Saturday, August 29, 2015

Majlis Peguam desak Putrajaya pertahan kebebasan maklumat !!



 
Presiden Majlis Peguam Steven Thiru berkata, pendekatan menyekat laman sesawang yang mempromosikan himpunan Bersih 4 merupakan satu bentuk salah guna kuasa oleh SKMM jika sekatan dilakukan terhadap laman yang mempromosi, menyebar dan menggalak orang ramai ke himpunan itu. –

Presiden Majlis Peguam Steven Thiru berkata, pendekatan menyekat laman sesawang yang mempromosikan himpunan Bersih 4 merupakan satu bentuk salah guna kuasa oleh SKMM jika sekatan dilakukan terhadap laman yang mempromosi, menyebar dan menggalak orang ramai ke himpunan itu. –

Majlis Peguam menggesa Putrajaya menjunjung kebebasan maklumat selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dikatakan akan menyekat laman sesawang yang mempromosikan himpunan Bersih 4.

Presidennya Steven Thiru berkata, pendekatan itu merupakan satu bentuk salah guna kuasa oleh SKMM jika sekatan dilakukan terhadap laman yang mempromosi, menyebar dan menggalak orang ramai ke himpunan itu.

Beliau berkata, ini kerana keputusan SKMM itu dibuat susulan kenyataan Kementerian Dalam Negeri sebelum ini yang "Bersih 4.0" bukan sebuah badan berdaftar.

"Pendirian yang diambil kementerian itu satu salah tanggap. Tiada acara atau entiti yang dikenali sebagai 'Bersih 4.0'.

"Bersih 4 adalah satu acara. Penganjur Bersih 4 merupakan satu entiti yang dikenali sebagai Bersih 2.0 yang mana Mahkamah Tinggi dalam kes Datuk Ambiga Sreenevasan melawan menteri dalam negeri mengiktirafnya sebagai persatuan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

"Oleh itu, keputusan yang dibuat oleh kementerian itu, berkaitan satu peristiwa yang tidak wujud atau entiti yang tidak diketahui (Bersih 4.0), adalah tidak berasas," kata Thiru.



Katanya, sehubungan itu, sebarang pergantungan SKMM terhadap satu "keputusan yang silap" oleh kementerian, tidak akan dapat dipertahankan mengikut undang-undang.

"Ia sama dengan salah guna kuasa pengawalseliaan yang diletakkan di bawah SKMM mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).

"Dalam apa jua keadaan, usaha SKMM menyekat akses kepada laman web bertentangan dengan Seksyen 3(3) AKM, yang memperuntukkan 'apa-apa dalam akta ini boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan Internet', dan bertentangan juga dengan Bil Jaminan MSC Malaysia No. 7, yang menjamin tiada penapisan Internet."

Thiru berkata, keputusan SKMM juga bercanggah dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak pada 25 Ogos yang mengatakan pihak berkuasa tidak akan menyekat akses kepada mana-mana laman web atau platform media sosial semasa perhimpunan Bersih 4.

Bersih 4 yang dijadual berlangsung selama 34 jam akan bermula esok. Ia akan diadakan di Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu dan beberapa bandar utama lain di seluruh dunia. Puluhan ribu peserta dijangka mengambil bahagian dalam acara itu.

Perhimpunan itu diadakan bertujuan melakukan pembaharuan pilihan raya, kerajaan yang bersih, mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen, hak untuk berhimpun secara aman dan menyelamatkan ekonomi. – 28 Ogos, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.