LABUAN:
Ombak besar membadai pantai Labuan malam tadi dan menimbulkan suasana
cemas dalam kalangan penduduk, nelayan serta pengusaha pengangkutan
laut.
Beberapa nelayan tempatan dan tekong bot dilaporkan
tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain berikutan keadaan laut
yang bergelora teruk.
"Saya belum pernah melihat ombak
sebesar ini," kata Rahim Yussof, 45, yang bertugas dengan sebuah
syarikat minyak dan gas kepada Bernama pada Jumaat.
Beliau merujuk kepada ombak setinggi dua dan empat meter yang membadai struktur jeti berhampiran Pelabuhan Labuan.
"Ombak begitu tinggi, manakala angin pula sungguh kencang hingga menimbulkan suasana ngeri dan menakutkan," katanya.
Sementara
itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menasihati
pengendali bot, nelayan dan pemancing supaya berhati-hati dan
menghubungi Jabatan Perkhidmatan Meteorologi bagi mendapatkan maklumat
tentang cuaca dan keadaan laut.
Jabatan itu hari ini
meramalkan angin kencang dan laut bergelora di perairan Pahang, timur
Johor, Sarawak, Sabah (Pedalaman, daerah Pantai Barat dan Kudat) dan
Wilayah Persekutuan Labuan hingga Ahad.
Dalam kenyataannya,
jabatan itu berkata angin Kategori Dua selaju 50 hingga 60 km sejam dan
ombak hingga setinggi 4.5 meter di kawasan berkenaan adalah berbahaya
kepada semua kegiatan perkapalan, termasuk perkhidmatan feri dan
menangkap ikan, serta aktiviti di pesisiran pantai. -
BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.