Wednesday, April 1, 2015

Jangan bandingkan pimpinan kita dengan LKY, kita jauh ke belakang..

 
Ada yang bertanya kepada saya kenapa saya tidak berminat untuk membuat komen tentang kematian Lee Kuan Yew baru-baru ini dan apakah perbezaan di antara pentadbiran kerajaan Malaysia dengan Singapura, terutamanya perbandingan di antara Dr Mahathir dari Malaysia dan LKY dari Singapura. Ramai di antara penulis-penulis telah memberikan komen tentang isu ini tetapi saya tidak melakukannya seperti penulis-penulis tersebut.

Saya bukanlah seorang yang mempunyai ‘authority’ kuat untuk bercakap tentang perbezaan di antara Dr Mahathir dengan Lee Kuan Yew kerana bagi saya itu adalah topik yang terlalu besar untuk saya yang kerdil ini. Hanya saya sememangnya suka untuk membaca ucapan-ucapan penting pemimpin banyak negara termasuklah negara Singapura, terutamanya ucapan-ucapan Encik Lee Kuan Yew. Dulu-dulunya saya suka membaca apa yang diperkatakan oleh Toh Chin Chai yang suatu ketika dahulu merupakan Timbalan Perdana Menteri Negara itu, salah seorang arkitek yang membina asas kemajuan negara Singapura itu.

Saya mempunyai kepercayaan apa yang dikatakan oleh seseorang itu memberikan peluang untuk memberikan pandangan dan persepsi kita terhadap seseorang pemimpin itu. Dalam komen pendek saya ini, saya akan hanya memberikan pandangan berdasarkan kepada ucapan-ucapan LKY dan jika ada perbandingan dengan Dr Mahathir ia boleh disandarkan kepada apa yang kita lihat diatas segala tindakan dan keputusan-keputusan yang dilakukan oleh Dr Mahathir terhadap negara.

Kedua-dua pemimpin ada persamaannya dan tidak boleh dipisahkan persamaan itu walau sekuat mana pun usaha untuk membezakannya. Kedua-duanya mentadbir Negara ala kuku besi dan tidak boleh mana-mana pihak untuk menunjukan tentangannya. LKY yang terkenal sebagai bapa Singapura moden itu sememangnya tidak boleh dinafikan kerana beliau memerintah begitu lama dan berjaya untuk menjadikan Singapura dari sebuah Negara kecil yang miskin kepada sebuah Negara moden yang mempunyai pendapatan per kapita berlipat kali ganda dari Negara kita Malaysia.

Jika itu menjadi ukuran tentang kejayaan LKY, ia tentulah mempunyai kesahihan perbezaan kualiti kepimpinan yang melebihi dari kepimpinan Negara kita. Kalau tidak masakan Singapura telah melebihi dari Negara kita dari sudut kemajuan dalam bidang politik dan ekonomi untuk ‘city-state’ itu.
LKY telah menunjukan dan melakukan tindakan yang tegas bagi memajukan Negara itu dengan membina ratusan anak-anak muda yang tinggi ‘professionalism’ mereka pada awal kemerdekaannya hasil dari pemecatan Negara itu dari Persekutuan Malaysia. LKY telah memastikan Singapura membentuk ratusan gulungan yang tinggi sahsiahnya dan melatih kumpulan yang terbaik bagi menerajui Singapura dalam berbagai bidang yang telah dirancang.

Dalam satu ucapan mereka dihari kemerdekaan Singapura LKY telah memberitahu rakyat jelata yang Singapura sedang membina dan telah pun berjaya mewujudkan kumpulan yang begitu tinggi sahsiah mereka. Jika ratusan ini berada dalam satu pesawat besar dan terhempas maka Singapura akan jatuh dan tidak akan bangun buat berapa lama. Begitulah seriusnya LKY untuk membina kepimpinan dalam semua bidang bagi meneruskan perjuangan negara itu untuk mencapai kemajuan yang pesat setanding dengan negara-negara maju di barat dan seantero dunia.

Di sinilah terletaknya perbezaan yang sangat ketara jika dibandingkan dengan kepimpinan politik negara kita. Pemimpin Negara kita takut dengan rakyat yang bijak dan dalam usaha mengekalkan kuasa terlalu ramai pimpinan Negara yang boleh memberikan keuntungan serta kebaikan kepada negara diketepikan dengan cara politik dan hanya yang tidak berkemajuan dan berkepimpinan yang menguasai teras kepimpinan politik dan pentadbiran negara.

Sehingga sekarang hasil dari budaya dan sikap negatif itu negara sekarang sedang berhadapan dengan kekosongan dan ketandusan kepimpinan. Kita dipimpin oleh kumpulan elit yang hanya mementingkan kepentingan kumpulan itu dan membudayakan budaya ‘factionalism’ serta membina bibit-bibit ‘sycophants’ yang begitu ketara.  Negara ini diambil alih oleh mereka yang tidak berkepimpinan selain dari kumpulan elit pengampu dan nepotisma dikalangan mereka yang berada di ‘corridor of power’.

Begitu maju Singapura membina negaranya walaupun negara itu tidak mempunyai ‘natural resources’ seperti yang ada di negara kita. Kita mempunyai kekayaan ‘natural resources’ tetapi tidak memberikan apa-apa makna kepada Negara kerana ‘natural resources’ yang kaya raya itu sebaliknya memberikan kita kemudharatan kerana kita terlalu kufur kepada nikmat anugerah Tuhan itu.
Keluasan hutan belantara sebagai anugerah kepada negara telah dikufurkan dan ia telah memberikan impak buruk kepada negara dengan terjadinya banjir besar kerana kerakusan setengah gulungan elit negara untuk menggunakan ‘natural resources’ itu secara ‘evil’ baik dari mereka yang berkuasa politik, mahupun dari mereka yang mempunyai kedudukan sosial yang tinggi dinegara ini.

Mungkin Singapura tidak mempunyai ‘resources’ besar lah yang menyebabkan pimpinan mereka memberikan fokus kepada kemajuan negaranya tanpa mempunyai peluang untuk menggunakan apa-apa hasil  bumi secara kufur itu. Itu sebabnya perpatah ada berkata, ‘jika terjumpa barang yang cantik dan lawa jangan terus diterkam kerana mungkin ada celaka disebaliknya, dan jika terjumpa barangan yang buruk jangan terus dibuang kerana mungkin ada hikmah dan kebaikan disebaliknya’.

Bagi Negara kita untuk menyaingi negara Singapura yang diasaskan pembangunannya oleh LKY dahulu sememangnya amat sukar untuk dicapai kerana kita masih terkial-kial untuk menentukan identiti kepimpinan yang baik untuk negara. Kita terlalu jauh kebelakang walaupun dentuman ucapan kata-kata pemimpin kita sejak tiga dekad dahulu tidak lekang dari memuji kehandalan kepimpinan masing-masing.

Negara kita masih dikuasai oleh kepimpinan yang ‘feudal’ dan ‘warlords’ dalam parti kepimpinan negara masih mahu melihat negara dipimpin oleh mereka yang boleh mereka kuasai dan pengaruhi walaupun tanpa kepimpinan yang sejati dan mempunyai ‘moral’ yang secukupnya untuk diletakkan harapan untuk kemajuan rakyat dan negara.

Blog ini pernah memberikan pandangan yang selagi kita dikuasai oleh ‘greed, anger and foolishness’ selagi itu kita tidak akan ke mana-mana kerana pergolakan dalam pemikiran rakyat akan bertambah mengusutkan lagi dari masa ke semasa.

Kita perlukan penyelesaian terhadap masalah kita yang begitu sulit dahulu sebelum kita hendak membezakan pimpinan kita dengan Lee Kuan Yew. Tangan kita tidak tercapai untuk memeluk gunung dan bukit yang besar. Mungkin kita boleh membuat perbandingan dengan pimpinan banyak negara-negara Afrika.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.