Friday, May 29, 2015

Saya tak kutip dana haram, kata Rafizi

 


Anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli mempertahankan dirinya daripada dakwaan mengutip dana secara haram melalui kempen 'Tutup 1MDB' yang dilancarkannya minggu lalu.

Katanya, tindakan Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), NGO yang diasaskannya, mengutip sumbangan tidak melanggar undang-undang.

NOW didaftarkan bawah akta syarikat dan susulan itu kempen beliau diserang hebat di Internet oleh pengguna maya pro-BN, yang dipercayai Rafizi sebagai “askar upahan”.

“Ini tindakan murahan oleh Umno kononnya untuk mengalihkan perhatian dari skandal RM42 bilion 1MDB dan GST (cukai barangan dan perkhidmatan).

“Lalu dibayarnya aktivis upahan ini untuk membuat bising untuk menutup kemarahan rakyat,” katanya.

Rafizi berkata akta syarikat tidak menghalang entiti bawahnya beroperasi bagi tujuan bukan keuntungan dan menjadi amalan biasa banyak rumah amal dan NGO lain.

“Tindakan mengutip derma oleh entiti yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat tidak menyalahi undang-undang dan biasa dibuat.

“Contohnya, media-media Umno seperti Utusan, TV3 dan lain-lain sering melancarkan tabung memohon derma dari rakyat.

“Ini sama sahaja dengan tabung #tutup1MDB yang dilancarkan NOW ,” katanya.

Rafizi juga menegaskan NOW menguruskan dana itu secara telus dengan mengumumkan kutipan setiap hari dan tujuan kutipan dibuat.

“Apabila pembayaran dibuat, NOW juga akan mengumumkan kepada siapa bayaran itu dibuat. Tidak timbul soal penyelewengan,” katanya lagi.

Rafizi pada 21 Mei lalu meminta orang ramai menyumbangkan RM10 setiap seorang bagi menjayakan kempen “Tutup 1MDB” melalui tindakan mahkamah dan kaji selidik awam.

NOW menjangkakan permohonan injunksi terhadap Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji (TH) dapat difailkan minggu depan susulan dakwaan pelaburan cuai dengan 1MDB.

Bafia, AMLA tak berkenaan

Menulis di Facebook hari ini, Rafizi juga berkata banyak pihak mendaftar bawah akta syarikat dan bukan Pendaftar Pertubuhan susulan pelbagai kerenah, seperti “ugutan mengharamkan DAP” sebelum ini.

Mengulas aspek undang-undang, Rafizi berkata Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Bafia) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang dibangkitkan pengkritiknya juga tidak tepat.

“Akta Bafia yang disebut Ramesh Rao tidak wujud lagi dan sudah dihapuskan.

“Akta AMLA yang disebut juga tidak berkaitan dengan kutipan derma seperti ini ,” kata Rafizi yang juga naib presiden PKR.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat undang-undang mencegah orang ramai tanpa lesen mengutip deposit seperti bank atau firma pelaburan dilesenkan mengutip deposit.

Peruntukan itu, katanya lagi, khusus bagi tujuan pelaburan dan tidak terpakai bagi kutipan derma terbuka seperti dianjurkan NOW.


 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.