Friday, August 28, 2015

TMB Kelantan Datuk Nik Mohd Amar mengaku beli Range Rover

HOT DI KELANTAN - MB BINA BANGLO RM2 JUTA, TMB BELI KERETA MEWAH


KUALA LUMPUR: Setelah tersebar di media sosial dakwaan memiliki beberapa kenderaan mewah, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengakui membeli kenderaan pacuan empat roda Range Rover bernilai RM200,000.

Harakahdaily melaporkan naib presiden PAS itu berkata, Range Rover tersebut dibelinya dengan harga di bawah pasaran kerana ia kereta terpakai (second hand).

"Ada kawan menawarkan RM200,000 sedangkan harga pasaran bagi kenderaan baharu sekitar RM300,000," katanya seperti dilaporkan portal milik PAS itu.

Namun Harakahdaily tidak melaporkan sama ada pendapatan Mohd Amar selaku timbalan menteri besar melayakkan beliau memiliki beberapa buah kereta mewah seperti yang tersebar di media sosial.

Manakala Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pula didakwa membina lima rumah banglo untuk anaknya yang bernilai RM2 juta.
  
 
  Namun ia dinafikan Setiausaha Akhbarnya, Mohd Asri Mat Daud yang menjelaskan dakwaan itu tidak berasas memandangkan rumah terbabit dibina sendiri anak Ahmad melalui skim pinjaman perumahan.

"Mereka yang mengurus dan membayar pinjaman tersebut. Ia tiada kaitan langsung dengan bantuan kewangan sehingga RM2 juta," katanya.

Katanya, dakwaan itu tidak bertanggungjawab dan merupakan fitnah berat terhadap menteri besar memandangkan perkara itu tidak wujud.

"Mereka cuba menggambarkan menteri besar seorang yang boros. Hakikatnya, beliau meneruskan sikap kesederhanaan seperti Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat).

"Ustaz Ahmad tidak menetap di kediaman rasmi menteri besar dan memulangkan kembali elaun yang sepatut diperolehnya kepada kerajaan negeri," katanya.

- astroawani




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.