Wednesday, September 16, 2015

Ini bukan zaman batu, keluar Johor jika rasis - Sultan Johor



Sultan Ibrahim (gambar) menitahkan pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mencetuskan ketegangan dan meniup api perkauman. -Gambar Facebook officialsultanibrahim


KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mencetuskan ketegangan dan meniup api perkauman.

Malah baginda turut bertitah, mereka yang terus memilih jalan perkauman supaya keluar dari Johor serta-merta.

"Mereka yang mengamalkan sikap ini (rasis) dinasihat supaya keluar dari negeri ini serta-merta.

"Ini bukan zaman batu. Orang Melayu, Kaum Cina dan India semua telah memainkan peranan masing-masing. Johor adalah rumah kepada semua bangsa Johor," titah baginda dalam satu posting di akaun Facebook-nya.

Pada masa sama, baginda menyeru pihak berkuasa supaya tidak pilih kasih dalam memberkas para penghasut.

"Nenek moyang saya, kerajaan negeri, bangsa Johor dan saya telah bekerja keras untuk menyatukan rakyat Johor dan membawa masuk pelabur asing bagi memajukan negeri ini.

"Mereka yang menghasut bangsa Johor perlu berdepan dengan saya," tegas baginda.

Sebelum ini, Sultan Johor turut bertitah bahawa baginda tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu perkauman di Johor.

- astroawani

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.