Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron percaya situasi politik
negara akan menjadi keruh sekiranya tindakan dikenakan ke atas bekas
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menyertai perhimpunan
Bersih 4.
Idris berkata pada masa ini ruang perbincangan serta peluang negarawan
itu 'kembali ke pangkal jalan' luas terbuka dan khuatir tindakan itu
mungkin menutup segala jalan untuk menjernihkan situasi politik di
negara ini.
Beliau juga percaya ada pihak yang tidak bertanggungjawab mendorong atau
mempengaruhi Tun Dr Mahathir dengan memberikan maklumat tidak tepat
berasaskan emosi serta persepsi, sehingga beliau menyertai perhimpunan
itu.
"Beliau (Dr Mahathir) melakukan sesuatu di luar kebiasaan (apabila
menyertai Bersih 4) yang saya percaya ada pihak tidak bertanggungjawab
di sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas mengadiri Perarakan
Hari Kebangsaan 2015 Peringkat Negeri Melaka di Bandar Hilir di Melaka
hari ini.
Idris berkata kerajaan negeri mengecam sekeras-kerasnya tindakan
segelintir pihak yang menganjurkan perhimpunan Bersih 4 di sekitar
Bandaraya Melaka sejak Sabtu lepas.
"Mereka ingin merosakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan menunjukkan
kepada masyarakat antarabangsa tema Sehati Sejiwa tidak berlaku di
negara ini, saya tegaskan mereka (penganjur Bersih 4) gagal kerana kita
rakyat Malaysia bersatu menyambut kemerdekaan negara hari ini dengan
meriah dan gembira," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.