Friday, March 6, 2015

Rafizi gesa skop dan terma audit ke atas 1MDB didedahkan di Parlimen






KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini menyeru supaya skop dan terma audit yang bakal dijalankan oleh Ketua Audit Negara ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dibentangkan di Parlimen.

Rafizi berkata, perkara itu penting supaya audit yang akan dibuat itu, benar-benar menyeluruh dan bermatlamatkan ketelusan.

Rafizi berkata antara skop dan terma audit yang harus dilakukan adalah mengenalpasti ke mana dana telah dilaburkan, berapa yang dibelanjakan dan siapa penerima akhir bagi setiap satu sen dana yang digunakan oleh 1MDB.

Beliau turut berkata skop dan terma itu harus mengenalpasti sama ada keputusan bagi setiap pelaburan dan perbelanjaan telah menepati tata kelola dan berpatutan dengan harga atau nilai pasaran.

“Audit tersebut harus memastikan setiap pelaburan dan perbelanjaan membawa pulangan yang berpatutan yang melebihi nilai hutang yang telah diambil oleh 1MDB dan mengenalpasti risiko kewangan yang dibawa 1MDB kepada ekonomi negara khususnya sektor perbankan dan pasaran bon atau ekuiti serta langkah-langkah segera membendungnya.



“Ia harus juga mengenalpasti individu terbabit dalam setiap perbelanjaan dan pelaburan yang dibuat 1MDB serta saranan tindakan yang perlu diambil terhadap mereka sekiranya terbukti berlaku penyelewengan atau pengurusan yang lemah,” katanya di dalam satu kenyataan media.

Rafizi berkata jika audit itu tidak menyentuh mana-mana objektif itu, beliau yakin ia tidak akan memberi sebarang jawapan kepada pelbagai tanda tanya mengenai 1MDB selama ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, beliau juga telah menggesa 1MDB dan juruaudit mereka Deloitte menghadap Kabinet.

"Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian," kata Najib.

Posted & copy by RAKYAT MARHAEN 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.