Saturday, May 30, 2015

Memalukan : Hj Hadi gagal bawa rang undang-undang persendirian.

Calon presiden PAS, Ahmad Awang mempertikaikan keikhlasan Umno dalam menyokong hasrat Kelantan melaksanakan hudud di negeri pantai timur itu, mengatakan ia merupakan permainan politik parti Melayu itu.

Ahli politik veteran itu percaya, ketiadaan rang undang-undang persendirian PAS dalam aturan urusan mesyuarat sepanjang 2 minggu Dewan Rakyat bersidang sejak 18 Mei lalu, membuktikan Umno mempermainkan mereka.

"Dalam sidang Parlimen yang lepas, usul ini dikatakan akan dibincang dalam sidang kali ini.

Tetapi sehingga sekarang, ia tidak ada pun. Saya yakin, kita berjaya dipermainkan Umno," kata Ahmad kepada The Malaysian Insider. Sebelum ini, pada mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 yang berakhir pada 9 April, alasan yang diberikan ialah banyak rang undang-undang perlu diutamakan.

Ia menyebabkan rang undang-undang persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu terpaksa diletakkan di hujung sekali, dan akhirnya tidak sempat dibincangkan.



 "Kali ini pula, kerana ada Rancangan Malaysia ke-11. Kesudahannya, langsung tiada dalam jadual," kata Ahmad yang menduga rancangan 5 tahun itu mungkin dijadikan alasan untuk sekali lagi rang undang-undang itu tidak berjaya dibentangkan.

 "Ada yang kata, speaker memaklumkan, atas arahan perdana menteri, rang undang-undang persendirian ini tidak boleh dibawa,” katanya. Katanya, keadaan itu mungkin juga berkaitan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah dan Sarawak yang tidak senang dengan tindakan Kelantan dan lantang bersuara menentang pelaksanaan hudud.

"Kesimpulannya, (sokongan kepada) hudud ini hanya permainan politik Umno dan tujuan politik, bukan untuk dilaksanakan," kata Ahmad. Bekas naib presiden PAS itu berkata, jika benar-benar ikhlas dalam isu hudud ini, wakil rakyat Umno sendiri perlu membawa cadangan pindaan tersebut ke Dewan Rakyat.

"Kalau Umno yang membentangkannya, kerja akan jadi lebih mudah, kerana ia mewakili kerajaan. Ia juga mengesahkan Umno memang menyokongnya. "Tetapi keadaan sekarang ini terkontang-kanting," kata Ahmad yang juga bekas pesuruhjaya PAS Perak.



Pada sesi Dewan Rakyat yang lepas, harapan Hadi agar rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dibacakan, musnah apabila ia ditangguhkan ke mesyuarat kali ini.

Rang undang-undang itu bertujuan meminda akta yang juga dikenali sebagai Akta 355 itu, bagi membuka jalan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan. Bagi membolehkan pelaksanaannya, Kelantan memerlukan sokongan daripada ahli Parlimen BN, yang hingga kini masih belum membuat pendirian rasmi mengenai perkara itu.

Pada Mac, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang disokong semua penggubal undang-undang di negeri itu, termasuk daripada Umno. Ini membawa kepada perpecahan yang makin mendalam antara PAS dan rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) - DAP dan PKR. Ahmad berkata, PAS terperangkap dalam isu ini kerana terlalu percaya dengan janji Umno.

"Saya ada pengalaman sendiri dengan Umno. Saya tidak percaya kepada mereka," kata bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia itu. Ahmad pernah menjadi pengarah dakwah di Jabatan Perdana Menteri ketika Tun Hussein Onn menjadi perdana menteri.

Beliau pernah beberapa kali menyiapkan teks ucapan untuk Hussein pada majlis yang berkaitan dengan agama Islam. Bagaimanapun, katanya, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan itu, beliau diketepikan dan dipindahkan ke Kementerian Pelajaran, tanpa diberikan sebarang tugas yang berkaitan dengan bidangnya, iaitu hal ehwal agama. "Saya kenal sangat dengan Umno ini, tidak boleh dipercayai," katanya mengimbau kembali apa yang dialaminya ketika berkhidmat dengan kerajaan sebelum bersara.

"Hatta surat penghargaan untuk saya selepas bersara juga ditarik balik menjelang hari persaraan saya," kata Ahmad yang mendakwa beliau sepatutnya dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang pertama berdasarkan kekananan perjawatannya.

Ahmad berkata hudud ialah perkara yang perlu diterima umat Islam sebagai sebahagian daripada tuntutan agama, sebagaimana umat Islam perlu menerima ibadat solat sebagai satu kewajipan.

"Solat ini wajib bagi umat Islam, tetapi ada syarat untuk solat. Begitu juga kewajipan hudud. Tetapi bagaimana ia hendak dilaksanakan, perlu ada syaratnya," katanya. Katanya, hudud juga, bukan keutamaan dalam Islam kerana berdasarkan ilmu fikah, ia terletak terkemudian berbanding yang lain.

"Fikah Islam disusun dengan memulakan ibadat. Ibadat yang utama ialah solat. Selepas itu, barulah muamalah, dan kemudian, undang-undang jenayah, yang termasuk di dalamnya hudud," katanya. Semalam dilaporkan pemimpin PAS mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengenai rang undang-undang ahli persendirian bagi meminda Akta 355 itu.

Ahli Parlimen Kota Baru Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pandikar sedang mengkaji rang undang-undang Hadi itu dan menunggu kelulusan Putrajaya untuk membenarkannya dimasukkan ke dalam aturan urusan mesyuarat Dewan. –

29 Mei, 2015. - sumber : themalaysianinsider Komen al-Husseyn: 'Sedang dikaji dan tunggu kelulusan Putrajaya?'

Bukankah rang undang-undang tersebut merupakan hasil persetujuan melalui Jawatankuasa Teknikal yang dibentuk kerajaan negeri Kelantan dan Kerajaan Pusat?

Apa masalahnya maka ianya masih diperingkat kajian? Bukankah Jamil Khir sebelum ini di Dewan Rakyat telah menyatakan kerajaan persekutuan bersedia memberikan laluan kepada kerajaan Kelantan untuk menguatkuasakan undang-undang Hudud.

Baca di sini Jamil Khir kini seolah-olah mahu melepaskan dirinya dari kemelut hudud.

Sedangkan dialah yang mula-mula hari tu yang mencadangkan supaya PAS membawa Rang Undang Undang (RUU) hudud ke parlimen dan mencadangkan pembentukan Jawatankuasa teknikal bagi merangka pindaan.

Nik Amar perjelaskan hasil pertemuan dengan (Datuk Seri) Jamil Khir (Baharom) dan Tan Sri Ghazali Abdul Rahman yang mencadangkan supaya digubal dahulu Akta 355 Mahkamah Shariah kemudian nanti baru perkara 76a.

UMNO sebenarnya tidak serius terhadap perundangan syariah kerana usul tersebut pernah dibawa di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, tetapi ditolak. Haji Hadi , Nik Amar dan Mat Yaakob terbukti sudah kena tipu dan dimalukah oleh Umno.

Berundur adalah lebih baik bagi mereka kerana kegagalan ini memang telah diduga tapi depa tetap mahu percaya kepada Umno.

al-Husseyn.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.