Sunday, January 4, 2015
Negara Islam bukan sekadar pada nama, kata Sultan Perak.
Negara Islam tidak terbentuk sekadar dengan menamakannya sebagai Negara Islam tetapi ia adalah satu kaedah untuk mewujudkan satu sistem pemerintahan yang melakukan amal makruf dan menegah kemungkaran, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah (gambar).
Selain daripada itu, baginda bertitah rakyat di sesebuah negara Islam hidup dalam suasana damai lagi rukun, saling bekerjasama, saling menghormati, bersatu padu dan mempertahankan kedaulatan watan.
Mereka juga meluhurkan piagam atau perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang untuk memastikan wujudnya keadilan agar negara dilimpahi dengan rahmat keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan daripada Allah, titah baginda pada majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Ipoh, hari ini.
Sultan Nazrin bertitah Rasulullah SAW menunjukkan contoh teladan pentadbiran negara Islam yang pertama di dunia di Madinah, yang menjunjung prinsip pemerintahan berpaksikan undang-undang yang bersumberkan Al-Quran.
Baginda bertitah negara Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW mengutamakan keadilan kerana ia adalah faktor yang akan menentukan rasa hormat dan penerimaan rakyat kepada pemimpin.
"Sifat adil yang diamalkan oleh Rasulullah SAW tidak hanya dinikmati oleh umat Islam malah keadilan dipastikan turut dinikmati oleh bukan Islam.
Bukan Islam turut dijamin perlindungan keselamatan, dijamin kebebasan menganut agama, dijamin boleh mengamalkan budaya masing-masing, dijamin hak untuk melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dan usaha-usaha pembangunan sosial," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah Perlembagaan Madinah menetapkan bahawa setiap insan tanpa mengira pegangan agama, tanpa mengira amalan budaya dijamin hak asasi masing-masing.
Baginda bertitah menggubal sesuatu piagam atau perlembagaan adalah satu permulaan namun apa yang lebih penting adalah kesediaan rakyat menerima pakai piagam yang digubal.
"Piagam yang diterima pakai pula, perlu dipastikan memberi kesan dan memenuhi matlamat penggubalannya, terus dihormati dan terus diyakini untuk terus didukung sepanjang masa.
Oleh itu pada peringkat menggubal sesuatu perjanjian mahupun dasar, amatlah penting diamalkan sifat inklusif, dipastikan adanya partisipasi yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak, mewakili pelbagai konstituen, terutama ketika menangani isu-isu sensitif, isu-isu kontroversi dan isu-isu yang menyentuh pendirian yang bercanggah," titah baginda.
Sultan Nazrin juga bertitah Islam membenarkan umatnya bersuara, bersifat kritikal dan mereka diseru untuk memiliki keberanian menegakkan kebenaran dan ketegasan mempertahankan keadilan.
"Umat Islam diseru memenuhi tanggungjawab moral, menggunakan daya intelek kurniaan Ilahi untuk mencetuskan cadangan dan pandangan demi kebaikan dan kesejahteraan ummah.
Islam membenarkan kebebasan bersuara tetapi kebebasan tersebut wajib dikembarkan dengan tanggungjawab," titah baginda.
Baginda bertitah Islam menegaskan pentingnya diamalkan budaya syura dalam sistem pentadbiran untuk membolehkan pandangan dan pendapat disuarakan.
Islam juga menganjurkan kesediaan mendengar dan menganalisis secara rasional hujah dan pendirian yang berbeza untuk membolehkan keputusan yang dirumuskan dicapai secara kolektif.
Baginda bertitah Islam menegaskan pemerintahan wajib bersandarkan undang-undang dan pemimpin tidak memiliki sebarang keistimewaan mahupun kekebalan untuk berada di atas undang-undang.
"Pemimpin yang menghayati roh Islam akan mengasaskan pemerintahan berteraskan kebenaran – bertiangkan keadilan," titah baginda.
The Malaysia Insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.