Wednesday, February 4, 2015

Kenyataan Ismail Sabri realiti, bukan rasis, kata Noh Omar OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Bekas menteri Kabinet Datuk Seri Noh Omar berkata kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dilihat dalam keseluruhan konteks, kerana pengguna sendiri yang akan menerima faedah daripadanya.

Bekas menteri Kabinet Datuk Seri Noh Omar berkata kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dilihat dalam keseluruhan konteks, kerana pengguna sendiri yang akan menerima faedah daripadanya.

Bekas menteri Kabinet Datuk Seri Noh Omar mempertahankan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan mengatakan kenyataan menteri pertanian dan industri asas tani itu yang menggesa pengguna Melayu memboikot perniagaan kaum Cina bukanlah satu ungkapan rasis.

Pengerusi badan perhubungan Umno Selangor itu berkata, kenyataan Ismail perlu dilihat dalam konteks menyeluruh kerana pengguna sendiri yang akan menerima faedahnya.

“Apa yang dinyatakan Ismail Sabri satu realiti. Kalau boikot harga barang, yang akan mendapat faedahnya rakyat. Tidak kira orang Melayu, Cina atau India.

“Ayatnya perlu dibaca secara keseluruhan. Saya baca kenyataan Ismail Sabri, saya tidak nampak di mana ada rasis, beliau memberikan kenyataan menyeluruh.

“Kalau kita faham kenyataannya itu, kesannya kepada rakyat Malaysia. Kalau harga turun, semua rakyat dapat faedah,” katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Selangor hari ini.

Ismail mencetuskan kemarahan orang ramai selepas membangkitkan isu berbaur perkauman menggesa pengguna Melayu memboikot peniaga dari kalangan kaum Cina.

Katanya, saranan itu ditujukan kepada peniaga Cina yang masih enggan menurunkan harga barang walaupun harga runcit minyak sudah diturunkan.

Dalam kiriman Facebook pada Ahad, Ismail mempersoalkan sikap pengguna Melayu yang masih makan di kedai milik kaum Cina seperti Old Town Whitee Coffee yang diragui status halalnya walaupun terdapat banyak restoran Melayu yang lain.

Semalam Tan Sri Joseph Kurup mempertahankan kenyataan Ismail yang menggesa orang Melayu memboikot perniagaan orang Cina untuk menurunkan harga barang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio perpaduan itu berkata, Ismail mempunyai niat yang baik menyeru pengguna tidak berkunjung ke premis perniagaan yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.

“Beliau menggesa orang ramai, sebagai contoh Bumiputera, membuat penguatkuasaan sendiri dengan tidak berkunjung ke premis yang menaikkan harga barang,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, Kurup enggan melabel gesaan Ismail itu sebagai rasis dan bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang dipromosikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ditanya sama ada beliau akan cuba mendapat penjelasan lanjut, Kurup berkata: “Jika saya ada masa bercakap dengannya, beliau akan jelaskan.”

Noh berkata, jika pengguna dapat memainkan peranan memboikot kedai yang menaikkan harga barang, maka faedahnya akan kembali kepada pengguna kerana penggantungan sepenuhnya tidak boleh diletakkan pada kerajaan.

Beliau turut mencabar Pakatan Rakyat (PR) mengadakan demonstrasi menurunkan harga barang selepas pemimpin pembangkang berhasrat untuk berdemonstrasi ketika harga minyak dinaikkan.

“Saya cabar PR buatlah demonstrasi beritahu pada rakyat bila harga minyak turun, harga barang masih naik.

“Dulu pembangkang, Rafizi kata barang naik sebab harga minyak naik. Sekarang ini harga minyak sudah turun, mengapa harga barang naik?” katanya merujuk kepada Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

“Sekarang ini kalau PR betul-betul percaya kepada konsep harga minyak berkait dengan harga barang-barang, mereka kena buat demonstrasi pula. Mengapa mereka diam, mengapa tidak mahu buat demontrasi?”

Ahli Parlimen Tanjung Karang itu mempersoalkan perjuangan PR selepas mengambil pendekatan berdiam diri ekoran harga barangan yang masih tidak diturunkan.

Katanya, sikap pemimpin PR itu jelas menunjukkan mereka hanya tahu berpolitik, menghasut rakyat dan menanam perasaan benci kepada rakyat.

“Hari ini terbukti tuduhan PR satu tuduhan palsu, fitnah dan hanya hendak dapatkan publisiti murah dari segi politik,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap di Kuil Subramaniam di Kuala Selangor hari ini, Noh mengingatkan agar semua kaum di Malaysia tidak mencampuri urusan agama lain.

Katanya, masalah yang berbangkit antara agama perlu diselesaikan secara perbincangan agar segala salah faham dapat dileraikan.

“Kita jangan bercakap bagi pihak agama orang lain, kalau orang Islam biar cakap soal agama Islam. Orang Hindu mereka cakap soal Hindu kerana kita kadang-kadang tidak faham agama satu sama lain.

“Hari ini kita nampak sudah mula pihak tertentu mula campur tangan hendak menghina agama lain. Ini satu perkara yang cukup bahaya.

“Kalau sudah mula tidak menghormati satu sama lain, maka tindakan tegas mesti diambil demi kebaikan negara kita sendiri dan masa depan perpaduan negara kita,” katanya. – 3 Februari, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.