Monday, January 5, 2015

Jet PM pulang selepas perjalanan keliling dunia

 
Selepas perjalanan mengelilingi dunia, jet VIP kerajaan yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama, akhirnya telah pulang ke Malaysia.

Pesawat Airbus A319CJ dengan nombor pendaftaran 9M-NAA mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 10.20 malam tadi, demikian menurut sistem pengesanan penerbangan, Flightradar24, selepas berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok Don Mueang sejak hari Jumaat.

Ia kemudian berlepas lagi 35 minit kemudian menuju ke Lapangan Terbang Subang di mana ia biasanya disimpan.

Menurut Bernama, Najib telah menemui rakan sejawatannya dari Thailand Prayuth Chan-ocha di Bangkok pada 2 Januari, selepas menghabiskan beberapa hari sebelumnya meninjau kawasan yang dilanda banjir di seluruh Malaysia.

PM dijadual menghadiri satu majlis di pejabatnya di Putrajaya pagi ini, tetapi ia sebaliknya dihadiri oleh oleh Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, pesawat itu berlepas dari Subang ke Honolulu, Hawaii pada 20 Disember tahun lalu di mana Najib bercuti dengan keluarganya dan bermain golf dengan Obama.

Percutian itu telah dipendekkan apabila Najib pulang pada 27 Disember ekoran keadaan banjir yang semakin buruk di negara ini, dan tiba di Kota Bharu dengan jet lain.

Sejak 26 Disember bagaimanapun, pesawat Airbus itu berlepas tanpa Najib ke Los Angeles, Indianapolis, kembali ke Los Angeles, New York, London, Dubai, dan akhirnya Bangkok.

Kebanyakan perhentian ini mengambil masa tidak lebih daripada beberapa jam, kecuali di Indianapolis - selama enam hari - dari 26 Disember sehingga 31 Disember.

Ia tidak jelas siapakah yang telah menggunakan jet itu sehingga tiba di Bangkok atau untuk tujuan apa. Bagaimanapun, Indianapolis juga merupakan tempat syarikat Comlux Aviation berpangkalan.

Syarikat itu telah mengubahsuai pesawat itu sebelum ini dan dilaporkan mempunyai kontrak perkhidmatan dan penyelenggaraan selama enam tahun untuk pesawat itu sejak 2013.

Pejabat perdana menteri dan Comlux masih belum memberi respons terhadap pertanyaan Malaysiakini pada 2 Januari yang ingin mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.
 
 
Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.