barisan Nasional Sabah dan memegang kerusi terbanyak dalam badan perundangan negeri itu.
"Kota Belud boleh berbangga kerana ia menghasilkan begitu ramai menteri Sabah," kata Ismail, yang merupakan Adun Surob pada 1967.
Anak jati kawasan itu yang paling terkenal ialah bapa Salleh, Tun Said Keruak, yang pernah berkhidmat sebagai ketua menteri, menteri pertanian negeri dan yang di-pertua negeri.
Sebelum Salleh dilantik sebagai menteri komunikasi dan multimedia pada akhir Julai lalu, beliau merupakan speaker DUN Sabah dan memegang jawatan ketua menteri selama 2 tahun.
Sementara itu, Rahman boleh dikatakan seorang pendatang baharu. Beliau kini dalam penggal kedua sebagai ahli Parlimen Kota Belud dan dilantik menganggotai Kabinet pada 2013.
Masalah yang berlarutan
Kebanggaan terhadap ahli politik Kota Belud bagaimanapun, tidak dirasai ramai penduduk, termasuk ahli perniagaan Mohamad Yusof, 58.
"Sejak tahun 80an, zaman saya membesar, kami selalu ada masalah bekalan air. Orang kampung tak dapat menikmati bekalan air sepanjang masa.
"Saya kadang-kadang kena tunggu hingga tengah malam untuk dapat cukup air untuk mandi," kata Mohamad yang menguruskan sebuah kedai menjual peralatan audio di pusat bandar itu.
“Kita ada 2 ketua menteri dari Kota Belud, tetapi kita masih menghadapi masalah ini.”
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Husairy mendakwa, kerajaan memasang paip air di kampung-kampung dan rumah individu tetapi bekalannya terhad.
"Penduduk terpaksa menggerudi telaga untuk mengepam keluar air dari bawah tanah. Tetapi ini pun tidak boleh diharap kerana airnya kotor," katanya yang bekerja dengan majlis daerah.
"Menteri yang bertanggungjawab hal ehwal air juga orang Sabah (Datuk Seri Dr Maximus Ongkili), tetapi kita masih mempunyai masalah bekalan air."
Seperti kawasan lain di Sabah, pertelingkahan antara penduduk tempatan dan pendatang yang memiliki kad pengenalan juga perkara biasa di Kota Belud.
Mohamad dan Husairy mengadu, orang Indonesia mengaut sebahagian besar keuntungan daripada pasar siang dan malam serta permit di bandar, dan peniaga tempatan akhirnya terhimpit.
"Kami lihat orang Pakistan pun beratur untuk menerima BR1M (pemberian wang tunai di bawah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia)," dakwa Mohamad sambil menambah, ia hanya boleh berlaku sekiranya penerima mempunyai kad pengenalan.
Ismail berkata, pada zaman Said, kerajaan cuba menjadikan Kota Belud, yang mempunyai keluasan tanah rata yang besar, bandar jelapang padi seperti Kedah di Semenanjung.
Lebih kurang 23,000 ekar diberikan kepada petani yang tidak mempunyai tanah, sama seperti skim Felda, serta benih, baja serta latihan diberikan kepada mereka untuk menanam padi.
Hari ini, hanya satu pertiga daripada tanah itu yang masih aktif menghasilkan beras, kata Ismail.
Seorang petani, Din Mohamad berkata industri beras tidak menyediakan peluang pekerjaan dan pendapatan yang cukup untuk belia.
"Kita perlu sebuah kilang tertentu. Sekarang semua orang pergi ke Kota Kinabalu atau Semenanjung untuk mencari pekerjaan," katanya.
"Saya bukan cuba untuk memburukkan para menteri kita. Kami berbangga dengan mereka, tetapi mereka mesti menunjukkan yang mereka benar-benar boleh berkhidmat kepada rakyat."
Tahap lebih tinggi
Mengulas perkara itu, Salleh berkata beliau sedar masalah infrastruktur yang dihadapi Kota Belud, seperti dari segi jalan raya dan bekalan air, sambil menambah, kerajaan komited untuk menyelesaikannya.
Sebagai contoh, katanya, ia sedang membina loji rawatan baharu dan mengedarkan tangki simpanan ke kampung-kampung untuk menangani kekurangan air.
"Masalah kekurangan air di daerah ini bukan sesuatu yang baharu, dan ia menjadi lebih teruk selepas gempa bumi pada 5 Jun di Gunung Kinabalu dan Kundasang," tulis Salleh dalam kiriman melalui aplikasi Watsapp kepada The Malaysian Insider.
Dalam satu kenyataan media pada 15 Ogos, Rahman berkata, 2 loji rawatan air itu kini tidak dapat digunakan akibat tanah runtuh susulan gempa bumi Ranau pada Jun yang mencemari Sungai Kadamaian.
Selain daripada langkah yang diumumkan Salleh, Rahman berkata pihak berkuasa juga membeli 10 pam air bawah tanah untuk meningkatkan jumlah air dari lubang gerudi yang menjadi sumber bekalan air daerah itu.
"Saya juga akan pastikan tangki simpanan tetap dihantar ke kampung-kampung pada seberapa segera yang boleh," Rahman menulis dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook beliau.
Salleh berkata, sejak 1994 hingga 2014, lebih daripada RM700 juta dibelanjakan untuk memperbaiki infrastruktur di daerah itu.
Ini termasuk membina lebuh raya Kota Belud-Tuaran, lebih banyak jalan luar bandar dan sekolah baharu, termasuk 5 buah sekolah menengah.
Pada Mei, Rahman turut melancarkan projek perumahan mampu milik baharu di pinggir bandar yang akan menyediakan 1,000 unit rumah apabila siap.
"Bertentangan dengan apa yang sesetengah orang katakan terutamanya pembangkang, kerajaan sebenarnya melakukan banyak perkara untuk kebaikan rakyat di kawasan Parlimen Kota Belud," kata Salleh.
"Peruntukan besar untuk Kota Belud, dalam tempoh 20 tahun yang lalu, dengan sendiri membuktikannya. Kerajaan akan terus membawa Kota Belud, yang digelar pekan koboi Sabah, ke tahap yang lebih tinggi." – 20 September, 2015.
Tapak projek pembinaan 900 rumah kos rendah di Kota Belud, Sabah yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 10 Mei 2015. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 20 September, 2015.
Tapak projek pembinaan 900 rumah kos rendah di Kota Belud, Sabah yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 10 Mei 2015. –
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.