[VIDEO & GAMBAR] Banjir Kelantan Makin Buruk, Mangsa Trauma
Pemangku Pengarah HKK Dr Nik Mohd Faizal Zainal Abidin berkata, walaupun ia sedikit sebanyak mengganggu operasi, tetapi atas nama kemanusiaan dan sikap prihatin, pihak pengurusan bukan sahaja bersetuju menyediakan tempat berlindung, malah staf hospital turut berusaha sedaya upaya memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga.
"Ini adalah kali pertama HKK menjadi pusat perlindungan yang sepatutnya bukan tanggungjawab kita. Tetapi, bagi kami pihak pengurusan, ia bukan alasan untuk menolak kehadiran mangsa-mangsa banjir ini.
"Memang ada sedikit terjejas operasi seperti katil-katil yang sepatutnya dikhususkan untuk pesakit, kami berikan kepada mangsa-mangsa banjir. Tetapi tidak mengapa, malah kami cuba memberi mereka apa yang ada di hospital seperti air panas, makanan, malah pakaian pesakit untuk jadi persalinan mereka," katanya.
Tinjauan Bernama mendapati terdapat beberapa keluarga yang terpaksa menjadikan HKK sebagai tempat berlindung kerana PPS berdekatan sukar diakses ekoran jalan dinaiki air.
Mereka terpaksa menjadikan surau, balai pelawat dan ruang menunggu di hospital itu sebagai tempat perlindungan sementara.
Suri rumah Fazlina Musa, 40, berkata mereka tidak ada pilihan lain kerana pusat perlindungan sementara di bandar ini, iaitu di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai ketika itu sudah pun dinaiki air.
Mengimbas kembali pengalamannya yang mencemaskan pada Isnin lepas, Fazlina yang sudah enam hari berlindung di HKK berkata, beliau dan keluarganya sudah mendapat makluman daripada radio bahawa kawasan kediaman mereka akan dinaiki air.
"Pada Isnin, keadaan macam biasa dan tak ada tanda-tanda air akan naik.
Tapi malam itu ada info banjir kali ini lebih besar daripada biasa. Dan pagi itu juga sekitar 1 pagi, air sudah mula naik dan kami lari ke kedai mak saya di bandar.
"Tetapi sungguh kami tak sangka, sewaktu di kedai, air naik dengan pantas dan mencecah paras satu kedai kami. Saya terpaksa menghulurkan anak saya ke bot Polis melalui tingkap manakala, yang dewasa terpaksa menyelam melalui tingkat bawah sebab itu sahaja laluan yang boleh diguna. Nak lompat ke bot memang bahaya," katanya lagi.
Sepanjang beberapa hari di HKK, Fazlina berkata pihak hospital sangat prihatin dan sentiasa memastikan bekalan makanan dan pakaian kering ada untuk kegunaan seharian beliau dan keluarganya.
Dalam pada itu, Dr Nik Mohd Faizal berkata, operasi dan perkhidmatan hospital masih berjalan seperti biasa walaupun akses utama ke hospital itu terganggu akibat banjir dengan bekalan elektrik dan air bersih yang terhad.
Walaupun akses utama ke HKK terganggu akibat dinaiki air dan diburukkan lagi dengan bekalan elektrik dan air bersih yang terhad, beliau berkata, operasi dan perkhidmatan masih berterusan.
Menurutnya, keadaan banjir yang sedikit surut turut memudahkan pemindahan pesakit kritikal seperti dari wad unit rawatan rapi (ICU), unit rawatan rapi jantung (CCU) dan pediatrik (kanak-kanak), ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian menggunakan bot dan helikopter.
"Air mulai surut pada hari kelima (semalam) dan orang ramai dah boleh akses ke sini. Walaupun bekalan elektrik masih terganggu, generator kita masih berfungsi.
"...dan kita sentiasa mendapat bekalan diesel secara berkala dari kerajaan persekutuan dan negeri, melalui pihak Bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk memastikan hospital kekal berfungsi," kata Dr Nik Mohd Faizal.
Sementara itu, beberapa jururawat yang ditemui berkata, terdapat dalam kalangan rakan setugas di HKK yang terpaksa bekerja secara berterusan selama seminggu ekoran kesukaran untuk bertukar syif.
"Namun, tiada apa yang perlu dirungutkan kerana ini sememangnya tugas hakiki kami. Apa yang kami harapkan, semoga keadaan di hospital diberi perhatian secara berterusan, dan juga agar bandar ini kembali pulih seperti biasa," kata seorang jururawat kepada Bernama ketika dalam perjalanan ke hospital menaiki bot tentera.
Tinjauan mendapati bandar Kuala Krai, yang sebelum ini terjejas teruk akibat ditenggelami air setinggi bangunan dua tingkat, kini beransur pulih apabila air mulai surut.
Kelihatan peniaga-peniaga mula membersihkan premis mereka dari kesan lumpur teruk, dan orang ramai mula keluar ke bandar untuk melakukan aktiviti seharian walaupun agak terbatas.
Paras air sebelum ini menaiki Pasar Besar Kuala Krai, hingga hampir mencecah paras bumbung, tetapi kini jalan di hadapan pasar itu sudah boleh dilalui mengguna kenderaan pancuan empat roda.
Berapa jalan di sekitar bandar itu sehingga kini masih diselaputi lumpur tebal kesan daripada bencana itu.
Walaupun begitu, laluan dari Machang ke bandar ini melalui jalan utama Kota Baharu-Gua Musang masih terganggu dengan beberapa jalan di sekitar Kampung Keroh, Sungai Durian dan Guchil hanya boleh diakses menggunakan bot.
Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diilhat masih menjalankan keja-kerja menghulurkan bantuan kepada mangsa menggunakan trak tentera Handalan I dan II serta bot-bot untuk menyeberangi kawasan yang dinaiki air.
Banjir di Kelantan semakin buruk
Keadaan banjir di Kelantan semakin buruk pagi ini dengan jumlah mangsa terus meningkat kepada 151,072 orang manakala keadaan di lima negeri tidak banyak berubah dengan Selangor kembali dilanda banjir kilat.
Jumlah keseluruhan mangsa banjir di enam negeri terbabit kini ialah sebanyak 225,731 mangsa. Terengganu mencatat sebanyak 33,260 mangsa, Pahang 33,225, Perak (7,813), Johor (328) dan Selangor 33 mangsa.
Di Kelantan, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata mangsa banjir daripada 36,128 keluarga ditempatkan di 309 pusat pemindahan melibatkan lapan daerah, lapor BERNAMA.
Jajahan Kota Bharu masih mencatatkan angka tertinggi mangsa banjir iaitu 44,061 orang, Tumpat (30,569), Pasir Mas (23,568), Kuala Krai (23,500), Gua Musang (17,327), Machang (8,289), Tanah Merah (3,546) dan Pasir Puteh (192).
Di Pahang, jumlah mangsa terus meningkat kepada 33,225 orang berbanding 31,095 mangsa semalam. Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, setakat 9 pagi ini, Temerloh kekal menjadi daerah dengan mangsa banjir paling ramai iaitu 12,012 orang yang ditempatkan di 71 pusat pemindahan.
Enam daerah lain ialah Kuantan membabitkan 3,046 mangsa yang ditempatkan di 17 pusat pemindahan, Pekan (4,873 mangsa di 17 pusat pemindahan), Maran (3,479) mangsa di 33 pusat pemindahan), Jerantut (6,025 mangsa di 59 pusat pemindahan), Bera (1,491 mangsa di 14 pusat pemindahan) dan Lipis (2,299 mangsa di 31 pusat pemindahan).
Sehingga kini Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bagi laluan kedua-dua arah Kuantan-Kuala Lumpur dan jalan lama masih ditutup kepada lalu lintas.
Orang ramai yang menuju ke Kuantan dari Kuala Lumpur diminta menggunakan jalan alternatif melalui Seremban-Kuala Pilah-Serting-Muadzam Shah-Kuantan dan sebaliknya.
Di Perak jumlah mangsa terus meingkat kepada 7,813 mangsa berbanding 7,539 mangsa malam tadi. Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak, kesemua mereka ditempatkan di 54 pusat pemindahan iaitu 22 di Kuala Kangsar, Perak Tengah (20), Hulu Perak (11) dan Kerian (satu).
Di Perak Tengah, bilangan mangsa banjir setakat ini adalah sebanyak 4,220 orang. Kuala Kangsar yang merangkumi kawasan Sungai Siput mencatat jumlah mangsa banjir sebanyak 2,565 manakala di Hulu Perak sebanyak 738 dan Kerian (290) mangsa.
Di Terengganu, jumlah mangsa banjir menurun kepada 33,260 orang berbanding 36,210 malam tadi. Di Kemaman masih tinggal 22,214 mangsa manakala hampir 3,000 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan air beransur surut manakala di Dungun masih terdapat 10,138 orang mangsa, Kuala Terengganu (759) orang dan Hulu Terengganu (149) mangsa.
Jumlah pusat pemindahan di Terengganu juga menurun daripada 88 malam tadi kepada 79 pagi ini, iaitu Dungun 34, Hulu Terengganu (empat), Kemaman (35) dan Kuala Terengganu (enam).
Sementara Johor mencatatkan sedikit penurunan mangsa banjir iaitu empat orang, dengan seramai 328 mangsa direkodkan pagi ini berbanding 332 mangsa malam tadi.
Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor, sembilan pusat pemindahan menempatkan 85 keluarga masih dibuka iaitu di satu di Muar, Batu Pahat (dua) dan masing-masing tiga di Segamat dan Kluang. Jalan Kampung Asli Sedohok di Kahang, Kluang masih belum boleh dilalui, menurut pusat kawalan terbabit.
Sementara di Selangor, hujan lebat berterusan pada Sabtu lepas menyebabkan beberapa buah kampung di Klang, antaranya Kampung Budiman, Meru dan Kampung Sementa, Kapar mengalami banjir kilat melibatkan 33 mangsa.
Kesemua mangsa daripada sembilan keluarga itu ditempatkan di pusat penempatan sementara Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai. -FMT
Sebak lihat mangsa cium bungkus
CATATAN Sepanjang perjalanan, saya dapat melihat ratusan buah kenderaan ditinggalkan berlapis-lapis di atas jalan raya.
Saya bersama jurukamera, Fandi Zulkfley mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kira-kira jam 1.30 petang.
Mujur selepas beberapa jam berusaha mencari pengangkutan ke Kota Bharu, kami dipelawa sukarelawan Darul Hijrah untuk menaiki pacuan empat roda mereka.
Kebetulan mereka datang untuk mengambil bekalan sumbangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
Dalam perjalanan itu, kelihatan juga kereta yang masih ditenggelami air, dan masih jelas kelihatan kesan paras sebenar air banjir pada tingkap kereta.
Saya juga dapat melihat sebahagian besar kedai-kedai termasuk pasar raya dan hotel ditutup sepenuhnya.
Kami melalui jalan Bunut Payong sebelum smpai ke jalan Salor. Kelihatan sebagaian besar rumah-rumah masih ditenggelami air.
Perjalanan mengambil masa lebih sejam, sebelum sampai ke kawasan perkampungan di mana terdapat mangsa yang enggan berpindah.
Jika perjalanan hari biasa, ia mungkin hanya memakan masa setengah jam. Namun kerana terpaksa meredah lauan banjir, dan kesesakan laluan ekoran banyak kereta tersadai di atas jalan, maka ia mengambil masa lama.
Setibanya di Kampung Kota, ramai di antara mangsa telah kehabisan bekalan makanan dan tidak dapat keluar ke mana-mana.
"Alhamdulillah, terima kasih banyak dik, lama dah pak cik tunggu, makanan semua habis lama dah," kata salah seorang pak cik sambil mencium bungkusan yang diterima.
Biarpun hanya biskut dan snek, ternyata pemberian itu sangat bernilai bagi mereka pada waktu ini.
Kelihatan juga ada di kalangan penduduk sedang mengharungi air sambil menjunjung beg. Saya sempat bertanya kepada mereka dari ma dan mahu ke mana.
"Dari sekolah (tempat pemindahan). Ni kak balik rumah, sudah lima hari tinggal rumah. Tak tahu apa jadi," kata seorang pemuda.
Kira-kira jam 7.30 malam, kenderaan kami masih bergerak menuju rumah ke rumah, mencari kalau-kalau ada mangsa yang boleh dibantu.
Suasana makin gelap, bekalan elektrik sudah lima hari terputus di kawasan ini. Tiada satu pun cahaya kecuali cahaya lampu kenderaan kami.
Kenderaan kami terpaksa menyelit-nyelit di celah-celah kenderaan yang tersadai di tengah jalan.
Dalam kesukaran itu, Kami bergerak pula ke kampung Wakaf Zain. Beberapa buah rumah lagi kami berjaya sampai. Ada juga warga emas yang tinggal bersendirian dalam gelap.
Pasukan sukarelawan Darul Hijrah menghulur bantuan, sambil tidak putus-putus menasihatkan mereka bersabar menerima ujian ini.
Kira-kira jam 9.30 malam, stok kami hampir habis. Kami keluar dari kawasan tersebut. Ketua misi mencadangkan kami mencari makan malam dan pulang.
Untuk mencari kedai, kami terpaksa meredah perjalanan hampir 30KM lagi dengan kadang-kadang mengharungi air sedalam hampir setengah meter.
Boleh dikatakan, hampir semua kawasan sekitar Kota Bharu lumpuh dan tiada satu pun kedai makan dibuka.
Kami terpaksa keluar dari Kota Bharu untuk mencari makanan di kawasan yang tidak terjejas banjir.
Kami menuju ke jalan Pasir Putih, barulah kami bertemu kedai makan yang dibuka.
Pun begitu, kedai tersebut penuh. Semua orang bertumpu di situ kerana ia satu-satunya kedai yang dibuka dan paling hampir dengan kawasan banjir.
Kami menunggu agak lama sebelum mendapat tempat duduk. Kelihatan ramai pasukan sukarelawan lain juga makan di situ.
Alhamdulillah, kami akhirnya dapat mengisi perut setelah seharian tidak menemui kedai makan.
Kira-kira jam 12.30 pagi, barulah kami tiba di tempat penginapan di rumah salah seorang anggota sukarelawan di Pengkalan Chepa.
Beliau dengan baik hati mempelawa saya dan jurukamera menumpang tidur di rumahnya.
Hari ini, misi serupa akan diteruskan. -mk
Kelab Greenboc
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.