Friday, May 8, 2015

Anggota tentera ditangkap 'mengintip' di pondok PKR

   

Seorang anggota tentera dituduh mengintip dan mengumpul data di pondok PKR di luar sebuah pusat mengundi.

Lelaki itu yang kemudiannya memperkenalkan dirinya sebagai Sarjan Wong dari Sabah, didakwa mencatatkan data peratusan keluar mengundi di pondok tersebut dan menghantarnya setiap jam melalui telefonnya.

Aktivis PKR pada mulanya menyangka Wong (foto, dalam warna hitam) adalah seorang pekerja parti itu kerana dia memakai baju-T berkaitan parti dan berada di pondok SJK (C) Jit Sin A dan B sejak jam 8.30 pagi.

"Kami rasa sedikit curiga kerana dia sentiasa menulis maklumat di atas kertas dan menghantarnya kepada seorang pada setiap jam.

"Sekitar jam 2 petang, kami bertanya tentang identitinya, kemudian dia mengakui dia adalah anggota tentera dan ditugaskan oleh pegawai atasannya untuk berbuat demikian.

"Kami memeriksa telefon pintarnya dan mendapati ada kumpulan WhatsApp yang dikenali sebagai 'Team BN," kata pekerja parti, D Suhana dari Selangor.

Naib Presiden PKR Tian Chua dan ahli Majlis Pimpinan Pusat, R Sivarasa kemudian tiba untuk menyoal lelaki itu.

Menyamar sebagai pekerja PKR

Sivarasa berkata Wong mendedahkan bahawa dia berpangkalan di Kedah tetapi telah ditugaskan ke Permatang Pauh sewaktu pilihan raya kecil ini.

"Dia menyamar sebagai ahli kami dan mengumpul data mengenai berapa banyak pengundi datang ke pusat mengundi itu.

"Menurut beliau, seorang lagi rakan sekerjanya ditempatkan di sebelah BN dan ada pasukan yang sama di setiap daerah mengundi.

"Beliau mengesahkan data yang dikumpul dari kaunter kami dan menghantarnya kepada pegawai atasannya, yang dikenali sebagai Major Jazimin.

"Selepas kita mendedahkan identitinya, dia memanggil Jazimin untuk berurusan dengan kami tapi Jazimin hanya mengesahkan yang beliau mengarahkan Sarjan Wong untuk memerhatikan keselamatan di kawasan ini dan tidak pernah memintanya mengumpul sebarang data.

"Oleh kerana mereka enggan menunjukkan sebarang bentuk pengenalan diri, maka kita tidak mempunyai pilihan melainkan membawa mereka ke balai polis," katanya.

Sivarasa berkata adalah sukar untuk mempercayai apa yang Jazimin kata kerana mereka mempunyai bukti yang jelas bahawa Wong sememangnya mengumpul dan menghantar data kepada orang lain.

"Apakah peranan tentera kita di tempat ini? Kami ingin tanya kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya: Bagaimana ini boleh berlaku?

"Pihak tentera tidak apa-apa kaitan dengan pilihan raya. Mereka perlu menjadi bebas, profesional dan tidak berat sebelah," kata Sivarasa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.