Saturday, March 7, 2015

Asri: Tidak malukan Kazim, hak penganjur tolak

 
 

Jabatan Mufti Perlis tidak berniat memalukan Datuk Kazim Elias dengan mendedahkan penceramah popular itu pernah menyebarkan hadis 'roti jala', isu yang menyebabkan ia dihalang berforum di negeri itu.

Mutfi Perlis berkata keputusan menolak Kazim itu "hak penganjur" forum perdana ehwal Islam bersempena sambutan ulang tahun ke-72 keputeraan raja Perlis.

"Tiada siapa ingin memalukan sesiapa tapi ia adalah hak penganjur menentukan pemilihan panel.

"Ia kes khusus untuk satu program yang membabitkan keberangkatan pihak istana dan kehadiran mufti negeri," kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) hari ini.

Semalam, Kazim menyifatkan tindakan mufti itu sebagai tidak adil dan memalukan dirinya.

"Secara peribadi saya malu apabila dituduh periwayat palsu. Saya hormat dia sebagai seorang mufti tetapi bila dia keluarkan kenyataan sebegitu seolah-olah saya menyampaikan benda yang tidak betul kepada pendengar ceramah saya selama ini.

"Mereka yang pernah dengar ceramah saya akan jadi keliru dengan isu ini.

"Saya terpaksa mempertahankan diri sebab ia menjejaskan kredibiliti dan imej saya sebagai seorang penceramah yang dituduh menggunakan riwayat palsu," pendakwah itu dipetik sebagai berkata.

Keratan halaman buku

Selain surat bagi membatalkan Kazim sebagai ahli panel forum, Dr Mohd Asri juga menunjukkan keratan halaman buku Kazim bertajuk 'Tuhan Sedang Menguji Kita' di laman Facebook.

"Nabi Muhammad SAW pernah membuat kenduri yang paling murah. Jamuan yang disediakan hanyalah buah kurma yang dicelup dengan tepung. Tepung itu pula digoreng.

"Itulah kenduri Rasulullah SAW yang paling murah sekali.

"Manakala kenduri Rasulullah SAW yang paling mahal pula adalah roti jala dicelup dengan kuah kari," imej keratan buku itu dipetik.

Dalam kenyataannya di Facebook, Dr Mohd Asri berkata isi-isi ceramah Kazim sering diteliti oleh mereka yang mahir dalam bidang hadis. Lagipun, tambahnya, penolakan terhadap Kazim untuk acara ini sahaja dan bukan larangan menyeluruh.

"Maka, dalam pemilihan panel forum pihak jabatan, setelah berbincang, melihat tidak sesuai untuk program itu, bukan mengeluarkan fatwa khas menghukum dan melarang sepenuhnya pihak terbabit," katanya.

Elokkah cabar-mencabar?

Dr Mohd Asri juga berkata beliau sudah cuba menyampaikan mesejnya kepada pihak Kazim melalui seorang wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan penolakan itu bukan isu peribadi antaranya dengan Kazim.

"Pihak saya juga semalam mengelakkan sidang media dan enggan menjawab soalan wartawan tentang isu ini supaya tidak mengeruhkan keadaan.

"Pihak saya dukacita apabila pihak berkenaan membuat sidang media dan mencabar bukti. Bukan tiada bukti, tapi elokkah cabar-mencabar di media sedangkan laluan perbincangan terbuka?

"Jika surat itu ditujukan kepada awam, mungkin boleh diterima rasional cabaran itu, tapi hal ini hanya urusan pentadbiran dan bukan larangan mutlak," kata Dr Mohd Asri lagi.

Kenyataan asal beliau Rabu lalu dikeluarkan sebagai menjawab pengedaran surat Jabatan Mufti Perlis bertarikh 27 Februari yang tersebar tanpa kebenarannya.

Dr Mohd Asri juga menasihati Kazim agar membetulkan isu riwayat 'roti jala' kerana beliau bimbang ia membawa tanggapan salah.

"Dalam contoh 'roti jala', alangkah baiknya jika pihak berkenaan membetulkan hal itu. Ini kerana, jika tidak dibetulkan, ia boleh membawa anggapan 'sunnah nabi SAW makan roti jala'," katanya.

Mengulas perkara itu semalam, Kazim berkata beliau hanya membuat perbandingan bahawa di negara ini roti jala yang dicecah dengan kuah kari masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.

"Mungkin dia ada isu lain yang tersirat di hati dia. Sebagai orang Islam (kita) sepatutnya saling tolong-menolong, bukannya menyekat," katanya di sidang media di Ipoh.



Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.