Friday, March 27, 2015

SELAMAT PENGANTIN BARU KEPADA NAJWA TAN SRI MUHYUDDIN

Foto - Anak perempuan TPM selamat diijabkabul

 


Najwa Muhyiddin selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Idris Koh Keng Hui di kediaman rasmi timbalan perdana menteri, Sri Satria di Putrajaya hari ini. – Gambar diambil dari Facebook.


Anak perempuan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Puan Sri Noorainee Abd Rahman, Najwa, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Idris Koh Keng Hui di kediaman rasmi timbalan perdana menteri, Sri Satria di Putrajaya hari ini.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan pada majlis yang berlangsung pada 11.40 pagi, di hadapan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya Abdul Manaf Mat dan Khatib Dr Sirajuddin Suhaimee.

Najwa berusia 28 tahun manakala pasangannya 29 tahun.

Majlis pernikahan ringkas namun meriah dihadiri kira-kira 300 jemputan yang terdiri daripada ibu dan bapa pengantin lelaki, Puan Chiam Juat Wah dan Encik Koh Lai Poo, anggota keluarga pengantin kedua-dua belah pihak dan sahabat handai.
Sementara itu, Muhyiddin dalam catatan di akaun Facebook miliknya menzahirkan rasa syukur atas majlis yang telah berlangsung hari ini, yang diiringi doa agar rumah tangga anak ketiganya itu beroleh kebahagiaan.

"Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana baru selesai tadi acara akad anak perempuan saya Najwa dengan pasangannya Idris Koh Keng Hui.

"Kepada Idris dan Najwa, selamat menempuh alam rumahtangga. Najwa, jadilah seorang isteri yang solehah, berilah ketaatan kepada suami, jagalah budi pekerti dan akhlak sebagai seorang isteri serta taatilah Allah sepanjang hidupmu.

"Ayah dan Mama telah mendidik dan mengasuh sebaik mungkin untuk menjadikan Najwa anak yang solehah dan berjaya.

"Ayah dan Mama mendoakan semoga Allah memberikan ketabahan, ketenangan dan kebahagiaan kepada kamu berdua hingga ke syurga".

Dalam catatannya, Muhyiddin turut memuat naik beberapa keping gambar pada majlis pernikahan itu. – Bernama.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.