Thursday, January 29, 2015

Apa Ertinya "Pembunuhan Biasa" Wahai Razak Baginda, Kenapa Kamu Lari ke Luarnegara?



Kematian Altantuya ‘hanya kes pembunuhan biasa’, kata Razak Baginda

Sembilan tahun berlalu, penganalisis politik Abdul Razak Baginda masih tidak tahu motif pembunuhan kekasihnya Altantuya Shaariibuu, tetapi sedia maklum ramai yang mati tanpa sebarang penjelasan kukuh semasa dalam tahanan polis.

Razak dibebaskan daripada bersubahat dengan pembunuhan itu pada tahun 2006 tetapi dua komando polis didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan selepas rayuan terakhir bulan ini.

"Hanya dua anggota polis itu sahaja yang tahu. Polis yang penyangak memang bunuh orang, seperti dalam kebanyakan kes reman," Razak memberitahu The Malaysian Insider ketika ditanya pendapatnya terhadap motif pembunuhan itu.

Mereka ialah Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, bekas kakitangan Unit Tindakan Khas (UTK). Namun, motif pembunuhan itu tidak dapat dipastikan. Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun, memutuskan keterangan mengikut keadaan sudah cukup untuk menghukum kedua-duanya ke tali gantung.

Azilah sedang berhadapan hukuman mati manakala Sirul melarikan diri ke Australia. Pihak berkuasa Malaysia memohon agar dia diekstradisikan.

Bercakap kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, Razak berkata spekulasi mengenai kes itu sudah sampai ke tahap tidak masuk akal.

"Keadaan ini sudah menjadi agak tidak masuk akal dari segi spekulasi. Spekulasinya lebih kurang sama seperti sebelum ini tetapi kini, lebih berbelit kerana kita sampai ke penghujung proses undang-undang yang panjang.

"Ia jadi berbelit-belit kerana Sirul melarikan diri dan pergi ke Australia," kata Razak, sambil menambah beliau bersedia untuk bercakap sekarang kerana dari sudut undang-undang, kes jenayah itu sudah berakhir.

Beliau juga menyentuh laporan mengenai luahan hati ibu Sirul Azhar, mengatakan anaknya diperangkap.

"Apa lagi yang kita nak jangkakan keluar dari mulut ibunya?" katanya.

Razak merujuk laporan anak Sirul Azhar tiba-tiba muncul menulis di laman Facebook, mengatakan dia berada di Australia bersama ayahnya.

Pengguna Facebook yang menggelar dirinya Shuk Sz itu mendakwa sebagai anak Sirul Azhar yang berusia 19 tahun.

Dalam postingnya, Shuk Sz berkata Sirul dipanggil memberi kenyataan tetapi tidak menyebut pihak berkuasa mana yang memanggilnya. Beliau berkata jika kenyataan itu boleh mencemar reputasi Malaysia.

"Kita malah tidak tahu kesahihan akaun Facebook itu, tetapi ia mendapat liputan. Tiada siapa yang terfikir untuk memeriksanya?

"Jika anda hanya menganggap ini sebagai pembunuhan dan tidak mempolitikkannya, maka ia hanya satu kes pembunuhan semata-mata," katanya.

Razak bertegas dua anggota polis itu bertindak menurut kemahuan mereka sendiri ketika melakukan pembunuhan itu, sambil menambah, "ini yang diputuskan mahkamah".

"Akhirnya, prosiding mahkamah begitu telus, beberapa peguam pembelaan terbaik turut terlibat, termasuk mendiang Karpal Singh. Hakim sangat liberal, memberi peluang kepada semua orang untuk bertanya soalan."

Beliau mempersoalkan dakwaan konspirasi dalam kes ini walaupun tiada bukti menyokongnya.

"Masih ada orang di luar sana yang yakin polis tidak boleh melakukan ini tanpa arahan.

"Berapa ramai orang yang mati dalam tahanan reman? Kiraan terakhir ialah 156 pada tahun 2008 dan angka itu semakin bertambah. Jadi, siapa yang mengarahkannya?"

Keterangan dalam mahkamah mendedahkan wanita Mongolia itu dibunuh sama ada dengan bahan letupan C4 atau dibunuh terlebih dahulu dan mayatnya dihapuskan pada 18 Oktober 2006, di pinggir bandar Shah Alam, berhampiran ibu kota Kuala Lumpur.

Semasa perbicaraan, Razak yang juga rapat dengan Datuk Seri Najib Razak, mendapatkan pertolongan Timbalan Superintenden Musa Safri kerana tidak tahan dengan gangguan daripada Altantuya.

Musa pada masa itu merupakan pembantu peribadi Najib, yang ketika itu timbalan perdana menteri.

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas Azilah dan Sirul selepas perbicaraan berterusan selama 159 hari.

Pada 23 Ogos, 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membebaskan dua anggota polis itu kerana kekurangan bukti.

Malah, Hakim Tengku Maimun Tengku Mat, yang membacakan keputusan berkata, mereka sepatutnya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Hakim memutuskan kegagalan memanggil Musa adalah punca kekalahan kes pendakwaan itu.

Tengku Maimun mengingatkan episod buruk dan dahsyat itu bermula dengan permintaan Razak kepada Musa sebelum Azilah dan Sirul dilibatkan.

Pihak pendakwaan berkata tidak perlu memanggil Musa sebagai saksi kerana beliau hanya seorang sampingan dalam kes itu, dan afidavit Razak yang menyokong permohonan ikat jaminnya mendedahkan peranan pegawai kanan polis itu terhad kepada memperkenalkan beliau (Razak) kepada ketua polis Brickfields.

Malah Sirul, yang memberi kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh, berkata Musa tidak terlibat dan tidak memberi sebarang arahan.

Sirul juga merayu hakim agar tidak dikenakan hukuman mati itu.

"Saya kambing hitam yang harus dikorbankan untuk melindungi orang-orang yang tidak dinamakan," katanya.

Azilah memberi notis alibi kepada pihak pendakwa mengatakan beliau tidak berada di lokasi kejadian jenayah, dan mengemukakan salinan diari stesen menunjukkan beliau berada di Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman pada masa kejadian.

Penghakiman menegaskan Azilah dan Sirul dikesan di hotel di mana Altantuya tinggal dan kedua-dua berada di luar rumah Razak pada malam dia hilang.

Mahkamah juga menerima keterangan maklumat yang membawa kepada penemuan apabila mereka secara sukarela membawa polis ke tempat kejadian yang terpencil itu.

Tambahan pula, Sirul tidak dapat memberi penjelasan berkenaan selipar berlumuran darah yang ditemui di dalam keretanya dan penemuan barang kemas di rumahnya.

Berikut sebahagian petikan wawancara Razak dengan TMI :

TMI: Kenapa anda bersuara sekarang?

Razak: Masalahnya ialah, keadaan sudah menjadi sangat tidak masuk akal. Ya Tuhan, orang pusing dan putar belit cerita. Sekarang tiba-tiba anaknya muncul (anak Sirul Azhar) dan terbaharu yang saya dengar, ibunya kata dia diperangkap. Apa lagi yang kita nak jangkakan keluar dari mulut ibunya? Lebih kurang spekulasi yang sama, tetapi sekarang lebih berbelit kerana kita sudah hampir sampai ke penghujung proses. Semua spekulasi yang dibuat sudah tentu membuatkan saya lebih marah. Dari sudut undang-undang, kes jenayah kini sudah berakhir dan itulah sebabnya saya bercakap sekarang.

Boleh anda kongsikan pengalaman anda di penjara?

Tiada siapa nak masuk penjara. Saya dengar orang cakap, "Saya tak peduli, saya nak masuk penjara". Jangan cakap macam tu sebab anda tak pernah cuba. Saya sangat kecewa, kerana saya tidak bersalah. Saya terus-terusan menyoal diri, apa saya buat di sini? Satu lagi kekecewaan ialah, kes mahkamah yang berlarutan. Saya benci cuti umum kerana cuti umum bermakna kes itu akan ditangguhkan lagi. Ia satu pengalaman yang dahsyat.

Semasa anda di sana, adakah Azilah dan Sirul dalam kompleks penjara yang sama? Anda nampak mereka?

Sudah tentu mereka (pihak berkuasa penjara) pisahkan kami. Saya tidak pernah melihat mereka. Hanya nampak mereka apabila kami berada di mahkamah. Sebenarnya, saya tidak pernah bertemu mereka sehingga tiga atau empat bulan selepas saya berada di penjara. Hanya bertemu mereka pada hari pertama perbicaraan.

Ini bukan kes pembunuhan biasa.

Ya, kerana ada banyak putar belit. Kalau anda hanya anggap ini sebagai satu pembunuhan dan tidak mempolitikkannya, ia hanya satu kes bunuh biasa. Akibat keakraban saya dengan Najib, orang-orang yang mahu membunuh Najib (dari segi politik) pada masa itu, melihatnya sebagai peluang keemasan menggunakan keadaan itu terhadapnya. Jika saya tiada sebarang kaitan dengan Najib, walaupun saya seorang penganalisis politik, perkara ini akan reda.

Ada "herd mentality" (sikap menurut) di kalangan rakyat Malaysia. Dari awal lagi, satu gambaran dicipta. Ini sudut pandang yang perlu diambil, dan semua orang turut serta mengambil pandangan yang sama. Saya cabar anda jadi lebih kreatif sedikit dan lihat gambaran yang lebih luas.

Jika anda bercakap mengenai konspirasi polis, tidak mustahil ada konspirasi lain juga berlaku. Kebenaran dalam kes ini ialah satu perkara yang terlalu amat membosankan. Ia hanya kes jenayah bunuh biasa, tetapi masih terdapat mereka yang yakin polis tidak boleh melakukan ini tanpa arahan. Berapa ramai orang yang mati dalam tahanan reman? Kiraan kali terakhir ialah 156 pada 2008, dan angka semakin bertambah. Jadi, siapa yang arahkan semua ini?

Maksud anda, kedua-dua mereka bertindak atas kemahuan mereka sendiri?


Ya, seperti yang diputuskan mahkamah. Kerana, akhirnya, prosiding mahkamah begitu telus, beberapa peguam pertahanan terbaik turut terlibat, termasuk Karpal Singh. Hakim sangat liberal, memberi peluang kepada semua orang untuk bertanya soalan. Anda boleh kata apa saja tentang sistem kita, tapi ia sangat telus.

Saya sangat kecewa kerana ada begitu banyak penangguhan ketika kes itu. Apa masalahnya jika mereka (Azilah dan Sirul) bertindak sendiri? Lihatlah kes MH370, ada konspirasi? Buktikan. Tiada siapa dapat berikan bukti. Perkara itu boleh terjadi. (Seperti) Segitiga Bermuda.

Ada sesetengah perkara yang tidak dapat dijelaskan. Kenapa tidak dengan kes ini? Mereka bertindak sendiri. Mengapa tak boleh? Mengapa? Kerana rakyat Malaysia disogokkan dengan idea sejak hari pertama yang inilah ceritanya. Inilah cerita yang diputarkan. Semua orang, tanpa berfikir, terus mengambil dan menerima pandangan yang sama dan terus-terusan begitu.

Ada sekali anda menimbulkan kekecohan apabila sesuatu diperkatakan dan isteri anda jua menjerit, "Lihat sini, dia tak mahu jadi PM." Apa cerita di sebalik kejadian itu?

Sangat kelakar. Betul. Kalau anda di penjara, dan anda kata, saya nak selesaikan kes ini, dan kemudian ada orang beritahu anda, kes ini ditangguhkan hingga dua minggu akan datang. Saya marah sangat kerana pada pandangan saya keseluruhan sistem ini sengaja dipanjangkan.

Perbicaraan ini merupakan yang paling disensasikan dalam sejarah Malaysia. Botak Chin pun tak dapat liputan sebegini. Saya masih simpan semua keratan akhbar. Memang menakjubkan melihat liputan media yang saya terima.

Anda pun tahu... pengarang berita juga terlibat. Kalau saya punya surat khabar sendiri, saya hanya perlu kata, "jangan mainkan cerita ini". Tapi, ada orang cuba siram minyak kat api. Sudah tentu saya kecewa. Saya dalam penjara, fikirlah... Dan semua orang sibuk spekulasi itu dan ini.

Jadi, kekecohan itu hanya kerana perbicaraan kes ditangguhkan?

Ya, sebab, kalau anda tengok tarikhnya, ada dua minggu penangguhan. Anda pun tahu bagaimana keadaannya apabila kes ditangguhkan, anda balik ke penjara, anda tak boleh jumpa keluarga. Ayah saya bisik kepada saya yang kes itu akan ditangguhkan, saya marah sangat.

Ceritakan hubungan anda dengan Bala (penyiasat persendirian P Balasubramaniam).

Hubungan yang menarik. Dua kali saya berhubung dengannya. Pertama, ketika Altantuya datang ke Malaysia buat kali pertama, selepas peras ugut, dia nak jumpa saya. Saya sedar saya perlukan satu bentuk perlindungan. Saya bertanya sekeliling dan ada seseorang mencadangkan Bala.

Arahan dia senang saja - ikut saya, tunggu di bawah, kalau dia (Altantuya) datang, beritahu saya. Dan ketika itu saya hanya mahu mengelak dari berjumpa dengannya. Saya tak mahu berdepan dengannya. Saya tahu apa isunya, dia hendak duit dari saya.

Saya sebenarnya jumpa dia sekali, sebelum saya jumpa Bala.

Ceritanya begini, dia datang. Saya beritahu dia, "Buatlah apa awak nak." Harap anda tak akan kena peras ugut. Kalau anda tengok semua kes peras ugut, sekali anda menyerah diri bila diperas ugut, susahlah. Peras ugut tidak akan berakhir apabila anda kata, "Anda hendak peras ugut saya? Saya tak peduli." Kemudian, habislah.

Apa dia nak buat? Dalam kes saya, saya serah diri pada awalnya, tapi kemudian saya kata, tidak lagi. Masa itulah dia (Altantuya) mula datang. Saya kata saya tak mahu beri duit lagi. Dia jadi sangat marah.

Apa yang dia peras ugut anda?


Ia sesuatu yang peribadi, hubungan itu... Ia sesuatu yang sangat peribadi.

Bagaimana dengan tuduhan komisyen AS$500,000 (dari perjanjian kapal selam)?

Mana datangnya cerita itu? Inilah masalahnya. Orang sekarang ini semuanya malas, wartawan dan semua orang malas. Mereka tak periksa sumber. Tengok dari mana datangnya AS$500,000 itu.

Ia disebut dalam akuan bersumpah pertama Bala.

Ok, sesiapa pun boleh kata begitu. Dari mana datangnya perkara itu? Jujur cakap, AS$500,000 itu perkara baharu bagi saya. Saya tak tahu tentang itu. Dia (Altantuya) peras ugut saya minta AS$5,000, AS$8,000. Sebab itu saya ikutkan.

Tiada yuran untuk khidmatnya sebagai penterjemah?

Yuran penterjemahan apa? Cerita dia sebagai penterjemah itu hanya jenaka. Dia tak boleh pun bertutur bahasa Perancis. Kita semua mangsa satu percaturan politik. Dan kita semua pun peraya. Sejak awal, semuanya satu naratif – pembunuhan, Najib, Razak dan perjanjian kapal selam.

Naratif ini disogokkan kepada rakyat Malaysia sejak hari pertama dan semua orang seperti sekawan kerbau, ikut saja.

Cuba periksa, bolehkah dia bercakap dalam bahasa Perancis? Tiada seorang pun warga Perancis yang terlibat dalam urusan jual beli kapal selam jumpa dia atau kenal dia. Orang Perancis semuanya canggih. Mereka bertutur bahasa Inggeris dengan baik. Tiada siapa persoalkan. Kenapa perlu ada penterjemah bahasa Perancis yang berbangsa Mongolia?

Cuba fikir. Kalau saya hendak seorang penterjemah, sudah tentu saya ambil seorang berbangsa Perancis, atau warga Britain. Kenapa saya nak ambil seorang warga Mongolia?

Pernahkah dia pergi ke Perancis, tinggal di sana dan belajar bahasa itu? Dan semua orang percaya sahaja yang dia seorang penterjemah bahasa Perancis dan dia dibayar untuk itu. Tiada siapa yang persoalkan perkara itu.

Dalam akuan bersumpah pertama Bala, ada satu lagi tuduhan, iaitu Najib yang memperkenalkan Altantuya kepada anda.

Itu sebahagian dari naratif itu. Saya sudah katakan beratus kali, saya tak tahu nak cakap macam mana lagi. Najib tak pernah kenal perempuan itu. Najib tidak bersalah. Kalau anda semua rasa ada kaitan antara mereka, mana buktinya? Jangan lupa yang dalam keadaan macam ini, ramai orang ambil kesempatan. Kita dah selalu sangat tengok perkara ini.

Bagaimana anda mengenali Altantuya?


Kalau saya kenal Najib, tak bermakna dia tahu semua tentang saya. Tetapi, kesimpulan dibuat, dia (Najib) tahu semua yang saya buat. Itu satu kesimpulan yang salah.

Saya katakan dalam afidavit saya, dan itulah kebenarannya. Kebenaran itu menyakitkan keluarga saya, dan ada perdebatan di kalangan pasukan guaman saya sama ada saya patut masukkan perkara itu atau tidak. Saya sudah beritahu bagaimana saya jumpa dia. Semuanya ada di sana (dalam afidavit).

Jadi, anda mengatakan isi kandungan akuan bersumpah Bala yang pertama itu mengarut?

Semuanya mengarut. Termasuk juga tuduhan seks luar tabii. Semua mengarut. Semua orang anggap akuan bersumpah itu betul. Tambahan pula, dalam akuan bersumpah itu, Bala kata: “ada orang beritahu saya” atau “saya beritahu dia”. Semua itu cakap-cakap orang sahaja.

Siapa di belakang semua ini?

Drakula, pontianak, serigala jadian, siapa saja lah. Watak kesukaan saya selalunya Drakula.

Tujuan utamanya ialah hendak mengenakan Najib?

Ya, sudah tentu.

Dan anda juga menjadi mangsa?

Tidak, saya tak boleh kata saya mangsa. Ada pembunuhan berlaku, dan disebabkan saya mempunyai kaitan dengan keseluruhan perkara itu, dan ceritanya sangat menarik untuk dilepaskan begitu saja.

Di luar sana ada ramai orang yang mengambil kesempatan. Dan jangan lupa. Najib ketika itu timbalan perdana menteri (TPM), dan di negara kita ini, TPM cuma selangkah sebelum menjadi PM. Semua orang tahu beliau berpotensi menjadi PM.

Adakah anda masih rapat dengan Najib sekarang?

Tidak. Tapi pentingkah perkara itu? Keadaan sudah menjadi sangat tidak masuk akal, kalau saya minum teh dengan Najib, semua orang akan kata "Ya Tuhan..." Jadi, kita kena mara ke hadapan teruskan kehidupan.

Adakah anda rasa rakyat Malaysia akan mara ke hadapan? Hantu Altantuya akan berakhir di sini?


Tidak. Kerana ada ramai pihak berkepentingan di luar sana. Kerana, ini satu percaturan politik. Kita semua mangsa permainan politik ini. Anda tahu ada berapa ramai hantu di luar sana? Orang tidak peduli sebab semua mereka tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Tetapi yang ini, orang peduli, kerana ia bermotifkan politik. Itu saja.

Anda dibebaskan pada 31 Oktober, 2008. Sejak itu, isu Altantuya ini digunakan untuk menentang Najib. Kenapa anda tidak bersuara lebih awal, katakan contohnya, okay, cukup-cukuplah?

Yang menjadi kebimbangan peguam saya, sangat jelas. Selagi saya terlibat dalam perbicaraan, dan kes ini belum selesai, anda tidak akan mahu berkata apa-apa sehingga keseluruhan proses selesai.

Tetapi Najib tidak dibicarakan. Dan anda dibebaskan. Jadi, apa masalahnya?

Saya adakan sidang media (selepas dibebaskan). Kenyataan dikeluarkan. Yang mengecewakan, pihak akhbar tidak bertanya semua soalan itu. Mereka hanya tanya tentang naratif itu. Mereka tak tanya soalan penting yang lain.

Anda tidak rasa selepas itu anda perlu lakukan sesuatu yang wajar dan katakan, cukup semua ini?

Terdapat perdebatan hangat selepas saya dibebaskan, dan keputusannya ialah, biar saya keluarkan satu kenyataan. Dan bukan hanya kenyataan, diikuti sesi soal jawab.

Tetapi, enam tujuh tahun kemudian, perkara yang sama ditimbulkan. Setiap kali saya bercakap dengan peguam saya, mereka kata elok saya tidak kata apa-apa. "Anda sudah cakap apa yang anda hendak cakap… tiada apa lagi yang baru. Tunggu dulu… hingga keseluruhan proses selesai."

Dan itu sebabnya kenapa saya rasa saya perlu bercakap sekarang, memandangkan kes ini akhirnya sudah selesai.

Tetapi saya masih lihat banyak benda yang mengarut. Jadi, saya kata kepada diri sendiri, biar saya cuba (terangkan) sekali lagi.

Mereka kata Najib tidak pernah menafikan (mengenali Altantuya). Tak betul. Beliau banyak kali menafikan. Orang macam Najib pun, sampai satu masa dia akan kata, "apa saya nak buat lagi."

Najib sekarang diserang. Dan anda tampil mengatakan Najib tidak bersalah. Beliau tidak terlibat sejak dari mula. Kenapa sekarang?

Saya harap fokusnya ialah ke atas saya, bukan Najib. Ini kisah saya. Kasihan dia (Najib). Jujur saya katakan, saya tidak dapat luahkan dengan kata-kata perasaan saya tentang bagaimana beliau yang jadi mangsa.

Tetapi anda tidak jelaskan bagaimana anda menjadi mangsa?

Terus terang, saya seorang yang “private” (mempunyai kehidupan peribadi sendiri). Saya tiada cita-cita politik. Saya tak peduli semua itu sebenarnya.

Tetapi anda terpaksa meringkuk di dalam penjara selama 22 bulan.

Ya, tetapi begitulah sistemnya. Apa boleh saya buat. Kami cuba apa saja yang boleh untuk mendapatkan ikat jamin tetapi tidak berjaya.

Kalau dikenang semula apa yang terjadi, apa yang berbeza yang mungkin anda lakukan?

Jujur saya katakan kepada anda, saya sepatutnya dapatkan pasukan guaman yang terbaik dan saman semua orang yang sesuka hati bercakap sesuatu yang mereka tiada bukti. Itu yang saya sepatutnya lakukan, itu yang saya kesalkan. -TMI

ULASAN GB

Pandailah cakap bila Mahkamah Persekutuan sudah buat keputusan memutuskan dua orang anggota polis itu yang membunuh Altantuya.

Razak Baginda menyatakan pembunuhan Altantuya adalah pembunuhan biasa. Apa ertinya itu? Ada pembunuhan luarbiasa? pem bunuhan tetap pembunuhan. Yang berbeza ialah membunuh dengan sengaja atau membunuh dengan tidak snegaja. Tidak ada kategori pembun uhan biasa dna pembunuhan luarbiasa. Bunuh guna bom C4 anda kategorikan pembunuhan biasa?

Kedua, mengapa anda cabut lari dan tinggal diluarnegara? Mengapa takut? Bukankah berani kerana benar takut kerana salah?

Kini anda menyatakan kedua polis itu sebagai penyangak yang membunuh Altantuya. Apa faedahnya mereka mengambil tindakan nekad sedemikian jika tiada sebarang arahan pihak tertentu?

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Kita berdoa agar Allah s.w.t. mendedahkan hal yang sebenarnya.

Kit6a dengar komen-komen orangramai menegenai perkara di atas:




Kelab Greenboc

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.