Wednesday, July 29, 2015

'Muhyiddin, Shafie tidak boleh diam'






Hari ini, rasmilah bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi menjadi timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan. Turut digugurkan, Datuk Seri Shafie Apdal dari jawatan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

Sebaik selepas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kedua-duanya nampaknya menerima keputusan tersebut dengan reda dan berlapang dada.

Walau tidak lagi bergelar menteri, Muhyiddin, 68, dan Shafie, 57, juga cuba menunjukkan bahawa kritikan dan persoalan yang dilontarkan mereka adalah “demi rakyat”.

Parti pembangkang kini berusaha untuk merisik mereka, namun kedua-duanya masih setia dengan Umno. Maka, jalan apakah di hadapan mereka?

Sewaktu masih dalam Kabinet, mereka terikat dengan tanggungjawab bersama sebagai anggota jemaah menteri seperti yang ditegaskan Najib. Namun, kini tidak lagi.

Di dalam Umno, kedua-duanya masih kekal dalam jawatan yang dipilih secara demokratik.

Muhyiddin masih lagi timbalan presiden seperti kehendak perwakilan Umno dalam pemilihan parti tahun 2013. Begitu juga Shafie, naib presiden.

Muhyiddin dan Shafie boleh memilih untuk berdiam diri dan mengaku tewas di tangan Najib, atau mengotakan ikrar mereka agar “rakyat” dapat mengetahui duduk perkara sebenar dalam isu 1MDB.

Fakta yang muncul dalam siasatan kes 1MDB setakat ini cukup memeranjatkan. Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin semalam memberitahu, Pasukan Petugas Khas mempunyai cukup bukti untuk mendakwa pihak yang  terbabit dalam kes 1MDB.

Tanpa mendedahkan sumbernya, A Kadir mengaitkan maklumat daripada “bekas pengawai tinggi perundangan” itu dengan siasatan ke atas akaun Najib, didakwa

Semalam, dengan tidak semena-mena, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mendapati beliau tidak lagi menjawat jawatan itu. Alasannya, beliau terpaksa diganti kerana faktor kesihatan.

Aneh sekali, seorang peguam negara yang menganggotai satu pasukan penyiasat penting digugurkan secara mengejut, kata peguam kanan, Datuk S Ambiga.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed pula tidak dapat terus berada di jawatan tersebut kerana Najib mengumumkan beliau dilantik ke jawatan timbalan menteri hari ini.

Melihat kepada perkembangan ini, Muhyiddin dan Shafie tidak mampu untuk berdiam diri. Mereka perlu membuka mulut – sebesar yang boleh – seperti mulut bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bak kata orang tua-tua, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Tiada apa sangat yang mereka perlu gusarkan.

Paling teruk, mereka mungkin dipecat dari jawatan dalam Umno, jika terus mengkritik kerajaan dan membangkitkan persoalan mengenai 1MDB.

Tapi Najib akan hilang kawalan ke atas parti jika berbuat demikian, seperti yang dihadapi Tun Dr Mahathir Mohamad selepas memecat timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

- mkini


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.