Tuesday, February 24, 2015

Ucapkan tahniah buat KJ.... Sekalung tahniah buat Khairy Jamaluddin... Shahbudin Husin SUARA LANTANG:

Kira-kira seminggu sebelum dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ada memberi amaran bahawa pemenjaraannya akan meningkatkan lagi simpati rakyat dan memberi kemungkinan lebih cerah PR menubuhkan kerajaan selepas PRU 14 akan datang.

Menurut beliau, jika dalam dalam pilihanraya umum lalu undi popular yang diraih oleh PR ialah sebanyak 52 peratus, tetapi selepas pemenjaraannya ia akan meningkat kepada 60 peratus.

Ketika itu mungkin ramai yang menyangka ia hanya sebagai suatu "ancaman" daripada Datuk Seri Anwar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan UMNO semata-mata agar tidak memandangkan mudah jika beliau dipenjara.

Apatah lagi, tidak ada sesiapa, baik Pemuda UMNO yang mahu menyanggah apa yang diluahkan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Tetapi sebaik Datuk Seri Anwar dihantar ke penjara Sungai Buloh, Pemuda UMNO Malaysia melalui Akademi Kepimpinan Kapten Hussein atau AKHI yang dinaunginya, dengan pantas menjemput Tan Sri Shafee Abdullah, timbalan pendakwaraya dalam kes liwat itu untuk hadir dalam suatu majlis dialog anjurannya dan bercakap mengenai kes yang sudah berakhir itu.

Di dalam majlis dialog yang turut dihadiri oleh Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin itu, Tan Sri Shafee bukan saja membentangkan beberapa fakta kes tetapi juga bercerita dengan terperinci mengenai perlakuan seks antara Datuk Seri Anwar dengan Saiful Bukhari Azlan yang didakwnya berlaku.

Sudah tentu cerita sepihak itu didengarinya daripada keterangan yang diberikan oleh Saiful Bukhari kepadanya.

Susulan dari itu, Khairy Jamaluddin atau KJ mengumumkan bahawa Pemuda UMNO akan mengadakan program jelajah ke seluruh negara bersama Tan Sri Shafee dengan destinasi pertama yang dipilih ialah Pulau Pulang. Tindakan KJ ini segera mengundang banyak persoalan.

Ramai yang bertanya, apa perlunya jelajah ke seluruh negara diadakan sedangkan Datuk Seri Anwar sudah kalah dan kini dipenjarakan? Jika pihak Datuk Seri Anwar yang mengadakan jelajah itu, ia mungkin munasabah dan boleh difahami kerana pihak yang kalah memang selalu membantah dan tidak puas hati.



Tetapi apa perlunya lagi Pemuda UMNO mengadakan jelajah sedangkan musuh kepada UMNO dan Perdana Menteri itu sudah berjaya dipenjarakan?

Apakah muslihat KJ dan Pemuda UMNO dalam hal ini? Mengadakan program jelajah dan terus bercerita mengenai hal-hal peribadi, moral dan seks melibatkan Datuk Seri Anwar tidak lain hanyalah meningkatkan lagi simpati rakyat kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ia juga akan menjadikan nama Datuk Seri Anwar terus segar dalam ingatan dan menjadi sebutan ramai. Isu seks melibatkan Datuk Seri Anwar hakikatnya sudah pun dijaja oleh UMNO sejak tahun 1998 lagi iaitu sebaik beliau dipecat daripada parti dan kerajaan dan ia adalah modal politik yang pernah sama-sekali membawa untung.

Setiap kali pilihanraya, di sebalik pelbagai video, risalah dan ramai bekas pemimpin PKR dan NGO yang bercakap mengenai seks, moral dan keburukan Datuk Seri Anwar, jumlah kerusi yang dimenangi PR nyata makin bertambah. Ini menunjukkan semakin dijaja dan dicerita isu seks itu, ia meningkatkan lagi sokongan rakyat kepada PR.

Ia mungkin disebabkan rakyat tidak percaya dengannya atau mungkin juga rakyat menilai ini bukanlah cara yang sihat dalam berpolitik dan mencari sokongan.

Dengan KJ dan Pemuda UMNO mahu mengadakan jelajah ini, lebih mungkin yang berlaku ialah simpati akan meninggi lagi. Datuk Seri Anwar yang sudah dipenjara dan tiada ruang untuk menjawab lagi tetapi terus diperkatakan keburukan, dicaci dan dicerca, pasti akan menyebabkan sesiapa pun kasihan kepadanya.

Bersama dengan Datuk Seri Anwar dan PR sendiri yang terus-menerus mengatakan ia sebagai konspirasi politik dan tiada keadilan yang sepenuhnya diberikan, dalam masa yang sama rakyat juga akan terus berbelah bagi dengan hukuman penjara yang diterimanya itu.

Program jelajah ini juga menyebabkan nama Datuk Seri Anwar terus segar dalam ingatan dan sentiasa disebut ramai. Walaupun dipenjara, ia akan terus menghantui UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang ini.

Selain itu, dengan terus menjaja dan memburuk-burukkan nama Datuk Seri Anwar melalui program jelajah itu, lebih mudah untuk rakyat mempercayai bahawa segala-galanya adalah berunsur politik.

Jika bukan kerana politik, bukankah lebih baik diam saja? 


Secara umumnya, program jelajah Pemuda UMNO ini menyumbang kepada tiga perkara - meningkatkan lagi simpati, menyebabkan nama Datuk Seri Anwar terus segar dan menjadikan pemenjaraannya lebih mudah dikaitkan dengan politik sedangkan sebelum ini ia dikatakan hanya jenayah peribadi Ketua Pembangkang dengan bekas pembantunya saja.

Secara tidak langsung melalui program jelajah Pemuda UMNO ini, keyakinan Datuk Seri Anwar bahawa undi popular kepada PR akan meningkat daripada 52 peratus kepada 60 peratus lebih mungkin menjadi kenyataan. Peratusan itu akan meningkat melalui tiga faktor yang disebut diatas tadi.

Kalau dulu, ketika Datuk Seri Anwar dibebaskan dari pertuduhan kes liwat 1, KJ menunjukkan simpati dengan menghantar passport ke rumah bekas Timbalan Perdana Menteri bagi membolehkannya pergi menerima rawatan tulang belakang dengan segera di Munich, Jerman, namun dalam kes liwat 2 ini, simpati itu nampaknya ditunjukkan dalam bentuk berbeza pula.

Lalu, sekalung tahniahlah buat KJ....

Posted by mountdweller

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.