Friday, November 28, 2014

Jangan guna Akta Hasutan untuk survival Umno, pesan Pak Lah - The Malaysian Insider

 
Melalui blog miliknya, www.paklah.net hari ini, Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Pak Lah berkata, survival parti itu Melayu bergantung kepada sokongan rakyat dan tanpanya, Umno tidak akan terus memimpin negara.

"Tetapi dalam keghairahan kita menyambut baik pengekalan Akta Hasutan, saya ingin  mengingatkan ahli Umno yang Akta Hasutan bukanlah alat untuk diguna mengekalkan kekuasaan Umno.

"Kekuasaan dan kekuatan Umno datangnya daripada sokongan rakyat, ingatlah, jika rakyat sudah tidak menyokong kita, tiada rang undang-undang di bumi Allah ini yang akan menyelamatkan Umno daripada kehilangan kuasa," katanya.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak ketika ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung Umno ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini berkata akta itu akan terus dikekalkan.

Malah, akta kontroversi itu juga akan diperkukuh dengan menambah peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menuntut pemisahan Sabah dan Sarawak dari Malaysia.

"Sebagai perdana menteri, saya memutuskan Akta Hasutan akan terus dikekalkan, malah akta ini akan dipertahan dan diperkukuhkan," katanya.

"Akta ini akan dikuatkuasakan secara adil supaya kita benar-benar mewujudkan Malaysia yang lebih aman, stabil dan harmoni," katanya.

Najib berkata, Akta Hasutan terus dikekalkan selepas dipertimbangkan dan mendapat nasihat semua pihak walaupun beliau pernah berjanji untuk memansuhkan akta warisan penjajah British tersebut.

"Setelah saya dengar pandangan pemuda dan puteri, akar umbi dan NGO, saya mengumumkan Akta Hasutan akan terus dikekalkan," katanya.

Najib pada 11 Julai 2012 dilaporkan berkata  Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional sebagai sebahagian daripada program transformasi kerajaan.

"Saya tertarik dengan dasar Najib pada Perhimpunan Agung Umno tahun ini.

"Selain memperingati ahli-ahli Umno akan sejarah perjuangan Umno dan juga pentingnya semangat solidariti, beliau juga sangat perihatin dengan keresahan kerisauan dan juga keinginan orang Melayu amnya dan ahli Umno khususnya," kata Abdullah.

"Keperihatinan ini terserlah bila beliau mengumumkan pengekalan Akta Hasutan yang disambut dengan ghairah oleh ahli ahli Umno yang berada di dalam dan luar dewan PWTC."

Abdullah berkata, beliau juga turut menyokong pengekalan atau penggubalan mana rang undang-undang yang menjaga keharmonian negara, menegakkan Perlembagaan, dan menentukan perjanjian kontrak sosial yang dimeterai ditepati.

"Dan saya menyokong rang undang-undang yang menentukan Persekutuan Malaysia tidak dihancurkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Ini semua saya sokong," katanya yang memimpin Malaysia dari 2003 hingga 2009 itu. – 27 November, 2014.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.