Monday, December 29, 2014

Tiga kapal TLDM sertai SAR cari QZ8501


 
Tiga kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan belayar malam ini untuk menyertai operasi mencari pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang.
  
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tiga kapal tersebut ialah KD Pahang, KD Lekir dan KD Lekiu yang turut membawa helikopter Fennec.
  
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula akan menggunakan pesawat C130 untuk membantu Indonesia dalam operasi mencari dan menyelamat itu.
  
Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga bersedia untuk memberi apa jua bantuan yang diperlukan Indonesia dalam misi tersebut.
  
Hishammuddin dalam kenyataan berkata beliau telah berhubung dengan Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu dan memaklumkan bahawa Malaysia bersedia untuk memberi bantuan jika diperlukan oleh kerajaan Indonesia, dalam semangat perpaduan Asean.
  
"Saya telah mengarahkan Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Roslan Saad agar berhubung rapat dengan rakan sejawatan mereka di Indonesia untuk perkembangan lanjut.
  
"Malah, saya juga berhubung dengan Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng EngHen mengenai perkara ini untuk mengukuhkan lagi komitmen kita dalam usaha mencari dan menyelamat. Ingatan dan doa kami bersama penumpang, anak kapal dan anggota keluarga di dalam pesawat QZ8501," kata Hishammuddin.
  
Pesawat QZ8501 berlepas dari Surabaya padajam  5.35 pagi (waktu Indonesia) dalam perjalanan ke Singapura dan terputus hubungan dengan kawalan trafik udara Indonesia pada 7.24 pagi (waktu Indonesia). Ia dijadual tiba di Singapura pada jam 8.20 pagi.
  
Pesawat Airbus A320-200 itu membawa 162 penumpang dan anak kapal.
  
- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.