Tuesday, May 26, 2015

PR hanya berhadapan dengan konflik, tidak akan berpecah - Tian Chua


 
 
KUALA LUMPUR: Perselisihan yang semakin melarat antara DAP dan PAS hanyalah salah satu konflik yang dihadapi dalam Pakatan Rakyat (PR) dan tidak akan membawa kepada perpecahan kepada pakatan itu, kata Naib Presiden PKR Tian Chua.

Menurutnya, perselisihan ini boleh diatasi memandangkan PR adalah harapan rakyat sebagai barisan alternatif kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Pemimpin-pemimpin PR sedar ini adalah harapan rakyat dan rakyat juga menuntut supaya kita dilihat sebagai satu persaingan politik yang sihat di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

“Jadi melihat perkara ini, kita tidak boleh mengkhianati harapan rakyat. Jadi saya juga yakin kebanyakan kepimpinan ketiga-tiga parti ada kesungguhan untuk kekalkan PR.

“Saya rasa perselisihan ini kita boleh atasi. Walaupun perbahasan mereka di media nampak seolah-olah sangat hangat, namun itu tidak bermakna kita akan berpecah,” tambah beliau kepada Astro AWANI ketika ditemui di lobi Parlimen pada petang Isnin.

Tambah beliau, PR harus menunjukkan hasrat dan komitmen yang lebih kuat untuk memastikan mereka terus kekal dan maju.

Beliau juga berkata rakyat mengharapkan satu sistem ‘check and balance’,iaitu satu sistem yang menunjukkan persaingan yang sihat di antara satu barisan politik yang alternatif kepada pemerintah.

Apabila ditanya mengenai permohonan Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti politik, beliau berkata sehingga hari ini permohonan itu masih tidak diluluskan dan tidak dilayan Kementerian Dalam Negeri.

Konflik antara DAP dan PAS seolah-olah tiada penamatnya apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lalu menegaskan partinya bersedia untuk menamatkan kerjasama dengan DAP.

Abdul Hadi berkata kesediaan menamatkan kerjasama itu dibuat ekoran kenyataan serta tindak-tanduk pemimpin DAP yang mahu membentuk Kabinet bayangan tanpa penglibatan PAS dan PKR. Sebelum ini ,

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilaporkan sebagai berkata kabinet bayangan PR yang dicadang Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail adalah tidak praktikal, justeru DAP memilih untuk menubuhkan kabinet bayangan sendiri dengan mengumumkan senarai 18 portfolio yang akan diisi anggota Parlimen parti itu.

Pada 19 Mei, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui tiada kesepakatan dalam Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kabinet bayangan.

Beliau memberi alasan bahawa pembentukannya tidak dapat direalisasikan atas faktor kewangan dan PR tidak mempunyai infrastruktur untuk melaksanakannya kecuali pihak pentadbiran Parlimen membantu menanggung kos perbelanjaan dan kos-kos yang berkaitan. 



Posted & copy by RAKYAT MARHAEN

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.