Thursday, January 22, 2015

Tenaga kerja sektor petroleum dikurangkan?

  
Beberapa isu penting yang telah lama membelenggu masyarakat di Labuan akan dibawa kepada perhatian agensi kerajaan berkaitan untuk diselesaikan, kata pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Labuan Rahimah Lamat.



Antara isu-isu itu termasuk kemungkinan pemberhentian atau usaha mengecilkan jumlah tenaga kerja dalam sektor minyak dan gas, harga barangan semakin meningkat, kekurangan kemudahan di Kompleks Pasar Labuan Sentral yang baru siap dan usaha menambah pengundi baharu, katanya.

Rahimah berkata isu berkenaan telahpun dibangkitkan oleh masyarakat umum dan
para peniaga.

"Isu-isu itu akan dikemukakan kepada agensi berkaitan dan anggota Parlimen untuk tindakan segera,” katanya dalam mesyuarat jawatankuasa penyelarasan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Rahimah berkata kemungkinan pemberhentian tenaga kerja adalah isu sensitif memandangkan kerajaan baru sahaja mengumumkan penstrukturan semula bajet negara semalam.

“Ia adalah isu yang agak sensitif namun mesti diketengahkan kerana ia membabitkan orang awam. Isu barangan pengguna yang begitu lama dan kurangnya kemudahan di pasar baharu masih tertinggal di belakang dan perlu penyelesaian bagi menamatkan sungutan orang ramai,” katanya sambil menambah jabatannya juga sedang meneruskan usaha mendaftar pengundi baharu.

Mesyuarat bulanan KKMM Labuan merupakan satu platform bagi jabatan dan agensi di bawah kementerian itu termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) untuk mengetengahkan isu-isu agar dapat menarik perhatian pihak berkuasa berkaitan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.