Tuesday, January 13, 2015

Ada Kah Presiden PAS Akan Tentang Bulan Jun Ini ?

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengambil jalan selamat dengan enggan membuka mulut apabila beliau sekali lagi dikhabarkan bakal menentang Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden parti itu.
Walaupun diasak dengan pelbagai soalan berhubung wujudnya usaha untuk menggulingkan Hadi pada pemilihan parti itu Jun depan, Mohamad yang lebih mesra dipanggi Mat Sabu berkeras untuk tidak mengulas.

"Tanya penulis blog, tak ada kena mengena dengan saya.

"Anda pergi tanya juga bekas Exco Pemuda PAS yang buat kenyataan mengenainya, tanya orang yang buat kenyataan itu. 



Jangan tanya saya...saya tak ada kena mengena," katanya ringkas pada sidang media di Pejabat Agung PAS Pusat di sini, Isnin.

Menjelang pemilihan PAS pada Jun depan, wujud gerakan di media sosial yang membayangkan bahawa Mohamad akan menawarkan diri menentang Hadi sebagai presiden.

Lebih menggemparkan apabila bekas Exco Pemuda PAS Pusat, Zulhazmi Shariff pada Ahad secara terbuka menggesa supaya Hadi tidak dicalonkan semula sebagai presiden.

Sebaliknya Zulhazmi mencadangkan supaya Hadi menggantikan kedudukan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur sebagai Mursyidul Am PAS.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, PAS sentiasa terbuka jika ahlinya menawarkan diri bertanding dalam pemilihan parti.

"Jawatan dalam parti terbuka untuk dipertandingkan. Jadi terpulang kepada ahli di peringkat kawasan untuk menentukan pencalonan.

"Tapi buat masa ini belum sesuai nak cakap mengenai pemilihan. Nanti rakyat anggap politik seolah-olah tak mengenal keutamaan. Pada masa ini kita fokus kepada usaha bantu rakyat yang terlibat banjir," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.