Monday, February 2, 2015

Artis tempatan lebih layak jadi ‘Datuk’, bukan Jackie Chan, kata pengamal industri OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Pelakon popular Jackie Chan dikurniakan anugerah Datuk sempena Hari Wilayah semalam, namun penggiat industri hiburan tempatan mempersoalkannya kerana gelaran itu tidak bermakna bagi artis luar negara.

Pelakon popular Jackie Chan dikurniakan anugerah Datuk sempena Hari Wilayah semalam, namun penggiat industri hiburan tempatan mempersoalkannya kerana gelaran itu tidak bermakna bagi artis luar negara.

Gelaran atau pangkat lebih bermakna sekiranya diberi kepada artis tempatan kerana mereka bekerja dan menetap di negara ini, kerana ia tidak bermakna kepada artis luar negara di peringkat antarabangsa, kata pengamal industri hiburan tanah air.

Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya tidak mempersoalkan penganugerahan gelaran "Datuk" yang diterima pelakon Hong Kong Jackie Chan, namun yakin dia tidak akan menggunakan gelaran tersebut di peringkat antarabangsa.

Malah, Jurey berkata, adalah lebih "manis" jika artis daripada kalangan anak-anak tempatan dianugerahi gelaran tersebut berdasarkan sumbangan mereka kepada negara.

"Lebih elok kita bagi orang yang lebih berjasa, tapi hak penganugerahan itu hak mutlak kerajaan, kalau pemilihan itu dibuat Kementerian Wilayah Persekutuan, meraka berhak dapat. Kita tidak mempersoalkan siapa-siapa yang terima, tapi bagi kita, kalaulah dipertimbangkan orang-orang yang berjasa di Malaysia ini lebih baik.

"Kita tahu anugerah itu di luar negara itu tiada nilainya, tapi di Malaysia ada, kita tidak tahu apa sebab Jackie dipilih, tetapi kita tidak persoalkan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Chan, 60, dikurniakan anugerah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Ia menimbulkan kritikan meluas di laman Facebook dan Twitter, dengan pengguna mempersoalkan sumbangan pelakon antarabangsa itu kepada Malaysia.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, Malaysia sendiri mempunyai artis yang lebih layak menerima gelaran tersebut atas sumbangan dan jasa mereka kepada industri seni tanah air.


Namun, amalan yang dapat dilihat di negara ini, katanya, adalah artis hanya akan menerima penganugerahan dan gelaran selepas kematian mereka.

"Orang seni bila dah meninggal baru nak bagi gelaran, kita perlu iktiraf artis kita dahulu, baru artis luar kerana jasa artis Malaysia lebih banyak.

"Adakah Jackie Chan buat sumbangan kepada negara yang kita tidak tahu, ada laksanakan tanggungjawab sosial tapi kita tidak dengar? Kita minta badan bertanggungjawab kaji, orang seni kita yang lebih baik lebih afdal jika terima gelaran," katanya.

Zed turut menyifatkan tindakan itu ibarat kata pepatah, "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan".

"Orang seni di Malaysia banyak dipinggirkan, bila diperlukan baru dipakai, tapi di sini kita ingin bertanya, kami ingin tahu, apa justifikasi yang membolehkan beliau menerima gelaran?" katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di laman mikro blog Twitter miliknya berkata Chan merupakan pelakon popular dan mempunyai ramai peminat di Malaysia, dan mampu mempromosikan negara sekaligus melayakkan beliau menerima gelaran Datuk berkenaan.

"Jackie Chan pelakon yang banyak peminat di Malaysia dan boleh promosi Malaysia, khususnya Kuala Lumpur dan memang layak.

"Banyak yang lupa Police Story yang dibintangi Jackie Chan pengambarannya di Kuala Lumpur filem yang popular," kata Tengku Adnan.

Sementara itu, pengarah dan pelakon Afdlin Shauki berkata lebih bermakna jika gelaran berkenaan diterima mereka yang pernah berkorban untuk negara seperti mereka yang membantu mangsa banjir tempoh hari.


"Ia akan lebih bermakna jika gelaran Datuk diberikan kepada rakyat Malaysia yang menjadikan negara berbangga dengan sumbangan mereka.

"Beri gelaran Datuk kepada  mereka yang merisikokan nyawa untuk orang lain ketika banjir la...berikan gelaran Datuk ini mempunyai maknanya! Itu pendapat saya," tulis Afdlin di laman Facebook.

Pelawak itu juga secara sini meminta agar Chan menetap di Malaysia.

"Tahniah. Rakyat Malaysia akan bergembira sepanjang tahun. Apa kata tinggal dan menetap di Malaysia? Kami berbesar hati jika anda dapat mengajarkan kami membuat filem yang lebih baik," kata Afdlin. – 2 Februari, 2015.


- See more at: http://www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.