Lima hari tanpa bekalan air bersih, tiada nasi dan bekalan elektrik yang
terputus menyebabkan ada mangsa banjir, terpaksa bergelut untuk
meneruskan hidup.
Malah, bekas setiausaha politik kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Annual Bakri Harun (bawah), antara yang merasai keperitan itu.
Menceritakan pengalamannya kepada Malaysiakini, Annual, 56, berkata,
akibat terlalu lapar, beliau terpaksa menadah air hujan untuk merendam
mi segera.
"Sudah lima malam saya bergelap. Saya hanya bertahan makan biskut. Ada
mi segera, tetapi tiada elektrik untuk masak air, dan dapur gas pula
tidak berfungsi.
"Oleh kerana saya terlalu lapar, saya terpaksa tadah air hujan dengan
tangan dan letak dalam bekas untuk rendam mi itu. Bayangkan macam mana
masak mi segera dengan air sejuk," katanya.
Sebelum itu, beliau beberapa kali cuba keluar ke jalan besar dengan
mengharungi air deras paras pinggang, untuk mencari jika ada kedai
menjual nasi, namun hampa.
Semalam genap lima hari kediamannya di kampung Wakaf Zain yang terletak di dalam Dun Salor, dinaiki air.
Kongsi dengan kucing, ayam
Menurut Annual, ketika air mula naik Rabu lalu, paras air di halaman
rumahnya lebih satu meter, di dalam rumah pula kira-kira kira-kira 60
sentimeter.
Oleh kerana air naik terlalu pantas, kebanyakan barang tidak sempat
dipindahkan termasuk dua buah kereta jenis Mercedes dan Perodua Viva.
Ditanya kenapa beliau tidak berpindah, Annual berkata beliau risau untuk meninggalkan rumahnya.
Bagaimanapun, anak dan isterinya telah dihantar ke rumah orang tuanya lebih awal.
"Hanya sekali saya dapat makan nasi (sepanjang banjir), itu pun hari ketiga apabila jiran menjemput saya.
"Sebelum ni saya hanya makan biskut yang sudah lemau. Itu pun dikongsi
dengan tiga lagi makhluk iaitu kucing, ayam dan burung yang saya
pelihara," katanya.
Sementara itu, beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap kelambatan
penyaluran bantuan dan sumbangan dari pihak bertanggungjawab kepada
mangsa banjir.
Ketika kunjungan Malaysikini ke rumah beliau malam tadi, sekumpulan
sukarelawan dari NGO Darul Hijrah, datang menghulurkan sumbangan berupa
makanan kepada beliau.
- mkini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.