SPR , henti hina Mahkamah dan Perlembagaan
Sekali lagi, BERSIH 2.0 menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuching, Hakim Yew
Jen Kie yang memutuskan bahawa proses persempadanan semula yang sudah
dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah batal dan tidak sah
(null & void).
Penghakiman
yang kedua ini adalah perpanjangan dari penghakiman 15 Mei 2015 yang
mana menyebut SPR harus melakukan semula kajian persempadanan semula di
Negeri Sarawak.
SPR harus
akur dan patuh kepada dua keputusan penghakiman ini. Dalam penghakiman
terbaru, Hakim telah memperincikan Jadual 13 (4) Perlembagaan Malaysia
yang mana menyatakan; notis pewartaan peta harus disiarkan dalam
sekurang-kurangnya satu akhbar yang diedarkan dalam kawasan pilihan raya
tersebut.
Penghindaran
SPR terhadap keputusan Mahkamah dengan meneruskan inkuiri kedua di
Sarawak membukti SPR telahpun menghina Mahkamah. Segala proses
persempadanan semula di Sarawak harus dihentikan serta-merta. Proses ini
harus dilakukan semula dan dijalankan dengan telus dan adil.
BERSIH 2.0
terkejut dengan kenyataan Penasihat Undang-undang Negeri Sarawak yang
menyatakan proses inkuiri yang telah dijalankan mungkin tidak akan
terbatal walaupun sudah ada dua perintah mahkamah.
BERSIH 2.0
menyeru kepada SPR dan Jabatan Peguam Negara agar tidak membazirkan
duit pembayar cukai untuk melakukan sebarang rayuan dalam keputusan
penghakiman ini. Juga, keingkaran SPR mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi
bermakna SPR menghina sistem kehakiman Negara. Jikalau ini terjadi,
BERSIH 2.0 berikrar untuk mengheret SPR ke Mahkamah kerana menghina
kehakiman Negara. SPR harus sedar bahawa mereka tertakluk kepada
Perlembagaan Malaysia dan badan kehakiman. SPR bukannya lebih tinggi
daripada dua institusi ini dan SPR tidak sama sekali lebih tinggi dari
badan kehakiman Negara.
Kerisauan BERSIH 2.0 adalah, jikalau SPR tidak mematuhi perintah Mahkamah dan perlembagaan, maka kepada siapakah SPR akan patuh?
Segala
perkara ini tidak akan timbul atau terjadi jika SPR mematuhi
piawai-piawai perlembagaan Malaysia dan melakukan konsultasi yang
secukupnya bersama pengundi sebelum memaparkan apa-apa syor
penambahbaikan.
Ini
bukanlah kali pertama SPR bertindak sebegini. BERSIH 2.0 yakin,
episod-episod yang berlaku di Sarawak akan berulang di Sabah dan
Semenanjung Malaysia. BERSIH 2.0 menuntut agar satu badan bebas
ditubuhkan untuk menjalankan proses persempadanan semula di seluruh
Malaysia seperti yang dicadangkan dalam Laporan Tribunal Rakyat PRU13.
Dikeluarkan oleh,
JAWATANKUASA PEMANDU BERSIH 2.0
26/5/15
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.