Saturday, March 28, 2015

Khairy: Laporan TMI isu hudud 'biadap'

 
 
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap sebuah portal berita yang dikata menyiarkan laporan palsu mengenai kenyataan Majlis Raja-Raja berhubung hudud.

Khairy menyifatkan laporan portal berita The Malaysian Insider (TMI) itu tidak bertanggungjawab dan biadap.

Semalam, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuat laporan polis bagi menafikan penyiaran sebarang kenyataan berhubung pendirian Majlis Raja-Raja dalam isu hudud.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berkata laporan dibuat di balai polis Jalan Travers itu bagi menegaskan apa yang disiarkan dan diterbitkan adalah tidak benar dan bukan dikeluarkan oleh pejabat berkenaan.

Khairy berkata SKMM perlu segera mengambil tindakan tegas ke atas portal ini kerana ia menyentuh kredibiliti Majlis Raja-Raja yang menjadi simbol dan payung agama Islam di negara ini.

"Kegagalan SKMM membawa kes berkenaan ke mahkamah dikhuatiri akan menjejaskan nama baik Majlis Raja-Raja," katanya.

Beliau berkata walaupun Pemuda Umno menyokong penuh kebebasan media namun kebebasan itu perlu ada batas dan bukan mutlak.

Tindakan keras sebagai pengajaran

Sementara itu, Pemuda Umno hari ini meminta SKMM mengambil tindakan tegas terhadap TMI berhubung laporan kononnya Majlis Raja-Raja Melayu menolak cadangan meminda perlembagaan persekutuan berhubung pelaksanaan hukum hudud.

Pengarah kanan komunikasi strategik SKMM Sheikh Ahmad Raffie Sheikh Abd Rahman menerima laporan aduan yang diserahkan Pengerusi Biro Media Baru Pemuda Umno, Ibdilillah Ishak, di SKMM di Cyberjaya.

Ibdilillah berkata berikutan penafian Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung laporan tersebut, SKMM seharusnya mengenakan tindakan sekeras-kerasnya terhadap TMI sebagai pengajaran kepada portal-portal lain agar tidak memprovokasikan isu berkaitan Raja-raja Melayu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan laporan itu, ia bukan kali pertama TMI melakukan fitnah malah portal itu sebelum ini telah seringkali memohon maaf setelah melaporkan berita palsu.

Beliau turut menyokong kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, semalam yang mahu SKMM menyiasat laporan berita portal itu.

Katanya, Pemuda Umno berharap saranan menteri tersebut membantu dalam usaha mendesak SKMM melakukan siasatan dan mengambil tindakan segera ke atas TMI.

- Bernama

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.