Friday, March 27, 2015

Peguam perlu berjuang tanpa gentar atau pilih kasih

Peguam perlu berjuang tanpa rasa gentar atau pilih kasih supaya profesion guaman terus dihormati, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda, kredibiliti, maruah dan kewibawaan peguam akan dipersoalkan jika peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka tidak dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur.

"Selain menegakkan undang-undang dan keadilan, peguam juga bertanggungjawab memainkan peranan dalam mentadbir keadilan iaitu badan kehakiman, badan peguam dan pegawai perkhidmatan undang-undang,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, selepas berkenan menerima kunjungan mengadap pengerusi dan ahli jawatankuasa Badan Peguam Perlis (BPP) penggal 2015/2016 di bilik VIP Kompleks Makanan Laut Kuala Perlis, dekat sini, hari ini. Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh pengerusi BPP, Ahmad Zaini Samsudin, wakil BPP ke Majlis Peguam Malaysia, Siti Hajar Ahmad serta ahli BPP yang terpilih dalam mesyuarat agung pada 12 Februari lepas.

Menurut baginda perilaku peguam sentiasa diperhati kerana selain mewakili anak guam mereka adalah pegawai mahkamah yang mempunyai peranan khas khususnya membuat keputusan dengan penuh pengetahuan, bebas dan dengan naluri keadilan.

"Badan Peguam antara profesion tertua. Tugas anda berat dan sukar, mungkin dilaksanakan dalam tekanan, halangan dan godaan namun anda harus membuktikan melaksanakannya dengan penuh wibawa dan bebas.

"Sistem keadilan kita tidak mungkin dapat ditegakkan tanpa komitmen ikhlas setiap ahli sama ada badan kehakiman atau badan peguam yang mendukung Kedaulatan Undang-Undang.

"Oleh itu badan peguam hendaklah berpendirian teguh bahawa kemajuan dan perkembangan masyarakat hanya dapat dicapai seiring dengan pembangunan ekonomi, kewujudan undang-undang yang wajar dan sistem keadilan tiada cacat celanya," titah Tuanku Syed Faizuddin.

BPP, yang ditubuhkan pada 14 Mac 2013, mempunyai 60 ahli namun hanya 38 orang mengamalkan khidmat guaman di Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen juga berkenan memotong kek ulang tahun kedua penubuhan BPP di akhir majlis itu. – Bernama, 26 Mac, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.