Thursday, January 29, 2015

Dalam Bulan Ini, Polis Kantoi 2 Kali..

 
Koroner hari ini memutuskan anggota polis dan banduan bertanggungjawab terhadap kematian seorang penganggur semasa dia ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin di Negeri Sembilan, dua tahun lalu.

Koroner Datuk Jagjit Singh berkata, punca kematian P Karuna Nithi disebabkan 49 kecederaan berganda objek tumpul termasuk serangan fizikal, penderaan dan tindakan menyalahi undang-undang individu tidak dikenali, termasuk pegawai polis dan tahanan lain di mana Karuna Nithi ditahan.
P Karuna Nithi 
Jagjit, yang merupakan seorang hakim Mahkamah Sesyen di Seremban berkata, dalam keputusan terdapat kegagalan atau kelalaian bagi memberi rawatan perubatan dan perhatian yang diperlukan Karuna Nithi.

"Terdapat juga kegagalan pegawai-pegawai polis untuk menghentikan tahanan lain daripada mendera Karuna Nithi dalam lokap polis."

Ini adalah keputusan kedua dalam bulan ini di mana pihak polis didapati bertanggungjawab ke atas kematian tahanan semasa dalam tahanan.

Pada 16 Januari, koroner Ahmad Bache memutuskan polis bertanggungjawab ke atas kematian pemandu lori P. Chandran melalui kelalaian mereka untuk memberikan bantuan perubatan yang tepat pada masanya.

Chandran ditahan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 6 September 2012 dan berada dalam tahanan selama empat hari sebelum meninggal dunia.

Jagjit berkata setelah meneliti semua bukti, beliau berpuas hati punca kematian Karuna Nithi adalah disebabkan gabungan tindakan menyalahi undang-undang dan kelalaian satu individu atau beberapa individu yang tidak diketahui.

"Mangsa adalah seorang dewasa yang sihat tanpa penyakit yang mengancam nyawa apabila dimasukkan ke dalam lokap tetapi akhirnya mati tiga hari kemudian dengan 49 kecederaan luaran," katanya.

Beliau berkata kematian tahanan dengan jumlah kecederaan itu harus menjadi petanda amaran.

Jagjit berkata beliau menolak keterangan pakar patologi forensik Dr Sharifah Safoorah Syed Alwee selepas pemeriksaan yang banyak kelemahan dalam keterangannya.

"Beliau tersilap mendapati punca kematian adalah disebabkan 'perubahan lemak di dalam hati. Tetapi ia tidak boleh menjadi begitu apabila si mati mempunyai 49 kecederaan luaran, "katanya.

Jagjit berkata footages televisyen litar tertutup dari balai polis itu dengan jelas mendedahkan Karuna Nithi dipukul tahanan lain dan polis yang bertugas turut menyembunyikan apa yang berlaku.

Beliau berkata beberapa anggota polis juga menyumbang turut memukul, mengganggu dan membuli berdasarkan bukti daripada CCTV.

Jagjit mengakui Karuna Nithi adalah seorang tahanan yang sukar dikawal, sambil menambah "tetapi tiada sebab bertindak kejam kepadanya".

"Dia berulang kali dipindahkan dari satu sel ke sel yang lain kerana dia mengalami halusinasi, meracau dan mengamuk," katanya.

Hakim itu berkata seorang anggota polis juga memberi keterangan yang kebajikan Karuna Nithi diabaikan kerana ia dianggap berpura-pura sakit semasa dalam lokap.

Karuna Nithi, 42, ditemui tidak sedarkan diri di dalam sel oleh seorang anggota polis yang memeriksa pada kira-kira 6 petang pada 1 Jun, 2013.

Dia dikejarkan ke hospital daerah tetapi disahkan mati sebaik sahaja tiba.

Polis menahannya pada pukul 5.30 petang 28 Mei selepas isterinya membuat laporan dia menyerangnya berikutan pertengkaran di rumah mereka di Rumah Rakyat Taman Muhibbah di Gemencheh.

Karuna Nithi juga membuat satu laporan awal pada hari itu mengakui menyerang isterinya kerana tidak dapat menerima leterannya.

Dia dibawa ke Mahkamah Majistret Tampin pada pagi berikut di mana perintah tahanan reman empat hari dikeluarkan.

Pada 31 Mei, dia didakwa menyebabkan kecederaan dan dibenarkan diikat jamin RM4,000 tetapi dibawa balik ke dalam lokap kerana keluarga tidak dapat menjamin mengikut jumlah yang ditetapkan.

Polis mengekalkan tiada penderaan fizikal terlibat dalam kematiannya walaupun ahli keluarga mendakwa terdapat kecederaan baru pada tubuhnya.

Peguam Eric Paulsen, yang mewakili keluarga Karuna Nithi, berkata ini merupakan satu lagi keputusan yang perlu diambil perhatian serius oleh pihak berkuasa.

"Hakim mengulangi Mahkamah Rayuan memerintah tahun lalu yang tidak ada seorang pun yang patut mati dalam lokap polis. Ini juga kemenangan kecil untuk hak asasi manusia," kata Eric, yang juga pengarah eksekutif Lawyers for Liberty.

Beliau berkata Dr Sharifah sepatutnya "bercakap bagi pihak orang yang mati" tetapi penemuan beliau tidak adil.

Peguam bersama Dr Dheeraj Bhar, yang merupakan seorang doktor perubatan berkata, penolakan bukti Dr Sharifah mempunyai kaitan dengan kredibiliti beliau sebagai seorang profesional.

"Saya berharap Majlis Perubatan Malaysia akan melihat perkara ini berdasarkan apa yang hakim simpulkan," katanya. ~malaysian insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.