Perjalanan
dan kempen pilihan raya kecil kerusi parlimen P 44 Permatang Pauh sudah
berlalu hampir separuh. Kempen yang bermula sebaik sahaja selepas
penamaan calon 25 April lalu sudah masuk hari ke lima kini. Tinggal
tujuh hari saja lagi masa berkempen. Hari mengundi ialah 7 Mei.
Pilihan raya kecil itu jika tidak dianalisa ia dilihat pilihan raya
kecil biasa sahaja, seperti pilihan kecil di kerusi Rompin, Pahang. Ia
diadakan kerana berlaku kekosongan selepas penyandangnya Anwar Ibrahim
dinafikan hak mengikut perlembagaan apabila dijatuhi hukum penjara lima
tahun.
Tetapi jika ia diselidiki dan difahami serta membaca peta dan memerhati
landskap politik, PRK Permatang Pauh itu sangat berbeza dan asing dengan
PRK lain, seperti di Rompin itu. PRK itu ada signifikan tersendiri dan
membawa mesej yang cukup penting dan unik.
Semua orang khasnya pengundi di Permatang Pauh kena mengetahui akan
keunikan dan perbezaan PRK itu berbanding dengan PRK Rompin dan
lain-lain termasuk juga dengan PRK DUN Chempaka, di Kelantan baru-baru
ini apabila penyandangnya Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal
dunia.
Yang perlu difahami ialah, kenapa PRK itu diadakan? Iya, ia diadakan
kerana ia kosong. Begitulah lumrah dan sunah demokrasinya. Tetapi lumrah
itu bukan boleh diterima seadanya. Yang penting di sini ialah memahami
akibat kekosongan itu berlaku, ini yang perlu difahami betul-betul.
Kerusi itu menjadi kosong bukan kerana penyandangnya meninggal, tetapi
ia kosong kerana penyandangnya di "sendur" dalam penjara. Ia menjadi
kosong kerana penyadangnya dihilang hak dan kelayakan mengikut suatu
prosuder. Ia disengajakan.
Yang kena difahami lagi kenapa penyandangnya, Anwar hilang kelayakan dan
haknya. Jawabnya kerana ianya dijatuhi hukuman penjara lima tahun. Yang
perlu difahami lagi kenapa ketua pembangkang itu dijatuhi hukuman
penjara lima tahun, jawabnya kerana beliau didakwa melakukan liwat.
Yang
kena difahami lagi kenapa beliau dituduh melakukan liwat? Inilah kata
kunci bagi memahami kenapa PKR Permatang Pauh itu diadakan dan kenapa
ianya sangat penting untuk diberi perhatian.
Bagi saya pilihan raya itu sengaja diadakan dengan sesuatu niat yang
jelas untuk menamatkan kerier dan perjuangan Anwar. Pihak UBN yakin dan
percaya cara mereka perlakukan ke atas Anwar itu ia boleh mengakhiri
riwayat perjuangan Anwar. Mereka perlu menamatkan riwayat Bapa Reformis
itu kerana ingin mengekalkan kekuasaan.
Kalau mereka boleh melakukan
tindakan seperti mana dilakukan oleh orang tertentu yang menyuruh Sirul
Azhar Umar dan Azilah Hadri membunuh Altantuya Shaarribuu bagi mencapai
impian politiknya, nah mereka sudah lama perlakukan begitu kepada Anwar.
Kenapa saya beranggapan demikian, kerana ianya jelas dan nyata. Halangan
atau kerja-kerja untuk membunuh riwayat perjuangan Anwar sudah lama
dilalukan. Ia bermula sejak tahun 1998 lagi.
Hari pemecatan Anwar
daripada Umno 3 September 1998 itu adalah permulaan dan langkah pertama
ke arah untuk memusnahkan menguburkan.
Tindakan itu dirasmikan oleh Dr
Mahathir Mohamad, dan apa yang berjalan kini adalah pelaksanaan pelan
pembangunan jahat Mahathir. Malangnya kubur bukan merupakan pusara buat
Anwar.
Itulah perkara pokok yang perlu difahami kenapa Anwar didakwa melakukan
kes liwat. Itu yang penting. Ia bukan sekali tetapi dua kali dan tidak
mustahil akan membawa kepada kali ketiga? Sama ada Anwar benar melakukan
atau tidak, itu soal lain. Tetapi apabila Anwar didakwa sudah ada
persiapan untuk menjadikan kerusi itu kosong.
Pendakwaan Anwar dengan
kes liwat itu bagi saya satu mekanisme dan taktik semata-mata, kerana
masih ada pesalah lain yang lebih teruk daripada Anwar dibiarkan hidup
bebas dan lepas bukan sekadar menyedut tetapi memakan oksigen.
Kenapa
mereka dibiarkan, kerana mereka itu bukan penghalang dan penganggu
kepada perjalanan mereka atas karpet merah kekuasaan.
Justeru bagi saya tindakan melakukan kekosongan kerusi Permatang Pauh
itu dengan sengaja, ia dicerminkan dengan tindakan menghalang Anwar
daripada bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Kajang Selangor. Dari
tindakan itu menunjukkan bahawa ada niat busuk terhadap Anwar.
Kalau
bukan begitu kenapa Mahkamah Persekutuan menyegerakan untuk mendengar
rayuan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum sampai tarikh yang ditetapkan?
Makanya apabila ia disegerakan dan mahkamah katanya hari itu bersidang
hingga di luar waktu kebiasaanya, jelas tindakan itu bagi menyekat Anwar
mengisikan borang pencalonan untuk bertading di DUN Kajang sebagai
persediaan menjadi MB Selangor.
Apabila memahami tindakan itu maka jelaslah, tujuan dan motifnya. Lebih
jauh dari itu ialah untuk membunuh kerier politik Anwar. Pihak
bertanggungjawab memikul dosa atas perbuatan tidak bermoral dan jahat
itu tahu akan maksudnya. Kerusi Permatang Paug tidak menjadi kosong
kalau bukan kerana itu. Tidak.
Persoalannya kini apakah niat busuk itu akan tercapai. Apakah kerier dan
perjuangan Anwar membela rakyat akan terkambus di Permatang Pauh?
Isterinya telah diserahkan untuk meneruskan perjuangan di Permatang Pauh
dalam membela rakyat. Perletakan Azizah itu adalah simbol kepada Anwar,
itu hakikatnya bukan kerana kegilaan Azizah untuk menjadi YB.
Menyedari hakikat itu maka PKR perlu memastikan kerusi Permatang Pauh
dapat dipertahankan 7 Mei kelak. Kerusi itu bukan saja menjadi lambang
maruah dan tugu kehebatan Anwar, tetapi ia menjadi lambang kekuatan PKR
dan juga Pakatan Rakyat serta seluruh rakyat yang memberontak dan resah
dengan kezaliman dan kekejaman kerajaan.
Ia bukan saja bagi insan di
kawasan itu, di negeri Pulau Penang, sebaliknya di seluruh Malaysia dari
Perlis hingga ke Sabah termasuk Marang juga.
Dan kerana PKR bermaufakat dengan DAP dan Pas membentuk Pakatan Rakyat,
maka kerusi itu adalah maruah bagi Pakatan Rakyat. Selagi Pas masih
dalam Pakatan Rakyat kesan negatif yang terbit dari pilihan raya itu
juga terleset (terpalit) kepada Pas.
Suka atau tidak suka, kerusi itu wajib dipertahankan. Dr Wan Azizah kena
dipastikan menang. Kerusi yang menjadi milik Anwar sejak tahun 1982 itu
perlu dikekalkan sehingga beliau melunasi hutang penahan secara paksa
terhadapnya selama lima tahun itu.
Bercakap mengenai kemenangan ini, Azizah perlu meraih kemenangan dengan
majoriti yang mewah. Sekiranya majoriti kemenangan nanti di bawah 5,000
saya menyifatkan ia gagal. Azizah atau Pakatan Rakyat perlu meraih
sekurang-kurang 10,000 majoriti.
Untuk rekod majoriti dalam pilihan
raya lalu, 1999 (9,077 undi), 2004 (590 undi), 2008 (13,388 undi). Apa
lagi kalau kalah PKR dan Pakatan Rakyat berdosa dengan Anwar. Anwar yang
kini terjeruk di penjara menanti pembelaan ke atasnya dengan memberi
kemenangan besar.
Dengan menginsafi senario dan sejarah politik di Permatang Pauh, BN
mungkin tidak meletakan harapan untuk menang. Parti itu berasakan cukup
kalau mereka dapat menambah undi dan mengurangkan majoriti bakal diraih
Dr Wan Azizah.
Bagi mereka itu sudah berjaya dan memberi petanda baik.
Kemenangan bagi BN ialah bukan menduduki kerusi itu tetapi mengurangkan
pengaruh Anwar di Permatang Pauh dan menghasilkan "kekucahan" sesama
Pakatan Rakyat.
BN sangat memahami Permatang Pauh adalah lubuk dan kubu pengaruh Anwar
Ibrahim dan juga Azizah. Sudah 33 tahun mereka menguasai kawasan
berkenaan.
Anwar mulai meyandang kerusi itu tahun 1982 hingga 1998 atas
tikit Barisan Nasional. Mulai tahun 1999 yang ia disandang oleh Dr Wan
Azizah sehingga tahun 2005 sebelum diambil semula oleh Anwar tahun 2005
hingga 2015.
Bercakap mengenai peluang PKR untuk mengekalkan kerusi berkenaan dengan
majoriti mewah, ia sangat bergantung kepada undi simpati pengundi
Permatang Pauh.
Pengundi Permatang Pauh tidak menghirau isu pembangunan,
dan juga tekanan bahanan GST, 1MDB dan sebagainya, tetapi perasaan
simpati yang lebih menonjol. Sebagai kawasan dimiliki Anwar pengundi
akan terkesan dengan perkara itu. Sejauh manakah daya simpati ini akan
membantu PKR?
Sejauh manakah pengundi akan terus menumpahkan simpati kepada Dr Wan
Azizah dan Anwar lantas memangkah kertas undi berlambangkan mata?
Apakah
Azizah masih dapat meraih 70 peratus undi yang dibuat atas landasan
simpati? Ini yang menjadi tanda tanya.
Sekiranya Azizah gagal untuk
mendapat sokongan atas rasa simpati itu, PKR akan menemui jakan sukar
dan tidak mustahil kejutan seperti mana disebut Ahmad Zahid Hamid akan
berlaku.
Masalah yang menimpa dalam Pakatan Rakyat, khasnya hubungan PKR dengan
Pas sedikit sebanyak mengencatkan kerja-kerja untuk mempertahankan
kerusi berkenaan. Walaupun yang keruh sudah berlalu tetapi sungai
Pakatan Rakyat di Permatang Pauh masih belum sejernih sebelum ini.
Perjanjian dan sumpah dalam politik bukan boleh dipercayai.
Sifat
mengunting dalam lipatan dan musang berbuluh ayam sering berlaku dan
fenomena inilah mengejutkan. Kita tidak mahu kesan pilihan raya itu
nanti setelah ianya dibuat bedah siasat akibatnya tertunding kepada Pas.
Berdasarkan realiti itu, bukan senang untuk Azizah pertahankan kerusi
Permatang Pauh dan membela maruah suami dan partinya. Ia memerlukan
kerja kuat dari semua pihak khasnya parti komponan Pakatan Rakyat.
Keikhlasan sangat dibutuhkan.
Apa yang dilafazkan Dr Wan Azizah pilihan
raya itu bukan mudah untuk dimenangi adalah benar. Kata Dr Mohd Hatta
Ramli pula, pilihan raya kecil di Permatang Pauh itu namanya kecil
tetapi natijah dan implikasinya besar. Oleh sebab itu jangan main-main.
Dan andaian dibuat Lim Gua Eng, Permatang Pauh menjadi penanda aras dan
penentu masa depan PR adalah benar. Sekiranya Wan Azizah kalah mungkin
Pakatan Rakyat akan lunyai.
Seandainya kerusi Permatang Pauh tewas, seperti mana di Teluk Intan, ia
bermakna perjuangan Anwar untuk membawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya juga
mungkin akan berakhir.
Ingat, rakyat negara ini tidak mudah bangkit
atau pun mudah terangsang dengan isu-isu sosial, ekonomi, budaya yang
menghentam dan membobrakan (baca memberukkan) mereka. Semua itu akan
dilupakan begitu sahaja apabila dihulurkan wang seringgit dua atau gula
sekatil dua.
Selagi undi dapat ditukar ganti dengan wang ringgit, soal maruah dan
integriti tidak menjadi keutamaan dan diletakkan sebagai pacang
sokongan. Ini kena difahami betul-betul dan PRK Permatang Pauh itu
sangat penting dan signifikan kepada PKR dan Pakatan Rakyat. [wm.kl.7:04 pm 29/04/15]
Posted by
mso.im