Akta baharu perlu digubal bagi mencegah individu daripada melakukan sebarang aktiviti keganasan dalam dan luar negara
KUALA LUMPUR: Tujuh rang undang-undang (RUU) yang merangkumi dua akta
baharu bagi membendung aktiviti jenayah negara akan dibentang kerajaan
hari ini.
RUU tersebut akan di bentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat.
Dua daripada rang undang-undang berkenaan ialah Langkah-Langkah Khas
Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 dan Rang Undang-Undang
Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).
RUU Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan Di Luar Negara akan
memperuntukkan kuasa kepada ketua polis negara dan ketua pengarah
Imigresen Malaysia untuk menggantung atau membatalkan semua dokumen
perjalanan Malaysia yang telah dikeluarkan kepada seseorang atau
individu.
“Penggantungan atau pembatalan sedemikian adalah perlu untuk mencegah
orang (Individu) daripada melakukan perbuatan tersebut,” menurut
kandungan kertas rang undang-undang tersebut.
Dalam peruntukan Fasa 5 akta tersebut, setiap dokumen perjalanan
Malaysia milik individu boleh digantung dan dibatalkan bagi mencegah
individu tersebut keluar negara untuk menyertai perbuatan atau menyokong
akiviti keganasan.
“Akta ini hendaklah, berhubung dengan mana-mana orang, walau apa pun
kerakyatannya atau kewarganegaraannya, mempunyai kuat kuasa di luar dan
juga di dalam Malaysia, dan jika suatu kesalahan di bawah akta ini
dilakukan oleh mana-mana orang di mana-mana tempat di luar Malaysia, dia
boleh diuruskan berkenaan dengan kesalahan sedemikian seolah-olah
kesalahan itu dilakukan di mana-mana tempat dalam Malaysia,” kata
dokumen RUU itu lagi.
Sementara itu, bagi warganegara Malaysia yang ditahan dokumen,mereka
tidak diberi sebarang tempoh penahanan sebaliknya dibenarkan untuk
membuat permohonan bertulis kepada ketua Imigresen.
Manaka bagi warganegara asing yang bersalah atas tuduhan melakukan
kegiatan keganasan, pihak kerajaan boleh menahan dokumen perjalanan
mereka selama 14 hari.
Dalam pada itu, lima lagi akta sedia ada yang akan dipinda
termasuklah; rang undang-undang Penjara (Pindaan) 2015; Rang
Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang
Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015; Rang Undang-Undang Kanun Tatacara
Jenayah (Pindaan) 2015; dan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2015.
Sebelum ini media melaporkan, kerajaan dijangka akan membentangkan
Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) di Dewan Rakyat, 6 hingga
9 April ini.
Menurut Zahid, akta itu yang digubal khusus bagi mengekang penularan
kegiatan keganasan dan ekstremisme, berbeza dengan Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan sebelum ini.
“POTA ini berbeza dengan ISA, tidak seperti didakwa beberapa peguam hak asasi manusia.
“Ini kerana kuasa eksekutif untuk menahan pesalah tidak berada di
tangan seorang menteri tetapi agensi pencegahan jenayah,” katanya.
FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.