Walaupun kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat mempunyai niat baik melaksanakan polisi rumah mampu milik, realitinya ia masih jauh daripada golongan sasarannya.
Zainal Yaakob ditawarkan memiliki rumah kos rendah kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Selangor, namun pemandu lori itu terpaksa melepaskannya kerana tidak mampu membayar wang pendahuluan.
Mohd Rashid Muhammad juga mendapat tawaran memiliki rumah mampu milik daripada kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun, dengan berat hati, beliau juga terpaksa menolaknya atas faktor lokasi kerana akan mengambil masa lebih sejam untuk sampai ke tempat kerjanya di Shah Alam.
Pengalaman kedua-dua mereka membuktikan meskipun kerajaan BN dan PR mempunyai niat baik melaksanakan polisi rumah mampu milik, namun realitinya ia masih jauh daripada golongan sasarannya.
Nampaknya, selepas empat tahun ia dilancarkan, program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Rumah Selangorku masih mempunyai kelemahan dalam mencapai sasaran mereka menangani krisis perumahan di kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Mampu milik namun tidak capai sasaran
Pada September lalu, Selangor mengumumkan menyerahkan 124 kunci unit rumah kompleks apartment di Bandar Baru Bangi kepada pemiliknya.
Mengikut perangkaan pejabat Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, kerajaan negeri itu sudah menyiapkan 136 unit perumahan di Bandar Baru Sungai Long, berdekatan Cheras.
Kenyataan daripada pejabat exco menyatakan, sehingga kini kira-kira 5,473 unit sudah siap dan sedang dibina.
Dalam ucapannya semasa sidang dewan undangan negeri, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Datuk Iskandar Samad berkata, Selangor merancang membina 35,000 unit Rumah Selangorku dalam tempoh lima tahun akan datang.
Terdapat empat kategori perumahan di bawah Rumah Selangorku yang berharga antara RM42,000 dan RM250,000. Kategori pelbagai ini disasarkan untuk mereka yang mempunyai pendapatan berbeza seperti dibawah RM3,000, RM6,000 dan RM8,000.
Selangor membiayai projek itu melalui syarikat berkaitan kerajaan seperti PKNS dan PNSB termasuk menetapkan kuota kepada pemaju swasta membina rumah mampu milik.
Setakat ini kerajaan negeri meluluskan 13,664 unit perumahan yang bakal dibina pemaju swasta sementara bagi GLC dijangka akan memulakan projek dengan pembinaan 680 unit.
Iskandar pada persidangan 24 November berkata, Selangor menetapkan peraturan ketat memastikan pemaju membina perumahan rumah mampu milik.
Bagi memastikan unit ini dibina di kawasan di mana wujudnya permintaan tinggi daripada golongan pekerja, kuota untuk pemaju swasta ditetapkan mengikut zon.
"Ini supaya rumah dapat dijual dan pemaju tidak terbeban," kata Iskandar.
Bagaimanapun, seperti dalam kes Zainal, meskipun dengan kediaman berharga RM42,000, tidak semua dengan pendapatan bawah RM3,000 boleh memilikinya.
"Saya tidak mampu membayar duit muka kerana tiada wang simpanan," kata Zainal yang menyara isteri dan dua anak kecil dengan gaji RM1,800 sebulan.
Menyedari hakikat itu, Selangor dikatakan akan memulakan skim sewa milik dipanggil Dana-Sel pada tahun hadapan.
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, dengan program itu rakyat bandar akan ditawarkan rumah kos rendah di mana mereka boleh mula dengan menyewa dan seterusnya memilikinya selepas beberapa tahun.
"Saya terpaksa melepaskan tawaran pertama. Namun kerajaan Selangor menyedari banyak kes seperti saya, jadi mereka melaksanakan program ini," kata Zainal, pemohon Dana-Sel.
Lembah Klang kunci utama
Bagi BN pula, fasa pertama projek PR1MA hanya akan dapat disiapkan sepenuhnya pada tahun hadapan.
Yang pertama disiapkan ialah 3,196 unit perumahan di Sentral Seremban, Negeri Sembilan di mana Rashid, 32, mendapat tawaran memilikinya.
"Saya tidak dapat menerima tawaran itu. Saya pergi kerja ke Shah Alam menaiki motosikal," katanya yang bekerja di sebuah kolej di Shah Alam.
"Sekiranya saya tinggal di Seremban, saya dan isteri terpaksa berbelanja lebih untuk berulang-alik," katanya.
Menurut laman sesawang PR1MA, ia mempunyai 11 projek di sekitar Lembah Klang di lokasi dengan permintaan paling tinggi di negara ini.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan bila ia akan siap.
Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, 11,359 unit sedang dalam pembinaan dan dijangka siap tahun hadapan.
Dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider, beliau juga berkata kerja-kerja pembinaan bagi 22,101 unit perumahan juga sudah bermula di setiap negeri.
Katanya di Selangor sahaja, lembaga PR1MA meluluskan pembinaan 9,782 unit perumahan.
Beliau berkata, PR1MA juga mensasarkan membina 500,000 unit bernilai antara RM 100,000 dan RM400,000 pada 2018.
Apabila ditanya mengapa PR1MA masih belum mampu menyiapkan unit rumah meskipun dilancarkan 4 tahun lalu, Shahidan berkata ia kerana badan itu memerlukan tempoh setahun atau dua tahun mendapatkan kelulusan tanah.
"PR1MA sudah mencuba sebaik mungkin memendekkan tempoh perancangan, di mana dua atau tiga tahun terlalu lama. Ini termasuk pembinaan rumah strata juga mengambil masa demikian.
"Majlis Perumahan Negara dan kerajaan negeri juga bersetuju baru-baru ini memendekkan tempoh permohonan kelulusan tanah.
"Perlu diingatkan yang PR1MA baru saja dilaksanakan dan kita sudah menyiapkan 11,359 unit perumahan, boleh dikira cepat," katanya.
Sementara itu, Rashid masih lagi meneruskan pencarian memiliki rumah mampu milik di Shah Alam dan Klang.
"Klang mungkin tempatnya di mana saya dan isteri boleh membeli rumah yang kami mampu. Kami tidak akan berpindah tempat lain kerana kami mahu membina keluarga di Selangor," katanya. – 27 Disember, 2014.
/www.themalaysianinsider.com/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.