Thursday, September 17, 2015
Kekecohan di Petaling Street cemar Himpunan Rakyat Bersatu
Susulan kejadian, dua peserta perhimpunan telah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan. -Foto Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Insiden kekecohan di Petaling Street petang tadi merupakan satu-satunya titik hitam dalam Himpunan Rakyat Bersatu yang berlangsung dengan aman.
Susulan kejadian, dua peserta perhimpunan telah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, menurut satu kenyataan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa.
Menurut kenyataan itu lagi, dua anggota polis juga mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas.
Seawal jam 11 pagi Rabu, peserta berkemeja-T merah mula berkumpul di beberapa 'checkpoint' yang ditetapkan di sekitar Kuala Lumpur seperti di Masjid Negara, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kompleks Karangkraf di Jalan Conlay dan Masjid Wilayah.
Suasana meriah dengan bunyian vuvuzela dan gendang yang dipukul peserta yang hadir di setiap 'checkpoint' yang telah ditentukan itu.
Sekitar jam 2 petang, peserta mula berarak ke Padang Merbok di mana sebuah pentas utama didirikan bagi tujuan perhimpunan ini.
Sebaik sahaja perhimpunan utama bermula, lagu-lagu patriotik dimainkan diselangi laungan dan sorakan para peserta.
Antara pemimpin yang hadir dalam acara tersebut termasuk Pengasas Yayasan Kemiskinan Kelantan Tan Sri Annuar Musa serta Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali.
Perhimpunan berakhir sekitar jam 5.30 petang tadi tanpa insiden yang tidak diingini.
Sebelum ini, Ali Rustam berkata perhimpunan ini diadakan kerana Pesaka berasa tercabar dengan tindakan peserta Himpunan Bersih 4 hujung bulan lalu yang menggunakan demonstrasi jalanan sebagai kaedah untuk mencapai objektif mereka.
Selain itu, perhimpunan ini juga menyarankan kepada kerajaan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan satu langkah dalam usaha-usaha kerajaan untuk memastikan tahap keselamatan dan keamanan serta ketenteraman dalam negara sentiasa terjamin.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.