Friday, January 30, 2015

Jangan bingungkan fikiran dengan politik

Empat hari saya meninggalkan laman blog tanpa mengisinya dengan sebarang catatan kerana berada di luar negara, ada beberapa penjengok setia menghantar pesan bertanya kenapa dan apa jadi dengan saya. Ada yang bersinikal apakah saya juga sudah jadi persis Zainuddin Maidin?

Yang pertama ada dalam fikiran mereka, apakah saya sakit. Tidak, saya masih sihat dan sengaja tidak mahu mengisinya atau cuba mengisinya dari luar sana walaupun boleh berbuat demikian. Sesekali biarlah saya merihat dan menggamit idea yang lebih baik daripada menulis bahan-bahan terisi sebelumnya.


Dalam beberapa pertanyaan yang ditimbulkan, banyaknya pastilah mengenai politik. Mengenai hubungan dam masa depan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, khasnya bagaimana kesudahan hubungan Pas dengan DAP. 


Pergaduhan mulut antara beberapa pemimpin Pas dengan DAP menjadikan ada orang bingung dan menjadi gila. 

Selebihnya ada yang mahu saya memberi ulasan tentang nasib untung Anwar Ibrahim dengan keputusan rayuan pendakwa di Mahkamah Persekutuan. Apakah Anwar akan "bernasyib" sekali lagi dalam penjara atau dibebaskan untuk beliau menjadi seperti seorang bayi untuk kali kedua? 

Sekiranya Anwar dibebaskan di atas pertuduhan sama kali kedua, beliau bolehlah dianggap sebagai manusia keramat. Dan dengan kekeramatan itu melayak dan mewajarkan untuk beliau menjadi perdana menteri.

Mengenai Anwar saya sudah membuat ulasan dan ramalan sebelum ini. Berdasar kepada keperluan politik tidak ada sebab untuk regim Najib Razak memenjarakannya. 


Perkembangan terakhir ini, serangan oleh regim Mahathir Mohamad kepada Najib bagi saya ia mengukuhkan untuk mengatakan ramalan saya mengenai Anwar kuat dan menjadi kenyataannya. Anwar akan bebas?

Dan bagaimana kalau Anwar tetap juga dipenjara. Siapakah yang akan menjadi pemegang panji Pakatan Rakyat atau peta Pakatan Rakyat yang membingkai membentuk empayat akan runtuh begitu sahaja? 


Pakatan Rakyat selepas ini tidak ada. Tentunya persoalan dan ramalan ini diandaikan memandangkan Anwar adalah mediator licit dan bijak mendempetkan Pas dan DAP yang memegang unsur bagaikan api dengan minyak.

Ada juga yang bertanya bagaimana nasib Pakatan Rakyat sekiranya Anwar ke penjara. Mereka yang meletakkan kompas dan mata angin perjuangan mereka kepada Anwar, merasakan Pakatan Rakyat akan luyur sekiranya Anwar berada dalam penjara. Bagi mereka yang menjadikan Anwar sebagai teras perjuangan atau pengobor semangat akan lemah bila Anwar dikurung.

 
Sebaliknya bagi mereka yang menjadikan Anwar sebagai pembuka semangat (appetizer) dalam perjuangan, tidak kisah Anwar ada atau tidak perjuangan mereka yang bertolak dari reformasi menuntut keadilan, kebenaran dan ketelusan akan diteruskan. 


Perjuangan mengeakkan keadilan tidak berasas dan bersendiri kepada peribadi seseorang tetapi keyakinan dan iltizam seseorang. Kalau umat Islam berjuang menegakkan agama (ad-den) kerana berteraskan kepada Muhammad, sudah lama Islam itu lenyak kerana Muhammad sudah lama mati.

Rentetan dari itu semua ada yang bertanya apakah perkembangan politik hari ini dimana ia seolah dirancang, merealisasikan pertemuan dan kerjasama politik antara Pas dengan Umno? 


Mengenai saya boleh mengatakan cita-cita dan harapan boleh digarap bersama, tetapi politik (strategi) tidak boleh digabung. Politik adalah peperangan, ia adalah api, lautan dan gunung ganang yang rohok untuk disatu dan dipadukan.

Pas dengan Umno hanya boleh disatukan diatas kertas dan wujud daripada pemikiran yang idealis, tetapi sukar untuk menjelma menjadi realiti yang praktis. 


Ketam boleh dimasukan dalam satu bakul dijunjung dan dipikul tetapi makhluk dalam bakul itu tetap akan bercakaran dalam bekas itu akhirnya menganggui si pemikul bakul. Kita semua adalah si pemikul bakul itu akan melakukan kerja yang sia-sia untuk melihat kerja kita sampai.

Melainkan ketam-ketam itu, Pas dan Umno dimatikan kemudian dihidupkan semula dalam alam baru. Sekian. [wm.kl.9:52 am 30/01

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.